Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1452 : CERAIKAN ISTERI KEDUA KERANA TIADA PERSETUJUAN ISTERI PERTAMA

af 1452 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, saya ingin sangat bertanya tentang perkara ini. Apakah hukum seorang anak yang telah beristeri lain iaitu berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya dan apabila ibunya dapat tahu dia suruh anaknya cerai isteri muda bersandarkan hadis kononnya Nabi pernah sebut jika kahwin dengan isteri kedua tanpa pengetahuan suami maka perlu diceraikan isteri kedua. Mohon penjelasan ustaz. Terima kasih

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Adalah penting untuk kami menjelaskan secara ringkas tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan penceraian atau talak sebagai satu pendahuluan sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan.

Talak merupakan satu cara untuk melepaskan atau meleraikan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan sebagainya. Ini membawa makna bahawa seorang wanita sentiasa berada di bawah jagaan dan perlindungan suaminya selagi mana dia tidak diceraikan. Apabila dia telah diceraikan maka terputuslah ikatan antara dia dan suaminya. Perkara ini telah disebutkan di dalam Al-Quran dan di dalam hadis Nabi SAW. Di antaranya firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ ۗ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik..

(Surah Al-Baqarah : 229)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi ketika mengulas ayat ini, beliau menyebut bahawa jika seorang lelaki menceraikan isteri sebanyak sekali atau dua kali maka dia dibolehkan untuk merujuk isterinya semula selagi mana isterinya berada di dalam iddah. Jika tempoh iddahnya sudah tamat ataupun menceraikan isteri sebelum disetubuhi maka tidak halal baginya untuk merujuk semula perlu diakad semula. Jika dia menceraikan isterinya dengan talak tiga maka tidak boleh dirujuk semula selagi dia tidak berkahwin baru dan bersetubuh dengan suami barunya.

Beliau menyebutkan lagi bahawa hikmah di sebalik hukum tersebut adalah kerana manusia hanya akan merasa berharganya satu-satu nikmat apabila ianya sudah hilang. Barangkali pada masa itu baru timbul perasan kasih dan saying kepada isterinya serta menyesal atas perbuatan buruknya terhadap isterinya.Begitu juga si isteri ketika telah diceraikan barulah dia teringat yang dia ada mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Maka, diberikan peluang rujuk supaya kedua-duanya boleh kembali menjalani kehidupan rumah tangga dan menunaikan tanggungjawab yang pernah diabaikan dahulu.(Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 2/171).

Bahkan hukum mentalakkan isteri adalah tertakluk kepada hukum taklifi. Ianya berbeza-beza mengikut situasi-situasinya yang tertentu. Mentalakkan isteri tanpa sebab adalah makruh (Rujuk Ifadah Al-Raghibin Bi Syarh Wa Adillah Minhaj Al-Tolibin, 3/1337).

  1. Wajib apabila seorang suami bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya melebihi empat bulan. Ia juga dinamakan sebagai ila’.
  2. Sunat apabila suami melihat isteri tidak lagi menjalankan tanggungjawab dan berperangai dengan perangai yang tidak sepatutnya.
  3. Makruh jika isteri tiada apa-apa kesalahan dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
  4. Haram jika talak yang dilakukan adalah talak bid’i iaitu mentalakkan isteri dalam keadaan haid.
  5. Harus jika ada sebab yang munasabah dari sudut pandang syarak.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kami tidak menjumpai hadis yang mengatakan perlu menceraikan isteri kedua jika berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama. Berkemungkinan ia adalah rekaan semata-mata. Tujuannya sememangnya baik iaitu supaya melarang suami berkahwin lain sebelum meminta izin dan berbincang terlebih dahulu dengan isteri yang pertama. Namun begitu ia tidak menghalalkan pembohongan dan pemalsuan yang dilakukan menggunakan nama Nabi SAW.

Memang pada asalnya, seorang lelaki boleh menikahi dua, tiga atau empat orang isteri jika dia mampu untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Bahkan dia tidak perlu meminta izin isterinya yang pertama untuk berkahwin sekali lagi. Ini berdasarkan kepada umum firman Allah SWT :

فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً

Maksudnya : “maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..”

(Surah Al-Nisa : 3)

Imam Al-Qurtubi menukilkan pandangan Al-Dahhak dan para mufassirin yang lain. Mereka menyebut bahawa jika ada kecendurangan dari sudut kasih sayang, pergaulan dan pembahagian hari sehingga boleh membawa ketidakadilan maka diharamkan untuk berkahwin lebih dari satu. (Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 5/20)

Maka dapat kita fahami bahawa jika poligami tersebut boleh menyebabkan berlakunya kezaliman dan penganiyaian terhadap isterinya yang pertama sehingga tahap mengabaikan nafkah dan tidak berlaku adil maka haram untuk berkahwin lain. Bahkan para ulama menyatakan makruh hukumnya berpoligami sekiranya tiada hajat yang mendesak. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 4/20)

Walaupun meminta izin isteri pertama tidak menjadi syarat namun ianya sangat penting untuk diambil perhatian oleh suami. Ianya perlu dilakukan supaya boleh mengelakkan perbalahan dan pergaduhan.Persetujuan dari isteri pertama adalah satu cara untuk mewujudkan suasana harmoni di dalam poligami. Ikutlah prosedur yang betul agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Kesimpulannya, hadis yang disebutkan itu kononnya Nabi sebut perlu menceraikan isteri kedua jika berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama adalah hadis yang palsu dan tiada di dalam mana-mana sumber. Jangan suka menisbahkan sesuatu yang tidak benar menggunakan nama Nabi SAW. Bagi suami yang ingin berpoligami, sebaiknya berbincang secara baik dengan isteri pertama dan jangan disembunyikan supaya tidak timbul masalah di masa hadapan. Memang dari sudut syarak tidak perlu minta izin namun apa yang perlu kita ketahui adalah kita tertakluk dari sudut undang-undang keluarga islam yang sedang berkuatkuasa yang diwujudkan demi menjaga maslahat sebuah perkahwinan.