Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1396: TAFSIRAN AYAT ANAK YATIM DAN MAKSUD YATIM

tafsiran yatim dan maksud yatim.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah tafsiran ayat al-Quran “وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ”. Bagaimana pendapat ahli tafsir berkenaan ayat ini dan apa maksud anak yatim?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

Surah al-An’am (152)

Imam Ibn Kathir menjelaskan: Mengenai firman Allah SWT: "حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ" (sehingga dia baligh), al-Sya'bi, Imam Malik dan beberapa ulama' salaf yang lain menyatakan: "Iaitu sehingga mereka bermimpi basah."

Al-Suddi menyatakan, sehingga anak yatim mencapai usia tiga puluh tahun. Menurut pendapat yang lain, sehingga usia empat puluh tahun dan menurut pendapat yang lain lagi, sehingga usia enam puluh tahun. Akan tetapi semua itu jauh dari kebenaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 3/324)

Berdasarkan ayat ini, kebanyakan ulama' tafsir seperti Imam al-Zamakhsyari, Imam Abi al-Su'ud, Imam al-Qasimi, Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Sayyid Qutb telah meletakkan peringkat baligh yakni cukup umur tanpa menentukan had umur baligh yang tepat serta cerdik dan sempurna kekuatan jasmani dan akal fikiran seseorang anak yatim sebagai asas penentu layaknya untuk mereka mengurus dan mengendali harta mereka sendiri. (Lihat Tafsir al-Kassyaf, 2/56; Tafsir Abi al-Su'ud, 2/304; Tafsir al-Qasimi, 2/780 dan Fi Zilal al-Quran, 3/1232)

Berdasarkan ayat ini juga, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa seorang kanak-kanak lelaki tidak dikatakan baligh sehinggalah dia berumur 18 tahun. Beliau berpendapat bahawa usia dewasa kanak-kanak lelaki sekitar 18 tahun manakala kedewasaan kanak-kanak perempuan adalah pada usia 17 tahun. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 24/29-30; Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Sayyis, 3/185 dan al-Tafsir al-Munir, 18/296)

Dr. Muhammad Mahmud Hijazi berpendapat bahawa kebiasaan usia baligh bagi seorang kanak-kanak adalah dalam lingkungan antara 15 dan 18 tahun. (Lihat al-Tafsir al-Wadih, 8/30)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Sehingga mencapai usia matang dengan cara bermimpi atau sudah besar. Perkataan ‘أَشُدَّهُ’ memberi maksud sempurna kelelakiannya serta pengetahuannya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/93)

Manakala maksud yatim, sepertimana dijelaskan oleh Ibn Manzur, beliau menukilkan bahawa Ibn Barriy berkata: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya”. (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/29)

Imam al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat menyebut: Yatim ialah seseorang yang bapanya telah meninggal dunia kerana nafkah adalah di atas tanggungjawab bapa tersebut, bukan atas ibu. Manakala bagi haiwan, yatim adalah apabila kematian ibunya kerana susu dan makanan adalah daripada ibu tersebut. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 254)

Oleh itu, dapat difahami bahawa yatim pada istilah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapa. Dan kanak-kanak tersebut pula belum mencapai usia baligh. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ

Maksudnya: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.”

Riwayat Abu Daud (2873)

Syeikh Syams al-Haq al-'Azim Abadi menukilkan kenyataan Ibn Ruslan yang menyebut: Apabila anak yatim sama ada lelaki atau perempuan telah mencapai usia baligh di mana mereka telah bermimpi seperti kebanyakan orang, maka hilanglah baginya status keyatiman secara hakikat dan berjalan ke atasnya hukum baligh. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 8/76)

Di dalam kitab al-Muhazzab turut dinyatakan: Yatim adalah seorang yang tidak mempunyai bapa dan dia belum baligh. Tidak dinamakan yatim bagi orang yang sudah baligh. (Lihat al-Muhazzab, 2/247)

Imam al-Sarkhasi pula menyatakan: Apabila seseorang itu sudah ihtilam (bermimpi basah), maka telah keluar dari sifat yatim. (Lihat al-Mabsut, 10/30)

Kami pernah menyatakan pandangan kami berkenaan had umur seseorang anak yatim itu wajib dinafkahkan; Adakah ia berdasarkan umur balighnya atau sebaliknya. Ia boleh dirujuk dalam artikel Irsyad al-Fatwa Siri Ke- 230: Umur Baligh Menurut 4 Mazhab dan Had Umur Yatim.[1] Antara lain, kami menyatakan: Kami cenderung kepada pendapat di dalam mazhab al-Hanafi dan al-Maliki dalam menentukan had umur baligh iaitu pada usia 18 tahun, khususnya dalam isu nafkah kepada anak yatim. Ini kerana, kebiasaannya di Malaysia, anak yang berusia bawah 18 tahun ini belum lagi bersedia untuk hidup secara bersendiri (berdikari) serta menafkahkan dirinya sendiri. Tambahan pula, kami juga bersetuju bahawa pihak mahkamah boleh memanjangkan tempoh nafkah tersebut kepada anak yatim tersebut dengan melihat kepada maslahah seperti nafkah, pendidikan dan kerjaya anak yatim tersebut sehingga had umur yang tertentu seperti 21 tahun dan sebagainya.”

 

Kesimpulan

Istilah yatim pada asasnya adalah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapanya dan dia masih belum mencapai baligh. Akan tetapi, kami berpendapat pelaksanaan hukuman yatim boleh dilanjutkan lagi berdasarkan uruf semasa – di mana remaja yang berusia 14 sehingga 15 tahun pada ketika ini adalah masih lagi berada di bangku persekolahan menengah dan mereka masih memerlukan pelbagai sokongan dan dokongan dari pelbagai pihak. Justeru, pendapat seperti mazhab Hanafi berkenaan had umur yatim yang membawa sehingga kepada 17 atau 18 tahun boleh diberi penekanan. Bahkan seperti yang telah kami nukilkan, pendapat yang dinisbahkan kepada Imam al-Suddi dan ramai lagi tokoh dalam memberi pendapat berkenaan dengan ‘حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ’ memberi maksud bahawa usia tersebut boleh jadi lebih daripada itu.

Kami lebih cenderung – walaupun dihukumkan sebagai yatim itu sehingga baligh – tetapi perlu juga dilihat keadaan sehingga mereka selesai belajar di peringkat universiti kerana saraan kos dan keperluan untuk pembiayaan amat memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak. Ini lebih menepati maslahat dalam pembelaan hak anak yatim sehingga membawa kepada keselesaan hidup mereka.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

 

[1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3737-al-kafi-1396-tafsiran-ayat-anak-yatim-dan-maksud-yatim