Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1487 : HUKUM MANDI DENGAN MENGGUNAKAN AIR ZAMZAM

al Kafi 1487

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Maaf mengganggu Dato’ Mufti. Saya ada satu kemusykilan. Apakah hukumnya jika seseorang itu mandi menggunakan air zamzam?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya : "Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit". [Lihat : Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid (3/286) dan Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (3/44-45) : Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir, perawi-perawinya adalah tsiqah dan telah disahihkan oleh Ibnu Hibban]

Air zamzam adalah merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah merupakan nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjid Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim 'Alaihimas Solatu wassalam, apabila Allah taala telah sediakan air daripada telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan juga ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air zamzam ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya sebagaimana hadis daripada Abu Zar R.Anhu bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya : "Sesungguhnya ia (air zamzam) air yang penuh dengan keberkatan dan ianya mengandungi makanan yang mengenyangkan". [HR Muslim (2473)]

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan air zamzam, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :

  1. Irsyad al-Hadith Siri ke-125 : Air Zamzam (ماء زمزم).
  2. Al-Kafi li al-Fatawi (1456) : Bolehkah Memberi Air Zamzam Kepada Orang Bukan Islam?

 

Menjaga kebersihan

Islam sangat prihatin terhadap soal kebersihan dan bersuci. Hal ini kerana kebersihan adalah merupakan sebahagian daripada iman. Sabda Nabi SAW :

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

 Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.

[HR Muslim (223)]

Perkara ini jelas dapat dilihat di dalam beberapa hadis Nabi SAW seperti perintah supaya memotong kuku, membersihkan gigi dan pakaian sebagaimana sabdanya :

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya : “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.” [HR al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)]

Begitu juga dengan gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Rasulullah SAW pernah bersabda :

لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِى كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Maksudnya : “Tanggungjawab setiap muslim kepada Allah ialah mandi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya.” [HR al-Bukhari (856) dan Muslim (849)]

 

Mandi dengan air zamzam

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, mandi termasuk dalam perkara bersuci dan juga merupakan salah satu cara membersihkan diri daripada kotoran. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan bahawa :

وَلَا يُكْرَهُ الطُّهْرُ بِمَاءِ زَمْزَمَ وَلَكِنْ الْأَوْلَى عَدَمُ إزَالَةِ النَّجَسِ بِهِ

Maksudnya : “Dan tidak makruh bersuci dengan air zamzam, akan tetapi adalah lebih utama tidak menggunakannya bagi menghilangkan najis (membersihkan najis dengannya).” [Lihat : Tuhfah al-Muhtaj (1/76)]

Syeikh Ibrahim al-Baijuri pula menyatakan bahawa adapun bagi telaga zamzam, pendapat yang muktamad (di dalam mazhab Syafie) ialah hukumnya tidak makruh menggunakan airnya sekalipun bagi menghilangkan najis akan tetapi ia termasuk dalam perkara khilaf aula (menyalahi yang utama). [Lihat : Hasyiah al-Baijuri ‘ala Fathi al-Qarib al-Mujib (1/55)]

Manakala Imam al-Nawawi ketika membahaskan mengenai hukum berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam menyatakan bahawa :

أَمَّا زَمْزَمُ فَمَذْهَبُ الْجُمْهُورِ كَمَذْهَبِنَا أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ الْوُضُوءُ وَالْغُسْلُ بِهِ... وَدَلِيلُنَا النُّصُوصُ الصَّحِيحَةُ الصَّرِيحَةُ الْمُطْلَقَةُ فِي الْمِيَاهِ بِلَا فَرْقٍ وَلَمْ يَزَلْ الْمُسْلِمُونَ عَلَى الْوُضُوءِ مِنْهُ بِلَا إنْكَارٍ

Maksudnya : “Adapun air zamzam, pendapat majoriti ulama adalah sepertimana pendapat mazhab kita (mazhab Syafie) iaitu tidak makruh berwuduk dan mandi dengannya (air zamzam)…dan dalil kita ialah keumuman nas yang sahih lagi jelas berkenaan (hukum) air tanpa membezakannya. Juga sentiasa ada orang-orang Islam yang berwuduk dengan air zamzam tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya.” [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/91)]

Terdapat satu riwayat daripada Imam Ahmad yang menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Mereka berhujahkan pendapat al-‘Abbas R.A ketika berada di sisi telaga zamzam yang mengatakan :

لَا أُحِلُّهُ لِمُغْتَسِلٍ وَهُوَ لِشَارِبٍ حِلٌّ وَبَلٌّ

Maksudnya : “Aku tidak benarkan air zamzam (digunakan) bagi orang mandi, tetapi ia harus bagi orang minum”

Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa pendapat al-‘Abbas R.A itu dapat ditakwilkan bahawa ia diucapkan ketika waktu sedikitnya air zamzam disebabkan oleh ramai orang yang minum. Manakala Ibnu Qudamah pula mengatakan bahawa pendapat al-‘Abbas R.A itu tidak menunjukkan (difahami) secara jelas bahawa ia haram, akan tetapi ia difahami bahawa menggunakan selain air zamzam (untuk tujuan mandi) adalah lebih utama, dan kemulian air zamzam tidak memestikan bahawa hukumnya adalah makruh untuk digunakan. [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/91) dan al-Mughni (1/16)]

Kesimpulannya

Setelah kami melihat kepada pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Harus menggunakan air zamzam untuk mandi dan berwuduk serta membersihkan diri daripada najis kerana ia adalah air yang suci lagi menyucikan sepertimana air mutlak yang lain.
  • Untuk keluar daripada khilaf ulama yang memakruhkannya, kami mengesyorkan sekiranya tiada kesukaran dan terdapat air yang lain selain daripada air zamzam, sebaiknya gunakan terlebih dahulu air lain tersebut, khususnya ketika beristinja’ dan membersihkan diri daripada najis. Tambahan lagi, dengan kedudukan air zamzam yang mulia sepertimana disebut oleh al-Munawi :

هو سيد المياه وأشرفها وأجلها قدرا وأحبها إلى النفوس وهمزة جبرائيل وسقيا إسماعيل

Maksudnya : “Air zamzam adalah merupakan penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S.” [Lihat : Fayd al-Qadir Syarh al-Jami` al-Saghir (5/404)]

Kami akhiri dengan firman Allah SWT :

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya : “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah : 222)