Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1559 : HUKUM MENGERJAKAN SOLAT JENAZAH SELEPAS SUBUH DAN ASAR

 

AK1559

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, jika ada jenazah di masjid yang di bawa pada waktu asar, persoalan saya adakah dibolehkan untuk mengadakan solat jenazah selepas solat asar. Bukankah ia merupakan antara waktu yang dilarang untuk solat padanya.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat jenazah merupakan fardhu kifayah ke atas setiap muslim yang menghasilkan ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tsauban R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya : Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaranya sebesar bukit Uhud.

Riwayat Muslim (946)

Dalam isu solat yang berlaku selepas subuh dan juga asar, Syeikh Taqiyuddin Al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu yang dilarang padanya untuk seseorang mengerjakan solat iaitu :

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam.

Rujuk Kifayah Al-Akhyar, Taqiyuddin Al-Hisni (Hlm. 126)

Meskipun begitu, larangan mendirikan solat pada waktu-waktu ini bukanlah secara mutlak. Bahkan yang dimaksudkan hanyalah larangan ke atas solat-solat yang dilakukan tanpa sebab. Manakala solat-solat yang dilakukan dengan bersebab tidak termasuk dalam larangan ini. Imam Al-Nawawi menyebutkan beberapa contoh solat-solat yang mempunyai sebab dengan kata beliau :

فَمِنْ ذَوَاتِ الْأَسْبَابِ الْفَائِتَةُ فَرِيضَةً كَانَتْ أَوْ نَافِلَةً إذَا قُلْنَا بِالْأَصَحِّ أَنَّهُ يُسَنُّ قَضَاءُ النَّوَافِلِ فَلَهُ فِي هَذِهِ الْأَوْقَاتِ قَضَاءُ الْفَرَائِضِ وَالنَّوَافِلِ الرَّاتِبَةِ وَغَيْرِهَا وَقَضَاءُ نَافِلَةٍ اتَّخَذَهَا وِرْدًا وَلَهُ فِعْلُ الْمَنْذُورَةِ وَصَلَاةُ الْجِنَازَةِ وَسُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ وَصَلَاةُ الطَّوَافِ

Maksudnya : Antara solat yang mempunyai sebab adalah solat-solat yang ditinggalkan, sama ada solat fardhu atau solat sunat apabila kita menyatakan bahawa pendapat yang sahih adalah disunatkan mengqadha solat-solat nafilah (yang ditinggalkan), maka boleh bagi seseorang itu melaksanakan qadha’ bagi solat-solat fardhu dan juga solat sunat rawatib yang ditinggalkan pada waktu-waktu ini, yang dia telah menjadikan perkara tersebut (solat sunat rawatib) sebagai kelaziman. Dan boleh juga untuk seseorang itu mengerjakan solat nazar, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, dan juga solat sunat tawaf.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/170)

Begitu juga Imam al-Nawawi berkata : Para ulama Islam telah berijma’ akan keharusan solat jenazah selepas subuh dan juga asar.

Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/72)

Kami juga menyatakan bahawa dalam isu waktu perlaksanaan solat jenazah ini, para fuqaha al-Syafi’eyyah menyebutkan bahawa solat jenazah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu. Bahkan kata Imam Al-Mawardi : ‘’Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya’’. Rujuk Al-Hawi al-Kabir, Al-Mawardi (3/48).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum mengerjakan solat jenazah selepas subuh ataupun asar adalah dibolehkan. Ini kerana solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sekalipun pada waktu yang dilarang kerana ia termasuk dalam kategori solat bersebab.

Justeru, jika ada mayat yang sampai ke mana-mana masjid pada waktu subuh dan asar, tidak ada masalah untuk dilakukan solat jenazah sesudah solat fardhu subuh dan asar. Lebih-lebih lagi kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Riwayat Muslim (944)

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.