Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1775 : IMAM TIDAK MEMBACA DOA QUNUT DALAM SOLAT SUBUH, ADAKAH MAKMUM BOLEH MEMBACANYA?

AK1775

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah kita sebagai makmum membaca doa qunut ketika solat Subuh apabila imam tidak membacanya?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, makmum boleh membaca doa qunut walaupun imam tidak membacanya kerana doa qunut tidak disyaratkan bersamaan (muwafaqah) dengan imam, dengan syarat dia sempat untuk mengikuti kembali imam pada sujud pertama atau duduk di antara dua sujud imam.

Namun, jika sekiranya makmum tidak sempat untuk mengikuti kembali imam kecuali pada sujud kedua, maka makmum tidak boleh berbuat demikian kerana dia sudah terlepas dua rukun solat. Oleh yang demikian, apabila makmum tidak membaca doa qunut kerana mengikuti imam yang tidak melakukannya atau selainnya, maka disunatkan baginya untuk sujud sahwi selepas imam memberi salam dan sebelum salamnya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, membaca doa qunut di dalam solat Subuh dan solat sunat witir dalam separuh terakhir bulan Ramadhan termasuk dalam perkara sunat ab’adh di sisi mazhab al-Syafie. Sunat ab’adh ialah suatu perkara sunat yang ditinggalkan hendaklah diganti dengan sujud sahwi. Imam al-Ramli di dalam kitabnya, Nihayat al-Muhtaj menukilkan kata-kata bahawa:

فَيُقَالُ: مَا شُرِعَ لِلصَّلَاةِ إنْ وَجَبَ لَهَا فَشَرْطٌ، أَوْ فِيهَا فَرُكْنٌ، أَوْ سُنَّ وَجُبِرَ فَبَعْضٌ، وَإِلَّا فَهَيْئَةٌ

Maksudnya: Apa yang disyari’atkan di dalam solat, jika sesuatu perkara itu wajib (di luar solat) untuk menyempurnakannya maka ia ialah syarat. Jika ia wajib dalam perbuatan solat, maka ia ialah rukun. Jika ia sunat kemudian ditampung (dengan sujud sahwi), maka ia ialah sunat ab’adh. Jika tidak, maka ia ialah sunat haiah. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:449)

Berdasarkan teks di atas, maka sesiapa yang meninggalkan sunat-sunat ab’adh, maka hendaklah ditampung atau diganti dengan sujud sahwi sebelum salam.

Kedua, membaca doa qunut tidak wajib untuk dilakukan secara muwafaqah (serentak) dengan imam. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Baijuri:

وأما القنوت فلا تجب الموافقة فيه لا فعلاً ولا تركاً، فإذا فعله الإمام جاز للمأموم أن يتركه ويسجد عامداً وإذا تركه الإمام سن للمأموم فعله إن لحقه فى السجدة الأولى وجاز إن لحقه فى الجلوس بين السجدتين فإن كان لايلحقه إلا فى السجدة الثانية إمتنع فعله

Maksudnya: Adapun doa qunut maka tidak wajib melakukannya secara muwafaqah dengan imam sama ada dengan membacanya atau meninggalkannya. Apabila imam melakukannya maka harus bagi makmum untuk meninggalkannya dan sujud secara sengaja. Manakala, apabila imam meninggalkannya, disunatkan bagi makmum untuk melakukannya jika dia sempat untuk mengikuti imam ketika sujud pertama, dan diharuskan baginya untuk melakukannya jika sempat mengikuti imam ketika duduk di antara dua sujud. Namun, jika sekiranya dia tidak sempat untuk mengikuti imam kecuali ketika sujud yang kedua, maka tidak dibolehkan untuknya untuk berbuat demikian. (Rujuk Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn Qasim al-‘Izzi, 1:198)

Pernyataan Imam al-Baijuri di atas memberi maksud bahawa, jika imam tidak membaca doa Qunut, maka makmum boleh membacanya selagimana tidak tertinggal dua rukun solat daripada imam iaitu sebelum sujud pertama atau duduk di antara dua sujud. Ini kerana tertinggal dua rukun solat daripada imam akan membatalkan solat.

Namun, jika sekiranya makmum merasakan tidak sempat menghabiskan bacaan doa qunut sehingga imam sujud kedua, maka dia tidak dibolehkan untuk membaca doa qunut, serta hendaklah dia mengikut imam dengan meninggalkannya.

Oleh yang demikian, jika sekiranya dia meninggalkan membaca doa qunut itu kerana mengikut imamnya yang tidak melakukannya, maka disunatkan baginya untuk sujud sahwi selepas salam Imam dan sebelum salamnya sendiri. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam syarah-syarah al-Minhaj bahawa:

وَلَوْ تَرَكَ الْقُنُوتَ تَبَعًا لِإِمَامِهِ الْحَنَفِيِّ سَجَدَ لِلسَّهْوِ؛ لِأَنَّ الْعِبْرَةَ بِعَقِيدَةِ الْمَأْمُومِ عَلَى الْأَصَحِّ خِلَافًا لِلْقَفَّالِ فِي عَدَمِ السُّجُودِ، فَإِنَّهُ بَنَاهُ عَلَى طَرِيقَتِهِ مِنْ أَنَّ الْعِبْرَةَ بِعَقِيدَةِ الْإِمَامِ

Maksudnya: Jika sekiranya seorang makmum meninggalkan doa qunut kerana mengikuti imamnya yang bermazhab Hanafi, maka hendaklah dia sujud sahwi. Ini kerana, yang diambil kira dalam hal ini ialah pegangan mazhab makmum pada pendapat yang sahih, berbeza dengan al-Qaffal yang berpandangan bahawa tidak perlu sujud sahwi, kerana dalam kaedah beliau yang diambil kira ialah pegangan mazhab imam. (Rujuk Mughni al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:428 / Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 2:68)

Walau bagaimanapun haruslah diambil perhatian juga bahawa amalan membaca doa qunut ini merupakan amalan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie. Oleh itu, para imam hendaklah meraikan keadaan ini dengan membaca doa qunut dan tidak meninggalkannya dengan sengaja.

Adapun jika berada di luar negara yang berpegang dengan mazhab selain daripada mazhab al-Syafie maka pandangan al-Qaffal di atas (tidak perlu sujud sahwi kerana mengikut mazhab imamnya) adalah lebih utama untuk diikut atau hanya sekadar membaca qunut yang pendek yang mencukupi rukunnya sahaja.

WaAllahu a’lam.