Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1540 : HUKUM MEMBACA BACAAN RUKUK KETIKA SUJUD ATAU SEBALIKNYA

Capture1540

 

Soalan:
Assamualaikum W.B.T. Apakah hukum membaca bacaan rukuk ketika sujud?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ  لَمَّا نَزَلَتْ فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ فَلَمَّا نَزَلَتْ سَبِّحْ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى قَالَ اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُم

Maksudnya: Daripada Uqah bin Amir R.A berkata: bahawa ketika turun ayat fasabbih bismi rabbika al-‘azhimi, Rasulullah S.A.W bersabda: “Jadikanlah ia bacaan pada rukuk kalian!” Dan, ketika turun ayat sabbihisma rabbik al-a’la, Rasulullah bersabda: “Jadikanlah ia bacaan pada sujud kalian!” 

Riwayat Abu Daud (689)

HUKUM MEMBACA TASBIH KETIKA RUKUK DAN SUJUD

Jumhur ulama’ mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi menyebutkan bahawa bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat dan bukannya wajib. Apabila seseorang tidak membaca atau meninggalkannya samada secara sengaja atau tidak, maka ia sama sekali tidak membatalkan solat.  Bersalahan dengan mazhab Hanbali yang menyatakan bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah wajib. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/414).

Berkata Imam Al-Nawawi: “Bacaan tasbih dan zikir-zikir yang lain ketika rukuk dan sujud dan perkataan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْد” dan takbir-takbir selain dari takbiratul ihram adalah sunat dan bukannya wajib. Maka sekiranya seseorang meninggalkannya maka dia tidak berdosa dan solatnya tetap sah samada dia meninggalkannya secara sengaja atau tidak,tetapi makruh baginya meninggalkan bacaan tersebut secara sengaja”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/414).

Maklumat lanjut mengenai hukum membaca tasbih ketika rukuk dan sujud boleh rujuk artikel kami yang berkaitan: AL-KAFI #1460: Benarkah Zikir Semasa Rukuk dan Sujud Adalah Wajib?

Imam Al-Nawawi ketika menyenaraikan sunat-sunat haiat di dalam solat, yang mana salah satunya ialah bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud. Apabila seseorang terlupa atau meninggalkannya, maka hal itu tidak menyebabkan batalnya solat dan tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/427).

HUKUM MEMBACA BACAAN RUKUK KETIKA SUJUD ATAU SEBALIKNYA

Berbalik kepada persoalan di atas, hal ini termasuk dalam bab memindahkan bacaan pada bukan tempatnya. Dalam hal ini ulama’ membahasakan di antara sebab-sebab sujud sahwi ialah mengulangi rukun qauli (bacaan) pada bukan pada tempatnya. Sebagai contoh: membaca bacaan al-fatihah ketika rukuk. (Rujuk: Al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi'i, 1/107).

Berkata Imam Sulaiman Al-Jamal: “Adapun sekiranya seseorang mengulangi rukun qauli pada bukan tempatnya, maka dia perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. Dan sekiranya seseorang memindahkan bacaan sunat-sunat haiat pada bukan tempatnya, maka dia tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi”. (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal, 1/451)

Berkata Imam al-Bujairimi dan Imam al-Jawi: “Adapun sekiranya seseorang memindahkan bacaan sunat-sunat haiat (pada bukan tempatnya) maka dia tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi kecuali pada masalah membaca surah (selain al-fatihah) pada keadaan selain qiam”. (Rujuk: Hasyiyah al-Bujairimi, 1/258; Nihayah al-Zain, 1/84).

Justeru dapatlah difahami bahawa bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah bukan rukun qauli kerana termasuk dalam sunat haiat, maka jika seseorang yang memindahkan bacaan tasbih rukuk atau sujud pada bukan tempatnya maka solatnya tetap sah dan dia tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi.

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, dapatlah kami simpulkan bahawa bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat haiah dan bukannya rukun qauli. Justeru, seseorang yang membaca bacaan rukuk ketika sujud atau sebaliknya, maka hal tersebut tidak membatalkan solat dan tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. Wallahu a’lam.