Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1448 : IMAM TERLUPA AMBIL WUDUK

af1448 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ustaz, saya ingin bertanya tentang solat berjemaah. Pernah satu hari, saya bersolat jemaah. Setelah selesai, imam memberitahu para makmum bahawa beliau lupa untuk berwuduk selepas membuang air kecil. Soalannya; adakah saya wajib mengulangi solat berkenaan kerana kesilapan berlaku daripada pihak imam, bukan saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah bagi nda hingga ke Hari Akhirat.

Salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau meyakini bahawa solat imamnya batal. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/179). Antara perkara yang membatalkan solat ialah seseorang itu berada dalam keadaan berhadas; sama ada hadas kecil atau besar, semasa menunaikan solat. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/170). Maka jika makmum solat dalam keadaan dia mengetahui imamnya berhadas sebelum atau semasa solat, seperti mendapati imamnya membuang angin, maka tidak sah solat makmum itu atau wajib baginya untuk berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) atau diharuskan istikhlaf (penggantian imam) sekiranya berlaku semasa solat. Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/456).

Adapun jika imam memberitahu makmum selepas selesainya solat bahawa dia bersolat dalam keadaan berhadas kerana lupa, maka perkara itu tidak memudaratkan solat makmum. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, mereka mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian pahalanya. Namun bila dia salah kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka mendapatkan dosa (atau kesalahan ke atas mereka)."

Riwayat al-Bukhari (no.694) dalam بَابُ إِذَا لَمْ يُتِمَّ الإِمَامُ وَأَتَمَّ مَنْ خَلْفَهُ (Bab Jika Imam Tidak Sempurna Solatnya Manakala Makmum Sempurna).

Ketika membahaskan hadis ini, Imam Ibn Hajar al-Asqalani menakalkan kata-kata Imam Ibn al-Mundzir: “Hadis ini menjawab orang yang menyangka bahawa solat imam apabila rosak maka akan rosak solat orang di belakangnya,”

Rujuk Fath al-Bari (2/188)

Dalil kedua adalah hadis Abu Bakrah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ أَنْ مَكَانَكُمْ ثُمَّ جَاءَ وَرَأْسُهُ يَقْطُرُ فَصَلَّى بِهِمْ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ قَالَ إنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنِّي كُنْتُ جُنُبًا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullahtelah masuk ke dalam solat Subuh, kemudian baginda memberi isyarat dengan tangannya, “kalian tunggu di tempat kalian”, kemudian baginda kembali dengan keadaan kepalanya ada air menitik, lalu baginda solat bersama mereka.” Setelah solat baginda bersabda: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia, dan tadi aku berjunub.”

Riwayat Abu Daud (no.234). Imam al-Nawawi mengatakan hadis ini sanadnya sahih.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (4/256-260):

“Jika seseorang makmum itu tidak mengetahui (keadaan imamnya yang berhadas) sehingga selesai salam daripada solat itu, nescaya memadai (atau sah) solat itu… sama ada imam itu mengetahui tentang dirinya sendiri atau tidak, kerana tidak berlaku kecuaian daripada pihak makmum pada kedua-dua keadaan. Inilah pendapat mazhab dan diputuskan jua oleh Jumhur (ulama).”

“Tentang pendapat-pendapat ulama berkenaan hukum solat di belakang orang yang berhadas dan berjunub dalam keadaan tidak mengetahui hal hadasnya; telah kami sebutkan sebelum ini bahawa mazhab kami (Syafie) bahawa sah solat makmum, dan ini yang diceritakan oleh Ibn al-Mundzir darippada Umar al-Khattab, Uthman, Ali, Ibn Umar, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, al-Nakhaie, al-Auzaie, Ahmad, Sulaiman bin Harm, Abu Thaur dan al-Muzani.

“Manakala satu riwayat lain daripada Ali, Ibn Sirin, al-Sya`bi, Abu Hanifah dan para ashabnya bahawa wajib mengulang kembali solat, dan ini juga pendapat Hammad bin Abi Sulaiman (Guru Abu Hanifah).”

“Berkara Malik bahawa jika imam itu sengaja solat dalam keadaan mengetahui dia berhadas maka dia adalah seorang yang fasiq (berdosa) maka wajib ke atas makmum untuk mengulangi solat berdasarkan mazhabnya (Maliki), adapun jika tidak sengaja maka tidak perlu.”

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhali dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/416):

“Tidak diharuskan untuk solat di belakang orang yang berhadas, yang diketahui kehadasannya, kerana dia bukan daripada orang yang boleh solat. Jika seseorang itu solat di belakang orang yang berhadas, sedangkan dia mengetahui status kehadasan orang itu maka makmum itu berdosa dan solatnya batal. Berbeza dengan orang yang jahil terhadap status hadas itu, maka tidak wajib untuk diulangi solat bagi solat selain solat Jumaat, dan wajib diulang jika berlaku pada solat Jumaat.

Adapun jika diketahui (selepas solat) bahawa imam itu berjunub, atau berhadas, atau menanggung najis yang tertutup dalam bajunya, atau badannya, maka tidak wajib diulangi oleh makmum akan solat, kerana bukan daripada kelalaian. Adapun jika najis itu terzahir dan dia tetap mengikut orang itu maka wajib ulang semula solat.”

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa:

  • Makmum yang mengetahui imam berhadas ketika menunaikan solat tetapi masih solat di belakang imam tersebut, maka makmum itu berdosa dan solatnya batal serta perlu diulang;
  • Makmum yang mengetahui imam berhadas semasa solat, maka wajib ke atas makmum untuk mufaraqah (berpisah daripada imam) dan bersolat bersendirian. Sekiranya imam berhadas kemudian keluar daripada solat, diharuskan untuk istikhlaf yakni menggantikan imam, dengan syarat tidak begitu lama sehingga makmum berpindah rukun. Rujuk al-Mu`tamad (1/456)
  • Makmun tidak mengetahui imam berhadas sebelum atau semasa solat, kemudian hanya diberitahu selepas solat, maka tidak wajib ke atas makmum berkenaan untuk mengulang kembali solatnya, sama ada imam terlupa atau sengaja, kerana kesilapan itu bukan berpunca daripada kelalaian makmum, Maka dalam kes di atas, solat makmum dalam kes di atas sudah sah dan tidak perlu diulang semula.
  • Pengecualian bagi hukum ini adalah bagi solat-solat yang diwajibkan dilakukan secara berjemaah seperti solat Jumaat, maka wajib diulang semula. Wallahua’lam.