Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #523 : HUKUM TENTANG MANDI WILADAH

SOALAN:

Assalamualaikum wrm wbt,

Bolehkah tuan terangkan maksud wiladah secara terperinci?

 

JAWAPAN:

Waalakumussalam wrm wbt,

Kami nyatakan definisi al-wiladah daripada kitab Fiqh al-Manhaji (1/82):

Al-Wiladah bererti bersalin. Kadang-kadang bersalin anak itu tidak diikuti dengan keluarnya darah (nifas), namun hukum bagi wanita pada keadaan itu sama dengan hukum janabah. Ini kerana anak yang lahir itu ialah hasil gabungan air mani wanita dan air mani lelaki. Hukumnya tetap sama walaupun berbeza (bentuk) kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya. Apabila kelahiran anak diikuti dengan keluarnya darah seperti kebiasaan perempuan yang melahirkan anak, darah tersebut dinamakan nifas yang mempunyai beberapa hukum tertentu.”

Daripada keterangan di atas, terdapat beberapa perkara yang boleh difahami:

  • Kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas yang mewajibkan wanita itu mandi wajib.
  • Jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.
  • Hukumnya tetap sama walaupun berbeza (bentuk) kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya” bererti jika kandungan yang dilahirkan itu berbentuk alaqah (gumpalan darah), atau mudghah (gumpalan daging) seperti dalam kes keguguran, tetap dikira wiladah dan wajib mandi. Begitu juga kelahiran Cesarean, yakni kandungan keluar bukan daripada faraj wanita tetapi melalui pembedahan di kawasan abdomen, tetap mewajibkan mandi.

Jika ditanya, apabila seseorang wanita itu bersalin dan bernifas, adakah dia perlu mandi dua kali; pertama akibat wiladah dan kedua akibat nifas?

Jawapannya ialah tidak perlu kerana memadai mandi dengan sekali sahaja. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) :

“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya. Begitu juga seorang yang berjunub kemudia mati, dan orang yang berjunub kemudia haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi. Begitu juga jika seseorang itu berjunub, kemudia berhaid, kemudia dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk kesemua keadaan (hadas besar) itu.”

Rujuk juga Al-Kafi #422 : Hukum Menggabungkan Dua Niat Mandi Hadas Dalam Jenis Berbeza.

Jika ditanya, bilakah waktu untuk mandi wajib akibat wiladah dan nifas?

Jawapannya ialah selepas bersalin dan apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan. Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas.

Wallahua’lam.