Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

untitled-infogr_34134612 (1).jpg

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Tujuan pernikahan adalah untuk membina ikatan yang halal dan diredhai Allah SWT sesuai dengan tujuan penciptaan manusia yang diciptakan secara berpasang-pasangan. Namun begitu, memang tidak dapat dielakkan bahawa kadangkala berlaku kepincangan dalam sesebuah rumah tangga khususnya keretakkan hubungan antara suami dan isteri berpunca daripada pelbagai sebab. Lalu, jalan terakhir yang dipilih adalah dengan jalan penceraian. Bagi sebuah perkahwinan, hukum asal kuasa bagi penceraian adalah di tangan suami. Adapun begitu, kuasa penceraian ini hanya boleh digunakan oleh suami sebanyak 2 kali sahaja sepertimana firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Al-Baqarah: 229)

Jika suami menceraikan isteri selepas talak yang kedua, Maka akan berlaku talak 3. Begitu juga, jika suami menceraikan isteri dengan sekali lafaz yang jelas dengan talak 3 maka tersabit talak tersebut dalam perkahwinannya. Seorang suami yang menceraikan isterinya dengan talak 3, maka dia tidak boleh meruju’ kembali isterinya sehingga bekas isterinya itu bernikah bersama lelaki lain dan telah melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.

Firman Allah SWT:

فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلاَ تَحِل لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: Kemudian jika suami menalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia berkahwin bersama suami yang lain.

(Al-Baqarah : 230)

Sabda Nabi SAW:

أَنَّ رَجُلاً، طَلَّقَ امْرَأَتَهُ ثَلاَثًا، فَتَزَوَّجَتْ فَطَلَّقَ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَتَحِلُّ لِلأَوَّلِ قَالَ "‏ لاَ، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَهَا كَمَا ذَاقَ الأَوَّلُ

Maksudnya: Seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak 3, kemudian bekas isterinya menikahi seorang lelaki yang lain lalu diceraikan juga olehnya. Nabi SAW ditanya, adakah halal atau tidak jika wanita itu bernikah bersama bekas suaminya yang pertama, lalu Nabi SAW menjawab, tidak, dia tidak boleh bernikah bersama suami yang pertama sehingga suami kedua merasakan manisnya madu sepertimana suami pertama merasai (sehingga suami kedua melakukan hubungan intim bersama).

(Riwayat Bukhari, No. 5261)

Kemudian selepas daripada itu, jika berlaku perceraian atau kematian suaminya, maka pada jalan ini telah halal bagi bekas suami untuk menikahi bekas isterinya itu.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, apakah maksud nikah tahlil / muhallil dan apakah perbezaan diantara nikah cina buta?

Pada dasarnya, nikah tahlil / muhallil atau nikah cina buta adalah tidak mempunyai perbezaan kerana merujuk kepada makna yang sama. Cuma, perbezaannya adalah daripada sudut nama yang berlainan. Di Malaysia, nikah tahlil / muhallil ini lebih masyhur dikenali dengan nama nikah cina buta.

Nikah tahlil / muhallil atau cina buta adalah pernikahan bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan bekas isteri yang ditalak tiga oleh bekas suami dengan syarat dan peraturan yang telah dipersetujui. Seperti contoh:

  • - Suami baru tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan intim atau suami baru ketika akad perlu melafazkan ta’liq seperti sekiranya             beliau melakukan hubungan intim bersama isteri, secara langsung akan terjatuh talak 3.
  • - Perkahwinan baru itu telah ditentukan waktu atau kontrak, setelah tamat waktu maka suami perlu menceraikkan isterinya.
  • - Sejumlah wang telah ditetapkan kepada suami baru bagi menceraikan isterinya supaya bekas suami boleh bernikah semula.

Sebenarnya, kaedah nikah tahlil / muhallil atau nikah cina buta digunakan bagi pasangan yang berada di dalam keadaan terdesak untuk kembali menjadi suami dan isteri. Kerana dengan cara tersebut, pada zahirnya ia merupakan syarat dan jalan pintas bagi mereka untuk bernikah semula.  

Sunguhpun begitu, mengikut jumhur ulama’ Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi menyatakan bahawa nikah tahlil / muhallil atau cina buta ini adalah pernikahan yang tidak sempurna atau tidak mencukupi satu atau lebih syarat daripada syarat pada rukun nikah, kerana itu nikah ini tidak sah dan ia merupakan nikah fasid atau nikah batil. Bahkan, Nabi SAW melaknat pernikahan ini.

Sabda Nabi SAW;

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحِلَّ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.

Abu Isa menyatakan bahawa hadis ini adalah hasan sahih.

(Riwayat Tirmizi, No. 1120)

Saranan kami kepada pasangan yang ingin berkahwin, mahupun yang sudah berkahwin ataupun yang sedang berada di ambang konflik penceraian, kami menasihatkan agar berhati-hati dalam tindakan dan perbuatan agar tidak menyesal di kemudian hari. Perjalanan hidup sesebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip-prinsip yang saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lain. Koreksi diri dan bersabarlah, kerana hakikat kehidupan berkeluarga itu amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi.

WallahuA’lam.