Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1776 : APAKAH MANFAAT SELAWAT DAN SALAM BAGI RASULULLAH SAW ?

ak1776

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah manfaat yang didapati oleh Rasulullah SAW dengan kita berselawat kepada Baginda SAW, sedangkan Baginda SAW sudah mendapat tempat yang mulia dan tertinggi di sisi Allah SWT serta Baginda SAW juga seorang yang maksum?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kesimpulannya, ucapan selawat dan salam kita ke atas Rasulullah SAW memberi manfaat kepada Baginda SAW dengan kita memohon sesuatu rahmat yang belum terhasil. Ini kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda SAW. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung. Justeru itu, hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Baginda SAW kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Surah al-Ahzab (56)

Berkaitan hal ini, para ulama’ ada membahaskan tentang berapa kali kah kita diwajibkan untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’ bahawa:

وَاخْتلف فِي وَقت وجوب الصَّلَاة على النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم على أَقْوَال. أَحدهَا كل صَلَاة  َاخْتَارَهُ الشَّافِعِي فِي التَّشَهُّد الْأَخير مِنْهَا وَالثَّانِي فِي الْعُمر مرّة وَالثَّالِث كلما ذكر وَاخْتَارَهُ الْحَلِيمِيّ من الشَّافِعِيَّة والطَّحَاوِي من الْحَنَفِيَّة وَاللَّخْمِيّ من الْمَالِكِيَّة وَابْن بطة من الْحَنَابِلَة وَالرَّابِع فِي كل مجْلِس وَالْخَامِس فِي أول كل دُعَاء وَفِي وَسطه وَفِي آخِره

Maksudnya: Para ulama’ berbeza pandangan berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan. Pertama, pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir. Kedua, sekali seumur hidup. Ketiga, setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah. Keempat, di dalam setiap majlis. Kelima, pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.

(Rujuk al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’: 9)

Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.

Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)

Di dalam hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.

Riwayat al-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir (2885)

Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW walaupun tanpa mengetahui manfaat yang didapati Baginda SAW daripada selawat dan salam kita tersebut kerana sudah tentu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Walaubagaimanapun, bagi menjawab persoalan di atas, kami nukilkan jawapan daripada Shaykh Nawawi al-Jawi di dalam kitabnya Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja, bahawa:

[مسألة] قال إسماعيل الحامدي: فإن قيل إن الرحمة للنبي حاصلة فطلبها تحصيل الحاصل. فالجواب: أن المقصود بصلاتنا عليه طلب رحمة لم تكن فإنه ما من وقت إلا وهناك رحمة لم تحصل له، فلا يزال يترقى في الكمالات إلى ما لا نهاية له فهو ينتفع بصلاتنا عليه على الصحيح، لكن لا ينبغي أن يقصد المصلي ذلك بل يقصد التوسل إلى ربه في نيل مقصوده

Maksudnya: [Perbahasan] Shaykh Ismail al-Hamidi berkata: Jika dikatakan bahawa rahmat kepada Nabi SAW sudah terhasil, maka memintanya dikira sebagai tahsil al-hasil (meminta sesuatu yang sudah terhasil). Jawapannya, bahawa maksud selawat dan salam kita ke atas Rasulullah SAW adalah meminta rahmat yang masih tiada kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung, justeru Baginda SAW mendapat manfaat daripada ucapan selawat dan salam kita mengikut pandangan yang sahih. Walau bagaimanapun tidak patut seseorang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW untuk berniat sedemikian, bahkan hendaklah dia berniat untuk bertawassul (menjadikannya sebagai wasilah untuk memohon) kepada Allah SWT untuk mencapai maksud tersebut. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 9)

Kesimpulannya, ucapan selawat dan salam kita ke atas Rasulullah SAW memberi manfaat kepada Baginda SAW kerana kita memohon sesuatu rahmat yang belum terhasil. Ini kerana pada setiap waktu itu pasti ada rahmat yang masih belum didapati oleh Baginda SAW. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW akan sentiasa meningkat kesempurnaannya yang tiada berpenghujung.

WaAllahu a’lam