Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1469 : YANG MANAKAH LEBIH BAIK, MENGHIDUPKAN SURAU YANG KURANG JEMAAHNYA ATAU PERGI KE MASJID YANG JEMAAHNYA RAMAI?

al Kafi 1469

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

YBhg Dato’, mohon bertanya. Saya ada dua pilihan untuk solat fardu Zohor dan Asar di surau yang tiada jemaah atau di masjid yang ramai jemaahnya. Yang manakah lebih baik bagi saya, menghidupkan surau yang kadang-kadang tiada atau kurang jemaah atau pergi ke masjid yang ramai jemaahnya? Mohon pencerahan Dato’. Sekian, terima kasih.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

(Surah al-Taubah : 18)

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. [Lihat : Tafsir al-Wasit li al-Tantawi (6/228)]

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. [Lihat : al-Tafsir al-Kabir (5/9)]

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. [Lihat : Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir (2/66)]

Kelebihan-kelebihan solat berjemaah

Di sana ada kelebihan-kelebihan tertentu buat mereka yang solat secara berjemaah. Sabda Nabi SAW :

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya : “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” [HR al-Bukhari (645)]

Begitu juga, terdapat ganjaran buat mereka yang berjalan (menuju) ke masjid sebagaimana di dalam hadis :

فإنَّ أحَدَكُمْ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ

Maksudnya : “Jika salah seorang daripada kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi masjid dengan tidak ada tujuan lain melainkan untuk solat, maka tidak ada langkah yang dilakukannya melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya (bagi setiap langkah tersebut) dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa sehinggalah dia masuk ke dalam masjid.” [HR al-Bukhari (477) dan Muslim (649)]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah solat berjemaah, antaranya :

  1. Bebas dan selamat daripada api neraka
  2. Selamat daripada sifat orang Munafik.
  3. Solat diterima.
  4. Mendapat keampunan daripada dosa.
  5. Ganjaran pahala yang besar.
  6. Menghilangkan penyakit waswas dan dipelihara daripada syaitan.

Selain itu, beliau juga telah menyenaraikan tingkatan solat berjemaah berdasarkan kelebihannya (keutamaan), iaitu :

  1. Jemaah solat Jumaat.
  2. Jemaah solat subuh.
  3. Jemaah solat Isyak.
  4. Jemaah solat Asar.
  5. Jemaah solat Zohor.
  6. Jemaah solat Maghrib.

[Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 289-290]

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam Al-Syirazi menyebut di dalam kitabnya :

إن كان في جواره مسجد تختل فيه الجماعة ففعلها في مسجد الجوار أفضل من فعلها في المسجد الذي يكثر فيه الناس

Maksudnya: “Sekiranya berdekatan dengannya terdapat masjid yang kurang jemaahnya, maka lebih baik menghadirinya bertujuan untuk meramaikan jemaah daripada menghadiri ke masjid yang mempunyai ramai jamaah.” [Lihat : Al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie: (1/177)]

Begitu juga, Imam al-Nawawi di dalam kitab beliau mengariskan beberapa panduan sepertimana yang dinukilkan di dalam kitabnya :

Lebih baik (afdhal) sekiranya mengimarahkan masjid yang jauh dan ramai jemaahnya, berbanding dengan masjid yang berdekatan tetapi kurang jemaahnya melainkan dalam dua keadaan :

  • Sekiranya untuk mendamaikan permusuhan di antara jemaah dengan imam atau sekiranya ia hadir ke masjid maka orang ramai akan hadir dengan keberadaannya. Oleh itu, sebaiknya hadir ke masjid yang berdekatan dengannya bertujuan untuk mengimarahkannya.
  • Adapun afdhal hadir ke masjid yang lebih dekat sekiranya masjid yang jauh itu berimamkan orang yang sesat, fasik dan tidak mengambil berat tentang rukun solat.

[Lihat : al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab (4/198)]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff juga ada menyatakan di dalam kitabnya al-Taqrirat al-Sadidah bahawa solat berjemaah di masjid yang jemaahnya ramai lebih baik daripada jemaah yang sedikit, melainkan dalam beberapa keadaan :

  • Sekiranya jemaah yang sedikit terputus disebabkan oleh ketiadaannya.
  • Sekiranya Imam bagi jemaah yang ramai tersebut seorang yang fasik.
  • Sekiranya Imam bagi jemaah yang ramai adalah seorang ahli bid‘ah (yang tidak terkeluar daripada agama Islam).
  • Sekiranya Imam bagi jemaah yang ramai berbeza mazhabnya seperti Hanafi.
  • Sekiranya Imam bagi jemaah yang ramai bacaannya laju sedangkan makmumnya lambat.
  • Sekiranya jemaah yang sedikit solat pada waktu yang afdhal.
  • Sekiranya jemaah yang sedikit solat di tempat yang tiada keraguan padanya.

[Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 291-292]

Begitu juga, Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menukilkan berkenaan keperluan untuk menghidupkan masjid atau surau yang lebih memerlukan seperti yang dinyatakan :

وَإِنْ كَانَ فِي جِوَارِهِ أَوْ غَيْرِ جِوَارِهِ مَسْجِدٌ لَا تَنْعَقِدُ الْجَمَاعَةُ فِيهِ إلَّا بِحُضُورِهِ فَفِعْلُهَا فِيهِ أَوْلَى؛ لِأَنَّهُ يَعْمُرُهُ بِإِقَامَةِ الْجَمَاعَةِ فِيهِ

Maksudnya: “Sekiranya sekitar tempatnya atau di tempat yang lain terdapat masjid yang tidak mempunyai jamaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama. Ini bertujuan mengimarahkan dan mendirikan jamaah di dalamnya.” [Lihat :  al-Mughni (2/132)]

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu masjid dan perkara yang berkaitan dengannya, bolehlah membaca artikel kami di dalam :

  1. Bayan Linnas Siri ke-63 : Masjid & Kanak-kanak.
  2. Bayan Linnas Siri ke-206 : Pengimarahan Masjid : Tugas Kita.
  3. Irsyad al-Fatwa Siri ke-209 : Hukum Solat di Masjid Yang Lebih Jauh Daripada Kediaman Kerana Takut Menjadi Imam di Surau Kampung.
  4. Al-Kafi li al-Fatawi (1083) : Bagaimana Menggalakan Anak-anak Muda ke Masjid.
  5. Al-Kafi li al-Fatawi (1120) : Hukum Solat di Masjid Yang Jauh Dari Tempat Tinggal.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, melihat kepada keadaan dan situasi surau atau masjid berkenaan, kami berpandangan adalah lebih baik sekiranya dapat menghidupkan surau atau masjid yang tiada atau kurang jemaahnya, seperti mengumandangkan azan tiap kali masuk waktu, menunaikan solat fardu secara berjemaah, mengadakan tadarus al-Quran, majlis atau halaqah ilmu dan lain-lain. Jika ada kesempatan, sekali sekala carilah peluang untuk ke masjid yang jemaahnya ramai, supaya mendapat fadilat dan kelebihan solat dengan jemaah yang ramai.

Akhir kalam, kami mendoakan saudara, semoga dapat terus kuat dan istiqamah dalam memakmurkan serta menghidupkan rumah-rumah Allah. Moga-moga ia menjadi salah satu amal kebajikan yang diterima oleh Allah kelak di hari akhirat.