Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1327 : HUKUM MAJIKAN MENGARAHKAN STAF MENDIRIKAN SOLAT DHUHA BERJEMAAH SEMINGGU SEKALI

AL KAFI 1327

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah dibolehkah bagi pihak pejabat menyuruh para staf mendirikan solat dhuha secara berjemaah dengan kadar sekali dalam seminggu ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.AW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama Solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari. Tambahan pula, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A agar tidak meninggalkan solat dhuha ini berdasarkan kata-kata Abu Hurairah:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan aku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat witir sebelum tidur.

Riwayat Al-Bukhari (1880)

Waktu solat dhuha pula bermula daripada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) sehingga sebelum tergelincir matahari. Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’ (Hlm. 60).

Manakala, waktu terbaik untuk solat dhuha ialah ketika pasir menjadi panas disebabkan matahari sudah mulai terpancar terik. Solat dhuha yang dilakukan pada waktu ini disebut sebagai Solat Al-Awwabin. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ

Maksudnya: Solat Al-Awwabin adalah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).

Riwayat Muslim (1238)

Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua kadar dua rakaat paling sedikit, kemudian seterusnya empat, enam, lapan sehingga 12 rakaat paling banyak.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa dalam mazhab Imam Al-Syafi’e, solat-solat sunat itu terbahagi kepada dua iaitu solat-solat sunat yang dituntut untuk berjemaah dan juga solat-solat sunat yang tidak dituntut padanya untuk berjemaah. Kami perincikan pembahagian ini seperti berikut:

Pertama: Solat Sunat Yang Dituntut Untuk Berjemaah

Antara solat sunat yang dituntut untuk dilakukan secara berjemaah adalah solat dua hari raya iaitu Solat Sunat Aidilfitri dan juga Solat Sunat Aidil Adha. Selain itu terdapat beberapa solat lain yang dituntut untuk berjemaah seperti solat gerhana matahari dan gerhana bulan, solat istisqa’, begitu juga solat sunat tarawih dan solat witir selepas tarawih pada bulan Ramadhan.

Kedua: Solat Sunat Yang Tidak Dituntut Berjemaah

Manakala antara solat yang tidak dituntut untuk dilakukan secara berjemaah adalah seperti solat sunat tahiyatul masjid, solat sunat rawatib iaitu solat-solat qabliyah dan juga ba’diyah, solat dhuha, serta solat-solat sunat yang mutlak.

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam menjelaskan isu ini:

أَنَّ النَّوَافِلَ لَا تُشْرَعُ الْجَمَاعَةُ فِيهَا إلَّا فِي الْعِيدَيْنِ وَالْكُسُوفَيْنِ وَالِاسْتِسْقَاءِ وَكَذَا التَّرَاوِيحُ وَالْوِتْرُ بَعْدَهَا إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ إنَّ الْجَمَاعَةَ فِيهَا أَفْضَلُ وَأَمَّا بَاقِي النَّوَافِلِ كَالسُّنَنِ الرَّاتِبَةِ مَعَ الْفَرَائِضِ وَالضُّحَى وَالنَّوَافِلِ الْمُطْلَقَةِ فَلَا تُشْرَعُ فِيهَا الْجَمَاعَةُ أَيْ لَا تُسْتَحَبُّ لَكِنْ لَوْ صَلَّاهَا جَمَاعَةً جَازَ وَلَا يُقَالُ إنَّهُ مَكْرُوهٌ وَقَدْ نَصَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ فِي مُخْتَصَرَيْ الْبُوَيْطِيِّ وَالرَّبِيعِ عَلَى أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِالْجَمَاعَةِ فِي النَّافِلَةِ

Maksudnya: ‘’Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa', dan begitu juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Apabila kita berpegang dengan pendapat yang paling sahih, sesungguhnya (dilakukan secara) berjamaah bagi kesemua solat tersebut adalah afdhal (lebih baik)’’.

Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan.

Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan, dan tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan (seperti yang terdapat) di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi' bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat’’. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/55).

Antara hujah yang digunapakai dalam membenarkan hal ini adalah berdasarkan sebuah hadis ynag diriwayatkan oleh ‘Itban bin Malik R.A beliau berkata bahawa Nabi S.A.W masuk ke rumahnya lalu bersabda:

‏ أَيْنَ تُحِبُّ أَنْ أُصَلِّيَ لَكَ مِنْ بَيْتِكَ

Maksudnya: Di manakah tempat yang kamu suka untuk aku mendirikan solat di dalam rumahmu ?

Maka ‘Itban pun menunjukkan tempat ke suatu bahagian tempat kemudian Nabi S.A.W mengangkat takbir dan kami mendirikan saf di belakang baginda (untuk turut serta solat) dan baginda mendirikan solat sebanyak dua rakaat.

Riwayat Al-Bukhari (424)

Justeru hadis di atas jelas menunjukkan bahawa solat sunat yang mutlak itu boleh didirikan juga secara berjemaah, namun ia tidaklah dilakukan secara kebiasaan setiap hari kerana hukum asalnya ia dilakukan secara seorang diri. Wallahu A’lam.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa sekiranya pihak majikan memberikan arahan kepada semua staf untuk melakukan solat dhuha secara berjemaah dalam bentuk sekali seminggu tanpa mengikat kepada mana-mana hari tertentu dan juga tanpa menganggap ia sebagai suatu kewajipan, maka hal ini adalah dibolehkan berdasarkan beberapa hujahan yang telah dikemukakan di atas.

Demikian juga kami menyatakan bahawa hendaklah perkara tersebut tidak mengambil masa yang begitu lama memandangkan ia dilakukan dalam waktu perkhidmatan.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.