Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1770: KEDUDUKAN DUDUK SELEPAS BANGUN DARI SUJUD TILAWAH: IFTIRASY ATAU TAWARRUK?

sujud 2

Soalan

Assalamualaikum, saya ada buat sedikit pembacaan mengenai sujud tilawah diluar solat dalam Mazhab Syafie. Tapi saya ada beberapa persoalan yang saya masih kurang jelas sebab tidak diperincikan dalam bahan bacaan yang telah dirujuk:

Soalannya, adakah duduk selepas bangun dari sujud tilawah itu duduk seperti ketika tahiyat akhir atau ketika tahiyat awal?

 

Ringkasan Jawapan

Kedudukan duduk selepas bangun dari sujud tilawah disunatkan duduk secara tawarruk (seperti ketika tahiyat akhir). Ini berdasarkan panduan daripada ulama Syafie yang menyebut sekiranya selepas duduk tersebut tiada pergerakan lain melainkan salam, maka disunatkan untuk duduk secara tawarruk.

Jika dilihat pada tatacara sujud tilawah, ia juga mempunyai gambaran yang sama kerana selepas sujud tersebut tiada pergerakan lain melainkan salam. Maka, ia mengambil hukum yang sama.

 

Huraian Jawapan

Sujud tilawah merupakan suatu perbuatan sujud yang sunat dilakukan disebabkan bertemu dengan ayat al-Quran yang menyebut tentang sujud atau disebut sebagai ayat Sajadah. Melakukan sujud tilawah merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama kepada pembaca ayat tilawah dan mereka yang mendengarnya sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah SWT.

Perkara ini disebutkan secara jelas dalam beberapa hadis. Antaranya hadis Abdullah bin Umar R.A meriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَنَسْجُد حتّى ما يَجِدُ أحَدُنا مَوْضِعَ جَبْهَتِهِ

Maksudnya: “Pada satu ketika, Rasulullah S.A.W membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajadah, maka Baginda S.A.W pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga sehingga tidak cukup ruang untuk meletakkan dahi kami semua”.

Riwayat al-Bukhari (1057)

Hukum melakukan sujud tilawah adalah sunat dan bukan wajib. Ini bersandarkan sebuah hadis yang lain disebutkan, 

يا أيُّها النّاسُ إنّا نَمُرُّ بالسُّجُودِ، فمَن سَجَدَ، فقَدْ أصابَ ومَن لَمْ يَسْجُدْ، فلا إثْمَ عليه

Maksudnya: “Wahai umat manusia, sesungguhnya kita diperintahkan untuk bersujud. Barangsiapa yang bersujud, dia akan mendapat ganjaran. Sebaliknya, jika dia tidak sujud maka dia tidak berdosa”.

Riwayat al-Bukhari (1077)

Seterusnya, berkait persoalan di atas, Syeikh Abu Bakar al-Dimyathi menyebutkan bahawa kedudukan duduk selepas bangun dari sujud tilawah disunatkan padanya duduk secara tawarruk (seperti ketika tahiyat akhir).

(قوله: أي في قعود التشهد الأخير) قال الشوبري: ومثله سجود التلاوة والشكر خارج الصلاة، فالسنة فيهما أن يجلس متوركا.

Maksudnya: “[Berkaitan kedudukan duduk ketika tasyahhud akhir] al-Syubri berkata: Begitu juga sujud tilawah dan sujud syukur di luar solat. Sunat ketika kedua-dua keadaan untuk duduk secara tawarruk.

(Lihat: I’anah al-Thalibin, 1/203)

Tambahan pula, disebutkan dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafie dhabit iaitu panduan secara umum berkenaan pemilihan kedudukan duduk yang lebih utama mengikut kepada situasi tertentu.

Panduan ini disebutkan oleh Syeikh Sa’id Ba’asyan al-Hadrami dalam kitabnya ketika mensyarahkan sunat untuk duduk iftirasy ketika tahiyyat akhir bagi mereka yang masbuk dengan menyebut alasannya,

لأن الافتراش هيئة المستوفز، فيسن في كل جلوس تعقبه حركة؛ لأنها أسهل عنه، والتورك هيئة المستقر، فيسن في أخير لا حركة بعده

Maksudnya: “Hal ini kerana duduk Iftirasy merupakan suatu bentuk persediaan, maka disunatkan untuk duduk begitu sekiranya selepasnya ada pergerakan lain sebab ia lebih memudahkan pergerakan. Sebaliknya, duduk tawarruk merupakan suatu bentuk bertenang, maka disunatkan pada kedudukan terakhir yang tiada pergerakan lain selepasnya”.

(Rujuk: Busyra Karim Bi Syarh Masail al-Ta’lim, 1/237)

Selain itu Syeikh al-‘Allamah Nawawi al-Jawi al-Bentani juga menyebutkan perkara sama dengan lebih jelas,

 وَالضَّابِط أَن كل جُلُوس يعقبه حَرَكَة من سُجُود أَو قيام يسن فِيهِ الافتراش وكل جُلُوس يعقبه سَلام يسن فِيهِ التورك

Maksudnya: “Dhabit(panduannya) ialah setiap duduk yang diiringi dengan pergerakan lain seperti sujud atau bangun qiyam (untuk rakaat seterusnya) maka disunatkan duduk secara iftirasy. Manakala setiap duduk yang diiringi dengan salam disunatkan padanya duduk secara tawarruk”.

(Rujuk: Nihayah al-Zin fi Irsyad al-Mubtadiin, 1/72)

Oleh yang demikian, berdasarkan panduan yang diberikan para ulama Syafie di atas, disunatkan untuk duduk secara tawarruk selepas bangun dari sujud tilawah kerana selepasnya tiada pergerakan atau rukun lain melainkan salam.

Wallahu a’lam.