Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1483: HUKUM WUDHUK DAN SOLAT BAGI PESAKIT BUASIR

 

AK 1483

SOALAN:

Assalamualaikum W.B.T. Saya mempunyai masalah buasir. Saya telah mandi dan mencuci habis kawasan dubur saya kemudian saya berwudhuk untuk mendirikan solat. Masalah saya ialah ketika solat saya terasa ada cecair keluar dari punggung saya. Apa yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Seseorang yang hendak mendirikan solat hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempat solatnya suci daripada najis kerana ia merupakan salah satu daripada syarat sah solat. Sabda Nabi S.A.W:

اِذَا اَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِيَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang”.

Hadis riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333) 

Persoalan di atas merujuk kepada masalah buasir. Maklumat lanjut berkenaan hukum pesakit buasir boleh rujuk artikel kami yang berkaitan:

Al-Kafi #469: Pesakit Buasir Memasukkan Air Dalam Dubur Bagi Memudahkan Buang Air Besar http://bit.ly/2EpwoXD

Buasir atau hemoroid ialah pembengkakan atau keradangan pada bahagian pembuluh darah dan tisu di sekeliling dubur dan hujung usus besar. Penekanan yang berterusan terhadap pembuluh darah pada bahagian dubur atau rektum ini menyebabkan pendarahan berlaku ketika membuang air besar. Buasir terbahagi kepada dua jenis iaitu buasir dalaman dan buasir luaran. (Rujuk: Dewan Kosmik, hlm 32).

Buasir Dalaman

Keadaan Pertama: Pendarahan belaku terputus-putus (tidak berterusan).

Darah buasir jika keluar dari bahagian dalam dubur maka ia membatalkan wuduk. Hal ini kerana antara perkara yang membatalkan wuduk ialah keluar sesuatu daripada dubur walaupun yang keluar itu adalah darah.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah “Maka perkara yang keluar daripada kemaluan hadapan lelaki atau perempuan atau dari dubur keduanya itu membatalkan wuduk. Samada yang keluar itu berupa tahi atau air kencing atau angin atau ulat atau nanah atau darah atau batu kecil atau lainnya. Tiada perbezaan dalam hal ini di antara perkara yang jarang-jarang berlaku atau yang biasa berlaku”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 2/541).

Terdapat di dalam Fatwa Syabakah Islamiah menyebutkan: “Adapun buasir yang keluarnya darah dari bahagian dalam dubur maka ia boleh membatalkan wudhuk. Maka wajib ke atasnya (pesakit) membersihkannya dan berwudhuk kembali”. (Rujuk: Fatawa Syabakah Islamiyah, 11/4038).

Keadaan Kedua: Pendarahan belaku secara berterusan

Jika darah buasir ini sentiasa keluar (secara berterusan) maka hukumnya adalah seperti hukum daimul hadas (orang yang sentiasa berhadas).

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Adapun orang yang terkena buasir dan orang yang lukanya sentiasa mengalir, maka hukumnya seperti hukum perempuan yang keluar darah istihadhah pada sudut wajib basuh darah untuk setiap solat fardhu dan mengikat tempat keluar hadas itu”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 2/541).

Berkata Imam Al-Hajjawi: “Dan mengambil hukum istihadhah bagi orang yang mengalami kencing tidak lawas atau angin yang sentiasa keluar atau luka yang sentiasa mengalir tetapi dia harus mengikat tempat keluar hadas itu”. (Rujuk: Al-Iqna' fi Fiqh al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, hlm 254-255).

Justeru, adab-adab yang perlu dilakukan bagi pesakit buasir dalam keadaan ini sebelum menunaikan solat adalah seperti berikut:

  1. Menunggu masuk waktu solat.
  2. Membersih atau membalut tempat keluar darah sekadar termampu.
  3. Menyumbat atau membalut tempat keluar najis.
  4. Berwudhuk dan diniatkan seperti berikut:-

نويت الوضوء لاستباحة الصلاة لله تعالى

Maksudnya: "Sahaja aku mengambil wudhuk untuk mengharuskan solat kerana Allah Taala".

  1. Segera menunaikan selepas berwudhuk (solatnya sah dan tidak perlu diulang).
  2. Wudhuk ini hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu sahaja dan semua solat-solat sunat yang lain.

Demikianlah adab-adab yang perlu dijaga oleh pesakit buasir bagi memastikan solatnya sah dan tidak perlu diulangi. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, hlm 533-542).

Buasir Luaran

Sekiranya darah buasir keluar dari bahagian luar dubur maka ia tidak membatalkan wuduk. Hukumnya seperti hukum luka biasa, tidak sama hukumnya dengan hukum daimul hadas. Tetapi diwajibkan membasuh darah tersebut setiap kali ingin menunaikan solat fardhu dan meletakkan sesuatu pada tempat keluar darah agar ia tidak merebak ke tempat yang lain.

Berkata Imam Al-nawawi Rahimahullah "Dan tidak wajib berwudhuk pada permasalahan luka dan buasir itu melainkan sekiranya ia berada pada bahagian dalam punggung (iaitu darah yang keluar dari bahagian dalam dubur) dan hal demikian yang membatalkan wudhuk”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 2/541).

Disebut dalam Fatawa Syabakah Islamiyah: “Adapun sekiranya darah buasir keluar dari bahagian luar dubur maka hal tersebut tidak membatalkan wudhuk, tetapi hendaklah dia membasuh tempat keluar darah, kerana darah ialah najis, dan kemudiannya dia boleh mengerjakan solat”. (Rujuk: Fatawa Syabakah Islamiyah, 11/4038).

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami menyimpulkan isu ini kepada beberapa perkara:

  • Sekiranya darah buasir keluar dari bahagian dalam dubur dan bukan secara berterusan, maka hal tersebut boleh membatalkan wudhuk dan menyebabkan solatnya terbatal. Adapun sekiranya darah buasir keluar secara berterusan, maka ia mengambil hukum orang yang sentiasa berhadas. Justeru dia perlu mengambil wudhuk setiap kali hendak mengerjakan solat dan membalut tempat keluar darah. Hukum solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun darah masih keluar semasa mengerjakan solat.
  • Manakala jika darah buasir keluar dari luar dubur, hukumnya adalah seperti hukum luka yang mengalir. Hal tersebut tidak membatalkan wudhuk namun hendaklah dibalut tempat keluar darah supaya tidak merebak ke tempat lain.
  • Kami juga menasihatkan pesakit buasir untuk merujuk pakar perubatan bagi mengenalpasti keadaan yang dialami olehnya, justeru membawa kepada kefahaman yang benar dalam memahami hukum fekah yang berkaitan penyakit buasir. Wallahu a’lam.