Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Apakah hukumnya sekiranya saya membayar wang pelincir untuk mendapatkan hak saya yang tertahan? Saya telah mencuba pelbagai cara lain bagi mendapatkan hak saya itu, tetapi tidak berhasil. Saya buntu. Harap Dato’ dapat memberi saya pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.
(Surah al-Baqarah : 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). [al-Tafsir al-Muyassar, m/s : 29]
Memahami makna rasuah
Rasuah adalah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. [Lihat : al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, (22/219)]
Dr Yusuf al-Qaradhawi pula menyebut bahawa termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya. [Lihat : al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m/s : 379]
Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai : “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah ; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”
Berbalik kepada soalan di atas, kita dapat simpulkan bahawa perbuatan memberi wang pelincir adalah termasuk di dalam perbuatan memberi rasuah.
Dalil pengharaman rasuah
Pengharaman rasuah jelas di dalam al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)
(Surah al-Maidah : 42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan : “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” [Lihat : Ma’alim al-Tanzil,(3/58)]
Rasulullah SAW juga ada bersabda :
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” [HR Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)]
Selain itu, amalan rasuah juga akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk seperti menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara, pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir, muncul orang jahat yang bertambah jahat, Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang dan lain-lain lagi.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu rasuah ini, bolehlah membaca artikel kami di dalam laman web PMWP :
- Al-Kafi li al-Fatawi (711) : Apakah hukum menjadi perantara dalam perbuatan rasuah?
- Al-Kafi li al-Fatawi (1237) : Rasuah sudah menjadi budaya rakyat Malaysia?
Terpaksa memberi rasuah bagi mendapatkan hak yang tertahan
Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam kitabnya bahawa sesiapa yang mempunyai sebarang hak yang diabaikan dan tiada lagi jalan lain bagi mendapatkannya kembali melainkan dengan memberi rasuah, ataupun dia ditimpa suatu kezaliman, yang mana tidak dapat melepaskan dirinya melainkan dengan memberi rasuah, maka yang paling utama baginya ialah bersabar sehingga Allah memudahkan baginya sebaik-baik jalan untuk melepaskannya dari kezaliman atau untuk mendapatkan kembali haknya itu. Tetapi, jika dia memilih jalan memberi rasuah untuk mengatasi masalahnya itu, dosanya adalah ke atas siapa yang menerima rasuah tersebut dan bukan ke atas yang memberi rasuah, kerana dia telah mencuba pelbagai cara, namun tidak berhasil (sehingga tiada lagi jalan lain) bagi menolak kezaliman atau mendapatkan semula haknya tanpa bertindak terhadap hak orang lain. [Lihat : al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m/s : 382-383]
Kita dapat fahami bahawa seseorang itu tidak boleh bermudah-mudah dalam hal ini, melainkan setelah tiada lagi jalan lain kerana rasuah tetap kekal hukumnya sebagai haram. Dan kelonggaran tersebut mestilah sekadar cukup bagi dia untuk menolak kezaliman dan mendapatkan kembali haknya sahaja serta tidak lebih daripada itu. Ini bertepatan dengan kaedah :
الضرورات تبيــح المحــظورات وتقدر بقدرها
Maksudnya : “Mudarat mengharuskan yang haram dan mengambilnya cukup hanya sekadar yang perlu sahaja”
Oleh yang demikian, jika dia melakukan perkara yang haram (ketika darurat) lebih daripada had yang dibenarkan, maka dia telah berdosa.
Kemudian, Dr. Yusuf al-Qaradawi menambah lagi, terdapat sesetengah ulama membuat alasannya dengan hadis-hadis Nabi SAW yang memberitakan tentang sekumpulan orang yang datang menggesa Baginda SAW untuk memberikan kepada mereka sedekah, iaitu zakat sehingga Baginda SAW terpaksa memberikan kepada mereka, iaitu riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A yang mengatakan :
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إِن أحدكُم ليخرج بِصَدَقَتِهِ من عِنْدِي متأبطها وَإِنَّمَا هِيَ لَهُ نَار قال عمر : يَا رَسُول الله! كَيفَ تعطيه وَقد علمت أَنَّهَا لَهُ نَار؟ قَالَ : فَمَا أصنع؟ يأبون إِلَّا مَسْأَلَتي، ويأبى الله عز وَجل لي الْبُخْل.
Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : Ada di kalangan kamu akan pergi membaawa sedekah yang aku berikannya kepada mereka, dengan mengepitnya (sedekah tersebut) di bawah ketiaknya, sedangkan ia itu adalah bara api neraka. Lantas Umar R.A bertanya : Wahai Rasulullah! Bagaimana kamu memberinya sedang kamu tahu bahawa pemberian itu adalah bara api neraka? Baginda SAW menjawab : Jadi, apa yang mesti aku lakukan? Mereka terus mendesak meminta-minta kepadaku, sedangkan Allah azza wajalla enggan aku menjadi bakhil.”[HR Abu Ya’la dan Ahmad (11123)]
Jika terdesak dengan permintaan seseorang, Nabi SAW terpaksa memberikan peminta sedekah itu apa yang diketahuinya bakal menjadi bara api neraka apabila diambilnya, maka bagaimana pula caranya sekiranya terdesak dengan keperluan untuk menolak suatu kezaliman atau mengambil kembali hak yang diabaikan?! [Lihat : al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m/s : 383]
Kesimpulannya
Berbalik kepada persoalan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :
- Islam mengharamkan orang Muslim untuk memberikan rasuah atau menerimanya atau terlibat di dalam perkara-perkara yang telah diharamkan atau menjadi wasilah kepada perkara yang haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah :
كل ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya : “Setiap perkara yang membawa kepada perkara haram, hukumnya adalah haram”
- Sekiranya seseorang itu terpaksa terlibat di dalam perkara haram, seperti memberi wang pelincir bagi mendapatkan hak yang tertahan atau memberi rasuah bagi melepaskan diri daripada kezaliman, dia tidak berdosa sekiranya sudah tiada lagi jalan lain melainkan dengannya. Dan harus diingat perbuatan tersebut mestilah cukup sekadar yang perlu sahaja, tidak boleh lebih daripada itu. Namun, sekiranya dia dapat bersabar, itulah yang lebih utama dan lebih baik baginya.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan bagi melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala perkara-perkara yang haram.
Kami akhiri dengan firman Allah SWT :
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ
Maksudnya : “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami”
(Surah al-Baqarah : 286)