Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

 AL-KAFI #1764: HUKUM WALI MENERUSKAN TRANSAKSI JUAL BELI RUMAH BAGI WARISNYA YANG LUMPUH

lumpuh 2

Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan, ibu saya sekarang sedang tak waras sepenuhnya disebabkan ada masalah strok di bahagian otak. Sebelum ibu sakit, dia ada perjanjian lisan untuk jual beli tanah pusaka dengan adik ibu dengan bayaran ansuran, akan tetapi ibu saya jatuh sakit sebelum sempat bayaran tanah dibayar keseluruhan dan urusan tandatangan pertukaran nama tanah dibuat. Sekarang ini makcik saya sudah selesaikan semua bayaran tanah tersebut, saya nak tahu hukum untuk selesaikan proses pertukaran nama pemilik tanah ini sedangkan ibu saya sekarang masih tidak pulih ingatannya.

 

Jawapan Ringkas

Hukum pihak wali menjadi wakil kepada ibunya yang sakit untuk menyelesaikan urusan pertukaran hak milik tanah kepada penama baru adalah sah dan dibenarkan. Hujah utamanya ialah secara asalnya pihak al-mahjur ‘alaih iaitu golongan yang ditegah untuk mengelola hartanya sendiri seperti orang gila, bayi dan seumpama dengannya, mereka tidak boleh membelanjakan harta miliknya.

Namun begitu, ulama membenarkan hartanya dibelanjakan sekiranya tindakan dan urusan tersebut mendatangkan keuntungan semata-mata seperti menerima hadiah, wasiat termasuklah aktiviti jual beli apatah lagi ia sudah dimulakan sendiri oleh pemilik asal tanah sewaktu dirinya sihat dan akalnya waras.

 

Huraian Jawapan

Menurut pengarang kitab ‘Umdah al-Qari (11/174), al-Wa’d atau janji merupakan suatu perkhabaran yang dibuat oleh satu pihak kepada pihak yang lain untuk melaksanakan sesuatu perkara pada masa akan datang.

Kewajipan menepati janji merupakan suatu perkara yang amat ditekankan dalam agama Islam. Allah SWT berfirman,

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “...dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”.

Surah al-Isra’ (34)

Nabi Muhammad SAW juga ada memberi amaran keras kepada mereka yang sengaja mengingkari janji dan menyatakan bahawa perbuatan tersebut sebahagian daripada sifat orang munafik yang dikeji. Daripada Abdullah Bin ‘Amru,

أَرْبَعٌ مَن كُنَّ فيه كانَ مُنافِقًا خالِصًا، وَمَن كانَتْ فيه خَلَّةٌ منهنَّ كانَتْ فيه خَلَّةٌ مِن نِفاقٍ حتّى يَدَعَها: إِذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا عاهَدَ غَدَرَ، وإذا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا خاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya: “Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan munafik yang sebenar-benarnya. Sesiapa yang bercirikan salah satu daripadanya bererti dia memiliki ciri-ciri kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas”.

Riwayat al-Bukhari (2459)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, sekiranya sesuatu janji sudah dibuat maka pihak-pihak yang berjanji perlu menunaikan janjinya terutamanya janji yang dibuat dalam keadaan waras dan tanpa paksaan termasuklah perjanjian jual beli rumah tidak kira perjanjian lisan mahupun berdokumen hitam putih.

Seterusnya, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berkaitan proses transaksi penukaran hak milik sesuatu aset yang tergendala disebabkan pemilik tanah mengalami strok sedangkan sewaktu transaksi berlangsung sebelumnya dirinya masih sihat. Perkara ini berkait rapat dengan perbahasan isu al-hajr (Pengekangan Penggunaan Harta) dan tempoh perpindahan hak milik.

Pertamanya, al-hajr secara istilahnya bermaksud pengekangan penggunaan harta. Dalam al-Quran disebutkan,

فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar)”.

Surah al-Baqarah (282)

Imam Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, membawakan tafsiran Imam al-Syafie bagi ayat di atas yang menyebut,

فَسَّرَ الشَّافِعِيُّ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - السَّفِيهَ بِالْمُبَذِّرِ وَالضَّعِيفَ بِالصَّبِيِّ، وَالْكَبِيرَ بِالْمُخْتَلِّ، وَاَلَّذِي لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ بِالْمَغْلُوبِ عَلَى عَقْلِهِ، فَأَخْبَرَ اللَّهُ تَعَالَى أَنَّ هَؤُلَاءِ يَنُوبُ عَنْهُمْ أَوْلِيَاؤُهُمْ، فَدَلَّ عَلَى ثُبُوتِ الْحَجْرِ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Imam al-Syafie menafsirkan ‘orang bodoh’ sebagai mereka yang membazir, ‘orang lemah’ sebagai kanak-kanak (belum mumayyiz), orang dewasa sebagai tua yang nyanyuk dan mereka yang hilang kewarasan akal. Allah mengkhabarkan bahawa wali mereka perlu mengambil alih tugasan berkaitan. Justeru, ini membuktikan bahawa harta mereka perlu dikekang”.

(Rujuk: al-Mughni al-Muhtaj, 3/130)

Ulama membincangkan satu topik “al-Hajr ‘ala al-Majnun” yang bermaksud kekangan harta terhadap orang yang gila. al-Jurjani dalam kitabnya, al-Ta’rifat (1/79) menghuraikan bahawa ‘gila’ bermaksud suatu tindak tanduk perbuatan dan percakapan yang gagal berfungsi mengikut aturan akal (seperti orang biasa).

Hal ini bertepatan dengan kes di atas yang melibatkan seorang pesakit strok di bahagian otak sehingga menjejaskan kewarasan akal fikiran dan ingatannya. Maka, wali atau pemegang amanah perlu bertanggungjawab terhadap urusan hartanya supaya harta terpelihara dan tidak digunakan sewenang-wenangnya.

Namun begitu, bagi keadaan seorang yang bukan gila sejak lahir iaitu seseorang yang asalnya sihat kemudian gila atau sebaliknya, maka segala transaksi yang dilakukan sewaktu sihat dan normal sebelum ditimpa penyakit gila adalah sah dan diterima.

Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan,

(وَيَرْتَفِعُ) حَجْرُ الْمَجْنُونِ (بِالْإِفَاقَةِ) مِنْ الْجُنُونِ مِنْ غَيْرِ احْتِيَاجٍ إلَى فَكٍّ

Maksudnya: Kekangan terhadap orang gila terhenti sekiranya dirinya sudah sembuh dan sedar daripada gila tanpa memerlukan pelepasan (keputusan daripada mahkamah).

(Lihat: Mughni al-Muhtaj, 3/131)

Dalam masa yang sama pihak wali atau pemegang amanah boleh mengambil tempat pesakit sebagai wakil untuk melengkapkan transaksi bagi tujuan penukaran nama hak milik kerana transaksi yang dilakukan berlangsung sewaktu sihat bahkan pembayaran sudah pun dimulakan, maka akad tersebut dianggap sah dan dianggap sebagai jual beli yang bermanfaat baginya.

Imam al-Syirazi menyebutkan secara jelas hal ini bahawa,

ولا يتصرف الناظر في ماله إلا على النظر والاحتياط ولا يتصرف إلا فيما فيه حظ واغتباط

Maksudnya: “Nazir (pemegang amanah) tidak berhak membelanjakan harta al-mahjur ‘alaih (orang yang dikekang harta) melainkan secara teliti dan berhati-hati. Bahkan dia tidak berhak membelanjakannya melainkan pada perkara yang mempunyai keuntungan dan kemaslahatan (buat diri orang yang dikekang hartanya)”.

(Rujuk: al-Muhazzab, 2/162)

Sebagai kesimpulan, hukum pihak wali menjadi wakil kepada ibunya yang sakit untuk menyelesaikan urusan pertukaran hak milik tanah kepada penama baru adalah sah dan dibenarkan. Hujah utamanya ialah ulama membenarkan segala tindakan dan urusan yang menguntungkan pihak al-mahjur ‘alaih seperti menerima hadiah, wasiat termasuklah aktiviti jual beli apatah lagi ia sudah dimulakan sendiri oleh pemilik asal tanah sewaktu dirinya sihat dan akalnya waras.

Wallahu a’lam.