Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1288 : HUKUM MEMBERI SUMBANGAN UNTUK MAJLIS TAHLIL ARWAH

KaFi 1288

SOALAN

Assalamualaikum Yang Berbahagia SS Dato’.

Bolehkah SS Dato’ berikan pencerahan tentang hukum memberi sumbangan kepada majlis tahlil seperti yang biasa dilakukan oleh masyarakat kita terutamanya di bulan Ramadhan? Adakah ia dibolehkan?

Mohon penjelasan Dato'. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Amalan membaca yasin, tahlil dan kenduri arwah seperti yang diamalkan oleh masyarakat Islam kita di Malaysia merupakan salah satu daripada permasalahan khilafiah. Berkenaan isu ini, Mesyuarat Panel Kajian Syariah (Panel Pakar Syariah) yang bersidang pada 23 – 25 Februari 2006 telah bersetuju memutuskan bahawa:

  • Amalan membaca yasin, tahlil dan kenduri arwah merupakan perkara khilafiah yang tidak perlu diperbincangkan secara meluas kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan masyarakat.
  • Mesyuarat mengesyorkan supaya JAKIM, JAIN dan Jabatan Mufti memperbanyakkan agenda penerangan kepada masyarakat secara menyeluruh mengenai isu khilafiah dengan pendekatan secara hikmah melalui penulisan, terjemahan buku, khutbah, kurikulum program takmir masjid dan wacana.
  • JAKIM dengan kerjasama agensi berkaitan hendaklah memberi teguran kepada individu-individu tertentu supaya isu khilafiah ini tidak diperbesarkan.

Amalan tahlil merupakan gabungan antara bacaan ayat dan surah daripada al-Quran, zikir kepada Allah SWT yang merangkumi tasbih, tahmid, takbir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memberi makan kepada orang ramai. Semua perkara tersebut merupakan amalan yang disyariatkan di dalam Islam. Dalam satu haditih yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Salam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

Maksudnya: Wahai manusia, sebarkanlah salam, jamukanlah makan (kepada orang ramai) dan bersembahyanglah ketika orang sedang tidur, maka kamu akan masuk ke dalam Syurga dengan sejahtera.

Begitu juga, berdoa kepada mereka yang telah meninggal dunia adalah sesuatu yang digalakkan Islam sepertimana yang disebut oleh al-Quran:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللَّـهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Maksudnya: Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).

(Surah Muhammad : 19)

Kami meraikan ‘uruf dan adat setempat yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam di sini sejak sekian lama. Maka, kami menerima pengamalan tersebut selagimana amalan tersebut tidak mengandungi perkara yang bertentangan dengan syariat Islam dan dilaksanakan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Disamping itu, amalan memberi sumbangan kepada penganjur tahlil pada asalnya adalah juga diharuskan. Walaubagaimanapun, terdapat amalan menetapkan sumbangan yang tertentu untuk nama-nama arwah yang diberikan kepada penganjur majlis tahlil, ia jelas berlainan daripada amalan asal tersebut. Ini kerana penetapan jumlah tertentu untuk nama-nama arwah akan menyebabkan seolah-olah berlakunya akad jual-beli antara penyumbang dan penganjur majlis tahlil tersebut. Allah SWT berfirman:

اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk.

(Surah Yasin: 21)

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa ikutilah orang yang tidak meminta ganjaran daripada kamu terhadap apa yang dia bawa daripada hidayah. (Rujuk Tafsir al-Tabari: 441)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpandangan bahawa amalan seperti ini perlulah dilakukan dengan memberi perhatian kepada beberapa perkara. Kami menetapkan garis panduan untuk melakukan amalan tersebut seperti berikut:

  • Hendaklah pihak masjid atau sesiapa yang menjalankan tahlil tidak menetapkan harga yang tertentu untuk nama-nama arwah yang diberikan.
  • Pemberian yang diberikan oleh pihak ahli keluarga arwah adalah sumbangan atau sedekah yang digunakan program-program yang bermanfaat kepada masyarakat seperti program Ihya’ Ramadhan, jamuan berbuka puasa, moreh, bersahur, kelas-kelas pengajian agama dan sebagainya.
  • Perlu mengelakkan sangkaan bahawa sumbangan tersebut seolah-olah merupakan akad jual-beli antara penyumbang dan penganjur.
  • Tidak meyakini dan mempercayai bahawa dengan pemberiaan yang diberikan, maka pahala akan secara pasti sampai kepada arwah-arwah yang diniatkan tersebut. Bahkan ia bergantung kepada penerimaan doa disisi Allah SWT (istijabah al-du’a). Ini kerana urusan pahala dan dosa ialah hak mutlak bagi Allah SWT dan tiada sesiapa pun berhak untuk menentukannya mengikut kehendak sendiri. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah: 277)

Oleh itu, kami berpandangan bahawa amalan memberikan sumbangan untuk majlis tahlil dengan harga tertentu bagi nama-nama arwah adalah harus dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di atas. Disamping itu, hendaklah juga majlis tahlil yang dilaksanakan tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang menyalahi syari’at Islam. Semoga Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk terus melaksanakan amal soleh dan ketaatan kepada-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.