Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1527: HUKUM KEDUDUKAN SOLAT MAKMUM DI HADAPAN IMAM

AK1527

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, masjid di tempat saya ada dua tingkat. Oleh kerana bahagian bawah lebih besar, maka kedudukan makmum berada di hadapan imam yang berada di atas, soalan saya adakah sah solat seperti ini ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, ada beberapa syarat qudwah (mengikut imam) yang disebutkan dalam isu solat berjamaah. Antaranya adalah yang kami nyatakan seperti berikut :

  • Seseorang makmum itu hendaklah tidak mengetahui akan terbatalnya solat imamnya disebabkan hadas atau selainnya. Maksudnya, jika seseorang itu mengetahui yang imamnya dalam keadaan berhadas, maka tidak sah dia menjadi makmum kepada imam tersebut.
  • Hendaklah imamnya itu bukan seorang makmum. Maksudnya, jika kita sebagai makmum mengikut seseorang yang juga makmum, maka tidak sah untuk kita mengikutinya. Ini kerana, sifat imam adalah mustaqil iaitu tidak terikat dengan orang lain.
  • Hendaklah makmum tidak mendahului imam pada kedudukan solat. Dari sudut tidak sah solat berjamaah dalam keadaan seorang makmum itu berada di hadapan imamnya dalam kedudukan solat.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa sekiranya kedudukan makmum itu bersebelahan dengan imamnya, maka hal ini tidak memberi mudharat pada kesahihan solat berjemaah. Namun hukumnya makruh serta mengurangkan fadhilat berjemaah. Sebaliknya, disunatkan kepada makmum untuk ke belakang sedikit dari kedudukan imam, dengan kadar tiga jengkal atau kurang sedikit supaya dapat menzahirkan kedudukan imam tersebut.

Imam Al-Nawawi rahimahullah menyatakan :

لا يتقدم على إمامه في الموقف فإن تقدم بطلت في الجديد ولا تضر مساواته ويندب تخلفه قليلا والاعتبار بالعقب

Maksudnya : Seorang makmum itu tidak boleh untuk mendahului imamnya dari sudut kedudukan. Sekiranya dia mendahului imam, maka batal solatnya menurut qaul jadid. Dan tidak memudharatkan (jemaah) sekiranya kedudukannya selari dengan imam, dan sunat untuk dia berada di belakang sedikit, dan yang diambil iktibar adalah mengikut kedudukan tumit. Rujuk Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (Hlm. 40).

Oleh itu, jika yang diambil iktibar adalah dengan melihat kepada tumit kaki, maka sekiranya tumit makmum dan imam itu selari, atau kedudukan tumit makmum di belakang imam namun jari jemari kakinya melebih jari jemari imam, maka ini tidak memberi mudharat kepada solat berjemaah. Namun sekiranya tumit makmum itu di hadapan jari jemari kaki imam maka tidak sah solatnya dalam situasi ini kerana terkehadapannya tumit melazimkan terkehadapannya bahu, dan apabila bahu makmum itu terkehadapan, maka dia telah mendahului imam secara keseluruhan.

Imam Syams Al-Din Al-Khatib al-Syarbini menyatakan sebab tidak boleh bagi makmum untuk mendahului imam adalah kerana, mereka yang mengikut Nabi S.A.W dan para khulafa’ al-rasyidin dalam solat berjemaah, tidak dinukilkan sedikit pun akan perbuatan tersebut (mendahului kedudukan imam). Demikian juga berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :

إنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya : Sesungguhnya dijadikan imam itu adalah untuk diikuti.

Sifat makmum adalah mengikut, dan seseorang yang mendahului kedudukan itu bukan seorang pengikut. Rujuk Mughni Al-Muhtaj, Al-Khatib al-Syarbini (1/490).

Manakala berkaitan kedudukan makmum berada di bawah imam atau kedudukan imam berada di bahagian bawah makmum, maka Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh sekiranya tidak ada keperluan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud al-Ansari R.A beliau berkata :

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَقُومَ الْإِمَامُ فَوْقَ شَيْءٍ وَالنَّاسُ خَلْفَهُ يَعْنِي أَسْفَلَ مِنْهُ

Maksudnya : Rasulullah S.A.W melarang perbuatan imam berdiri di atas sesuatu dan orang ramai (makmum) berada di belakangnya, iaitu berada bawah daripada kedudukannya.

Riwayat Al-Daraquthni (1882)

Meskipun begitu, sekiranya ia berlaku kerana adanya keperluan seperti kepadatan jemaah dan ruangan telah penuh maka hukumnya adalah mustahab.

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa wajib bagi makmum untuk berada di belakang imam. Ini berdalilkan perbuatan Nabi S.A.W yang berada di bahagian hadapan para sahabat semasa mengimamkan solat. Justeru, tidak sah solat mereka yang berada di hadapan kedudukan imam semasa solat dan solat tersebut hendaklah diulangi semula.

Kami juga mengesyorkan dalam situasi ini, sekiranya bahagian bawah itu lebih luas, dan dengan tujuan untuk mengelakkan kedudukan makmum melebihi kedudukan imam, maka hendaklah diubah kedudukan imam untuk menunaikan solat di bahagian bawah masjid.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.