Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1318 : HUKUM TERBALIKKAN TANGAN SEMASA BERDOA TOLAK BALA

AL KAFI 1318

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanya tentang perbuatan sebahagian ustaz yang membalikkan kedua tangan semasa berdoa tolak bala. Adakah perbuatan ini dibolehkan dan bertepatan dengan sunnah ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara umumnya perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa merupakan suatu perkara yang dianjurkan, khususnya pada tempat-tempat yang dianjurkan padanya untuk mengangkat tangan semasa berdoa. Bahkan perbuatan mengangkat tangan semasa berdoa ini turut termasuk dalam antara adab bagi mendapatkan kemustajaban doa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu kepada hamba-Nya sekiranya hamba-Nya itu mengangkat kedua tangan kepada-Nya lalu Dia membiarkan ia pulang dengan tangan kosong.

Riwayat Abu Daud (1488)

Hadis ini menjadi dalil utama dalam menjelaskan anjuran mengangkat kedua belah tangan semasa berdoa. Oleh kerana itu Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa perbuatan menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan semasa berdoa adalah mustahab (disunatkan). Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (12/433).

Bahkan Imam al-Bukhari sendiri menjelaskan anjuran mengangkat tangan semasa berdoa ini dengan menjadikan ia sebagai suatu bab di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhari iaitu باب رَفْعِ الأَيْدِي فِي الدُّعَاءِ (Bab Mengangkat Kedua Tangan Semasa Berdoa). Beliau memasukkan hadis yang menjelaskan hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W mengangkat kedua tangan baginda (semasa berdoa) sehingga aku melihat putihnya dua ketiak baginda.

Riwayat Al-Bukhari (6341)

Meskipun begitu, dalam menjelaskan berkenaan kaifiat (tatacara) berdoa ini terdapat anjuran mengangkat tangan dengan menjadikan bahagian batin (dalaman) dari pergelangan tangan mengarah ke langit dan dalam masa yang sama terdapat larangan akan berdoa dengan cara mengarahkan bahagian zahir (luar) pergelangan tangan ke langit. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Yasar al-Sakuni bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلاَ تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

Maksudnya: Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa) mintalah dengan bahagian batin (dalam) pergelangan tangan kamu dan jangan kamu meminta kepada-Nya dengan bahagian zahir (permukaan) pergelangan tangan kamu.

Riwayat Abu Daud (1486)

Kata Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini: ‘’Apabila kamu meminta sesuatu kepada Allah iaitu doa untuk mendatangkan manfaat atau menolak sebarang kemudaratan maka mintalah kepada-Nya dengan (mengangkat) bahagian dalam tangan kamu. Iaitu berserta dengan mengangkat keduanya ke arah langit. Ini kerana begitulah keadaan seseorang yang meminta dan menuntut serta menunggu untuk mengambil (apa yang diminta) maka keadaan ini diraikan secara mutlak. Sebagaimana ia adalah apa yang ditunjukkan oleh zahir hadis’’.

Kata beliau lagi: ‘’Ada pendapat yang menyebut bahawa dalam (doa) menolak bala, seseorang itu menjadikan tangan yang zahirnya berada di atas bahagian batin (dalam) sebagai tanda optimis dan juga meraikan bentuk menolak (bala atau musibah)’’. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (4/1532).

Manakala Syeikh al-Saharanfuri pula berkata: ‘’Adapun seseorang yang meminta untuk mengangkat sesuatu bala yang telah berlaku kepadanya, maka sunnah nya adalah dengan cara mengangkat bahagian zahir tangannya ke arah langit sebagai ittiba’ (mengikuti petunjuk) Nabi S.A.W’’. Rujuk Bazl al-Majhud, Khalil Ahmad al-Saharanfuri (6/210).

Membalikkan Tangan Ketika Doa Tolak Bala

Dalam isu berdoa bagi menolak bala dan musibah seperti kemarau panjang dan selainnya dengan cara membalikkan tangan semasa berdoa, maka antara hujah yang digunakan dalam hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W melakukan istisqa’ (meminta doa hujan turun), lalu baginda menghalakan bahagian zahir (atas) kedua pergelangan tangan baginda ke arah langit.

Riwayat Muslim (895)

Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata:

قال جماعة من أصحابنا وغيرهم : السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى السماء ، وإذا دعا لسؤال شيء وتحصيله جعل بطن كفيه إلى السماء واحتجوا بهذا الحديث

Maksudnya: Sebahagian dari ashab kami dan selain mereka menyatakan bahawa sunnah di dalam setiap doa mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya adalah dengan mengangkat kedua tangan dan menjadikan bahagian zahir (atas) kedua tangannya mengarah ke langit. Dan apabila seseorang itu berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) kedua tangannya menuju ke langit. Dan mereka berhujahkan dengan hadis ini. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/494).

Manakala Syeikh Zakaria bin Muhammad bin Zakaria Al-Ansari pula berkata: Dan diqiyaskan dengan (doa) istisqa’ itu perkara yang sama pada makna (dengannya) dan hikmahnya (membalikkan tangan) adalah untuk mengangkat bala’ berbeza keadaannya dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, maka dia menjadikan bahagian batin (dalam) tangannya ke arah langit. Rujuk Asna al-Mathalib, Zakaria bin Muhammad al-Ansari (1/293).

Meskipun begitu para ulama tidaklah kesemuanya bersepakat dalam hal ini. Ini disebabkan berbezanya kefahaman mereka terhadap hadis doa istisqa’ tersebut. Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dari hadis tersebut adalah Nabi S.A.W mengangkat kedua tangan baginda dengan begitu tinggi sehingga kelihatan warna putih ketiak baginda S.A.W, lalu orang ramai yang melihatnya seakan menyangka bahawa baginda mengarahkan bahagian zahir tangan ke langit.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa perbuatan membalikkan tangan ketika berdoa tolak bala merupakan suatu pendapat yang bertepatan dengan zahir hadis. Disunatkan untuk melakukannya ketika seseorang berdoa untuk menjauhkan bala dan musibah. Maka tidak diingkari seseorang yang berpegang dan beramal dengan pandangan ini kerana ia ditunjukkan oleh hadis yang sahih dan sabit juga dari pengamalan para salaf.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.