Soalan:
Adakah wajib membayar zakat bagi harta-harta yang haram, seperti faedah simpanan di bank konvensional, wang suapan atau rasuah, wang hasil perjudian, harta yang dirampas secara zalim dan lain-lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Harta haram tidak wajib dan tidak sah dibayar zakat daripadanya kerana pemegang harta tersebut tidak dikira sebagai pemilik yang sah, sedangkan zakat hanya wajib ke atas pemilik yang sah dan pemilikan yang penuh (milk al-tam) itu wujud. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Baik, dan tidak menerima sesuatu kecuali ia perkara yang baik.
Sahih Muslim (1015)
Disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyyah bahawa harta haram seperti harta yang dirompal, dicuri, rasuah atau riba dan lain-lain tidak dimiliki oleh pemegangnya, maka ia tidak diwajibkan zakat. Hal ini kerana zakat bermatlamatkan penyucian harta dan pemberi zakat itu sendiri. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَ
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);
Surah al-Taubah (103)
(Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 23/249)
Maka jika seseorang itu ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram tersebut, apa yang perlu dilakukan? Imam al-Nawawi Rahada menukilkan fatwa Imam al-Ghazali:
“...jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul, masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam”.
Tambah beliau lagi, pemegang harta haram tidak diwajibkan mengerjakan haji, menunaikan zakat dan menunaikan kaffarah. Inilah juga pandangan yang dikemukakan oleh Imam Ibn Abidin daripada mazhab Abu Hanifah.
Perkara yang sama turut dinyatakan oleh mantan Mufti Jordan, Syeikh Nuh Ali Salman, dan menambah bahawa zakat hanya diwajibkan setelah harta haram itu dikembalikan kepada pemilik yang sebenar. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/351-352; Hasyiyah Ibn Abidin 2/291 dan Fatawa al-Syeikh Nuh Ali Salman dalam bab zakat, fatwa nombor 36)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami nyatakan bahawa harta haram seperti harta yang dicuri, dirompak, hasil perjudian, hasil faedah riba dan sebagainya tidak wajib, bahkan tidak sah untuk dikeluarkan zakat daripadanya.
Harta-harta haram ini hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya atau diinfakkan untuk kemaslahatan kaum Muslimin, seperti membantu golongan fakir miskin atau pembinaan infrastruktur awam.
Suka juga kami nyatakan bahawa sekiranya harta haram itu melibatkan aktiviti jenayah menurut undang-undang negara seperti aktiviti pengubahan wang haram yang melibatkan unsur pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dadah dan rasuah, maka hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Wallahu a’lam.