Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1824 : HUKUM MANDI HADAS KERANA BERMESRAAN BAGI PASANGAN YANG BELUM BERKAHWIN

 

AK1824 ii

 

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya la kalau keadaan:  Seseorang jika lepas bersama suami isteri kene mandi hadas/mandi wajib kan? Tapi kalau yang macam dalam hubungan  couple dan bukan dalam hubungan yang halal  dan ada buat ringan-ringan, perlu ke mandi hadas dan suci kan diri?

 

Ringkasan Jawapan

Jika tidak terdapat apa-apa tanda yang menunjukkan keluarnya air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi janabah (mandi wajib). Manakala Jika yang keluar hanyalah air mazi maka hanya perlu untuk membersihkannya dan mengambil wuduk semula jika sebelumnya dia berwuduk.

Perbuatan bermesraan antara lelaki dan perempuan yang tidak memiliki ikatan yang sah adalah HARAM. Wajib bagi seorang muslim dan muslimah menghindari perbuatan ini kerana ia boleh menjurus kepada pebuatan zina yang merupakan salah satu dari dosa-dosa besar.

 

Huraian Jawapan

Perkara yang mewajibkan seseorang untuk mandi hadas (mandi wajib) terbahagi kepada dua:

1) Khusus untuk wanita:

  • Keluar haid.
  • Keluar nifas.
  • Melahirkan anak.

2) Perkara yang berkongsi antara lelaki dan perempuan:

  • Bersetubuh.
  • Keluar air mani.
  • Meninggal dunia.

(Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadat, 114)

Keluarnya air mani dapat diketahui dengan beberapa tanda:

  • Keluar dalam keadaan terpancut.
  • Keluar dalam keadaan lazat.
  • Baunya seperti bau adunan tepung jika dalam keadaan basah atau bau seperti putih telur ayam jika dalam keadaan kering.

(Rujuk: Hasyiah al-Baijuri, 1/172)

Daripada penerangan ini dapat difahami bahawa keluarnya air mani ialah ketika kemuncak syahwat. Oleh itu, jika tidak terdapat tanda-tanda yang disebutkan maka air yang keluar itu bukanlah air mani yang mewajibkan mandi. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini:

 

 فَإِنْ فُقِدَتْ الصِّفَاتُ الْمَذْكُورَةُ فِي الْخَارِجِ فَلَا غُسْلَ عَلَيْهِ؛ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمَنِيٍّ

Maksudnya: Jika salah satu dari tanda-tanda tersebut tidak ada maka tidak diwajibkan untuk mandi kerana yang keluar itu bukanlah air mani.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/214)

Walaubagaimanapun jika seseorang itu ragu-ragu sama ada yang keluar itu air mani atau lainnya maka dia boleh memilih sama ada ingin mandi wajib ataupun sekadar membasuhnya dan berwuduk. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Hajar dengan katanya:

لَوْ شَكَّ فِي شَيْءٍ أَمَنِيٌّ هُوَ أَمْ مَذْيٌ تَخَيَّرَ وَلَوْ بِالتَّشَهِّي فَإِنْ شَاءَ جَعَلَهُ مَنِيًّا وَاغْتَسَلَ أَوْ مَذْيًا وَغَسَلَهُ وَتَوَضَّأَ؛

Maksudnya: Jika seseorang itu ragu-ragu samada yang keluar itu air mazi atau air mani dia boleh memilih mana-mana. Jika dia menganggap yang keluar itu ialah air mani, maka dia perlu untuk mandi sedangkan. Jika dia menganggap ia hanyalah air mazi, maka dia perlu membasuhnya dan berwuduk semula.

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/264)

Perlu diingatkan bahawa bermesra-mesraan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah dilarang keras oleh agama. Allah SWT melarang dari seseorang mendekati zina. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu ialah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (membawa kerosakan).

Surah Al-Isra’ (32)

Antara pekara yang boleh menghampiri zina juga ialah melakukan hubungan mesra antara lelaki dan perempuan yang belum ada ikatan yang sah. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

وَالْيَدَانِ تَزْنِيَانِ فَزِنَاهُمَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلاَنِ تَزْنِيَانِ فَزِنَاهُمَا الْمَشْىُ وَالْفَمُ يَزْنِى فَزِنَاهُ الْقُبَلُ

Maksudnya: Kedua-dua tangan itu melakukan zina dan zinanya ialah dengan menyentuh, kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya ialah berjalan (menuju ke tempat maksiat) dan mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman.

Riwayat Abu Daud (2155)

Imam  al-Qustallani ketika menerangkan hadis yang serupa menyebutkan bahawa angota-angota ini dikatakan melakukan  zina kerana angota-angota inilah yang menjadi sebab kepada berlakunya penzinaan.

(Rujuk: Irsyad al-Sari, 14/25)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan tidak ada perbezaan antara hubungan yang dilakukan ketika sudah berkahwin dengan yang belum berkahwin dari sudut perlu atau tidak untuk melakukan mandi wajib. Namun jika tidak terdapat apa-apa tanda yang menunjukkan keluarnya air mani maka tidak diwajibkan untuk mandi janabah (mandi wajib). Jika yang keluar hanyalah air mazi maka hanya perlu untuk membersihkan kemaluan dan mengambil wuduk semula jika sebelumnya dia berwuduk.

Perbuatan bermesraan antara lelaki dan perempuan yang tidak memiliki ikatan yang sah adalah haram. Seharusnya seorang muslim wajib menghindari perbuatan ini kerana ia boleh menjurus kepada pebuatan zina yang merupakan salah satu dari dosa besar.

 

RUJUKAN

Al-Baijuri. 2013. Hasyiah al-Baijuri Ala Syarh Ibn Qasim. Dar al-Hadis, Kaherah.

Al-Qustullani. 2001. Irsyad al-Sari Syarh Sohih al-Bukhari. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut. 

Hassan bin Ahmad al-Kaff. 2006. al-Taqrirat al-Sadidah. Dar al-Ulum al-Islamiyyah, Surabaya.

Ibn Hajar al-Haithami. Tuhfah al-Muhtaj Ala Syarh al-Minhaj. Maktabah Mustafa Muhammad, Mesir.

Khatib al-Syarbini. 2000. Mughni al-Muhtaj Ila Makrifah Maani al-Minhaj. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut.