Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1322 : KELUAR SETITIK DARAH SELEPAS PERSETUBUHAN: ADAKAH DIKIRA HAID?

kafi1322 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Kebiasaan haid saya adalah 9 hari. Pada hari ke-9 saya telah memasang alat mencegah kehamilan. Haid saya berlarutan sehingga hari ke-11. Pada hari ke-12, saya dapati darah sudah tiada lalu saya mandi dan berpuasa. Pada malam ke-13, saya bersama dengan suami dan saya berasa sedikit kesakitan. Pada keesokan harinya yakni siang hari ke-13, ada setitis darah keluar ketika saya hendak menunaikan solat Zuhur yang pada saya mungkin disebabkan ketika saya bersama suami. Adakah itu dikira darah haid? Saya benar-benar keliru.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad ﷺ dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Pertamanya, kita perlu mengetahui apakah takrif darah haid. Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mentakrifkan haid sebagai berikut: “Erti haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haid di sisi Syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)

Justeru berdasarkan, takrif ini, darah yang keluar bukan daripada pangkal rahim dianggap bukan haid, seperti akibat luka pembedahan dan sebagainya.

Kedua, darah yang keluar daripada rahim dalam tempoh 15 hari pada waktu kebiasaan haid, yakni bukan waktu suci, adalah dianggap sebagai darah haid. Ini sekalipun jika darah itu keluar terputus-putus, dengan syarat darah itu keluar selama sehari dan semalam, atau 24 jam. Ini kerana tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari. Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139). Jika darah itu berterusan sehingga melebihi had 15 hari, maka itu adalah darah istihadah.

Oleh itu darah yang keluar kali kedua selepas berhenti sekalipun setitik dua, selagi mana ia keluar dalam tempoh 15 hari, maka dianggap sebagai haid, tanpa mengira sifat darahnya lemah atau kuat. Ini kerana adat haid seorang wanita itu boleh berubah dari bulan ke bulan.  Ini berdalilkan hadis daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, bahawa dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Rujuk juga al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/389) oleh Imam al-Nawawi

Kesimpulannya, puan yang bertanya hendaklah meneliti keadaan darah yang keluar itu:

  • Sekiranya darah berasal daripada rahim, maka ia adalah haid kerana keluar dalam tempoh sepanjang-panjang haid iaitu 15 hari. Maka puasa pada hari ke-12 dan 13 itu tidak sah dan wajib digantikan mengikut pendapat yang al-Sahab yang mu`tamad. Ini kerana waktu naqa’ antara dua darah yang keluar itu dianggap haid, manakala mengikut pendapat al-Laqt yang tidak muktamad, puasa pada hari ke-12 itu sah dan tidak perlu digantikan. Adapun hubungan kelamin dengan suami pada malan ke-13 itu tidaklah berdosa kerana dilakukan tanpa sengaja kerana sangkaan bahawa haid sudah berhenti. Tidak juga dituntut untuk membayar kaffarah bagi demikian itu kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (1/136): “Adapun jika suami itu bersetubuh dengan isterinya kerana lupa, atau jahil terhadap pengharamannya, atau jahil yang wanita itu sedang haid, maka tiada apa-apa ke atasnya secara qat’ie.” Namun puasa hari ke-13 itu juga wajib diganti.  
  • Sekiranya darah itu bukan berasal daripada rahim, yakni akibat luka di alat sulit disebabkan hubungan kelamin dengan suami, maka darah itu bukan darah haid sebaliknya adalah darah fasid. Ini kerana ia tidak bertepatan dengan definisi darah haid yang datang daripada rahim. Sama juga hukumnya bagi darah yang keluar akibat koyakan pada selaput dara. Justeru, ia hanya perlu dibersihkan sebelum menunaikan solat dan tidak mewajibkan mandi. Maka, puasanya pada hari ke-12 dan ke-13 itu adalah sah dan tidak perlu digantikan.

Semoga jawapan ini memberikan kejelasan kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.