Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1471 : HUKUM MAKAN MAKANAN YANG DINIATKAN UNTUK SEDEKAH

ak1471.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya ada berniat untuk menyedekahkan makanan tetapi saya tidak jadi, dan makanan tersebut dimakan oleh saya. Soalan saya, apakah hukum saya makan makanan yang diniatkan untuk sedekah tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Amalan bersedekah merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda bagi orang yang menyedekahkan harta ke jalan-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.

(Surah al-Hadid: 18)

Begitu juga, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah : 274)

Berbalik kepada soalan yang ditanya, para ulama’ telah membahaskan tentang hukum menarik balik sedekah dan membezakan keadaan di antara sedekah yang sudah diterima dan yang masih belum diterima oleh penerimanya.

Hukum menarik balik sedekah yang sudah diberikan dan diterima oleh penerimanya adalah haram dan berdosa. Ini berdasarkan hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah memberi perumpamaan terhadap orang yang menarik semula sedekah yang telah diberikannya seperti anjing yang memakan muntahnya semula. Rasulullah SAW bersabda:

مثَل الذي يرجِعُ في صَدَقَتِه، كمثَلِ الكَلبِ يَقيءٌ، ثم يعودُ في قَيئِه فيأكُلُه

Maksudnya: Perumpaan orang yang menarik kembali sedekah yang telah diberikannya diibaratkan seperti anjing yang muntah, kemudian ia kembali memakan muntahnya sendiri.

Riwayat Muslim (1622)

وأما الصدقة ، فاتفقوا على أنه لا يجوز الرجوع فيها بعد القبض

Maksudnya: Adapun sedekah, para ulama’ bersepakat bahawa ia tidak boleh untuk ditarik balik sedekah setelah penerima menerimanya (qabd). (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 5:235)

Walau bagaimanapun, jika sekiranya sedekah tersebut diniatkan sahaja atau ingin menarik balik sebelum penerima sedekah menerimanya, maka hukumnya adalah harus untuk mengambil semula sedekah tersebut. Namun, disunatkan supaya disedekahkan juga, dan tidak wajib baginya untuk mendermakan semula. Hal ini seperti yang disebutkan di dalam kitab Syarh Muntaha al-Iradat:

ومن ميز شيئاً للصدقة به أو وكل فيه ثم بدا له أن لا يتصدق به سن له إمضاؤه مخالفة للنفس والشياطين ، ولا يجب عليه إمضاؤه ; لأنها لا تملك قبل القبض

Maksudnya: Barangsiapa yang telah membahagikan sebahagian hartanya untuk disedekahkah atau diberikan kepada wakil untuk menyedekahkannya, kemudian dia berasa tidak mahu menyedekahkannya pula, maka sunat baginya untuk terus memberikannya kepada penerimanya kerana hal ini berlawanan dengan godaan nafsu dan hasutan syaitan. Namun, tidak wajib untuk dia memberikan sedekah tersebut kerana sedekah tidak dimiliki oleh seseorang penerima sebelum dia menerimanya. (Rujuk Syarh Muntaha al-Iradat, 2:334)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum memakan makanan yang diniatkan untuk bersedekah adalah harus dan tidak berdosa. Ini kerana ia sekadar diniatkan dan belum diterima oleh penerimanya. Namun, jika sekiranya sedekah tersebut sudah diberikan dan diterima oleh penerimanya, maka haram untuk kita menarik balik dan mengungkit kembali apa yang telah diberikan. Ini kerana hal tersebut menyakiti orang yang menerima sedekah tersebut. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti.

(Surah al-Baqarah: 264)

Walau bagaimanapun, kami menyarankan supaya disedekahkan kembali nilai makanan yang dimakan tersebut supaya dapat melaksanakan taufiq daripada niat baik itu dan seterusnya mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang yang bersedekah. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. Ameen.

WaAllahu a’lam.