AL-KAFI #1834: HUKUM MENGAMBIL SAYURAN YANG TUMBUH SECARA SENDIRI DI TANAH ORANG LAIN

asddd

 

Soalan

Salam Ust. Saya ingin bertanya hukum mengambil sayuran yang tumbuh sendiri di kebun orang lain. Ada orang memberitahu hukumnya halal kerana tumbuh sendiri walaupun di tanah yang dimiliki oleh orang lain. Untuk makluman, pengairan dari sumber saliran awam. Mohon ust berikan penjelasan. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Sayuran yang tumbuh secara sendiri hasil daripada air yang datang daripada sumber awam tetap menjadi pemilik kebun tersebut. Hal ini melihat kepada status tanah tersebut diusahakan untuk bercucuk tanam. Oleh itu, sesiapa yang ingin mengambilnya perlu meminta izin pemilik asal terlebih dahulu supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat ancaman daripada Allah SWT kerana mengambil harta orang lain tanpa izin.

 

Huraian Jawapan

Agama Islam amat menitikberatkan soal hak dan kewajipan terhadap penganutnya. Hal ini bertujuan memastikan keharmonian dan mengelakkan sebarang pertelingkahan dan pergaduhan. Berhubung soalan di atas, terdapat isu berkaitan hak pemilikan bagi sayur-sayuran yang tumbuh secara sendiri di tanah yang dimiliki oleh orang lain melalui pengairan daripada sumber saliran awam, adakah menjadi hak milik awam atau terhad kepada pemilik kebun semata-mata?

Asasnya, Syarak telah memberikan peringatan supaya tidak mengambil harta orang lain dengan cara yang salah. Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”.

Surah al-Nisa’ (29)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga memberi amaran keras kepada mereka yang merampas dan mengambil harta orang lain tanpa hak walaupun jumlahnya sedikit. Aisyah R.A meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَطَعَ شِبْرًا مِنَ الأرْضِ ظُلْمًا، طَوَّقَهُ اللَّهُ إِيّاهُ يَومَ القِيامَةِ مِن سَبْعِ أَرَضِينَ

Maksudnya“Sesiapa merampas hak sejengkal tanah, Allah akan menghimpitkan dirinya dengan tujuh petala bumi pada hari kiamat”.

Riwayat Muslim (1610)

Khusus berkenaan pengairan daripada sumber saliran awam, ia berkait rapat dengan perbahasan Hak al-Irtifaq yang diiktiraf oleh Syarak. Hak al-Irtifaq atau Pemilikan Manfaat Bersama merupakan hak yang diberikan kepada seorang untuk memanfaatkan harta tidak alih kepunyaan orang lain yang bersambung dengan harta tidak alih miliknya.[1]

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2900)

Hak ini mempunyai banyak kategori seperti Hak Penggunaan Air Minuman dan Siraman (Hak al-Syirb), Hak Saluran Air (Hak al-Majra), Hak Saluran Air Kotoran (Hak al-Masil) dan lain-lain. Khusus berkenaan Hak al-Syirb, air sungai tersebut tidak boleh dihadkan pemilikannya kepada individu perseorangan walaupun air tersebut berada di kawasan miliknya, sebaliknya ia boleh dikongsi secara bersama dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 6/4556)

Hal ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلَاثٍ: فِي الْمَاءِ وَالْكَلَأِ، وَالنَّارِ

Maksudnya: “Muslim berkongsi (manfaat) dalam tiga perkara iaitu air(yang mengalir), tumbuh tumbuhan (yang tumbuh pada tanah yang tidak bertuan) dan api.

Hadis Riwayat Abu Daud (3477)

Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai hak al-irtifaq beserta hadis “manusia berkongsi tiga perkara” di atas hanya berkait dengan air yang digunakan untuk menyiram mahupun mengalir sendiri di kebun tersebut. Dalam erti kata lain, air tersebut tidak  boleh dihadkan kepada pemilikan individu.

Namun, berkait dengan tanaman yang tumbuh di kebun hasil daripada air tersebut tetap menjadi hak milik pemilik kebun semata-mata. Antara kriteria pemilikan sempurna bagi sesuatu harta ialah mempunyai tujuan untuk memiliki dan menghidupkan tanah yang mati. Melihat kepada situasi tanah tersebut yang dijadikan kebun menjadi indikator bahawa tanah tersebut diusahakan untuk pelbagai tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/2905-2908)

Kesimpulannya, sayuran yang tumbuh sendiri hasil daripada air yang datang daripada sumber awam seperti sungai tetap menjadi pemilik kebun tersebut. Sesiapa yang ingin mengambilnya perlu meminta izin terlebih dahulu supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat ancaman daripada Allah SWT kerana mengambil harta orang lain tanpa izin.

Wallahu a’lam.

Rujuk juga: Irsyad Fatwa Ke-22: Hak Minum Di Sisi Islam - https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2061-22

[1] هو تكليف مفروض على عقار معين لمنفعة عقار معين جارٍ في ملكية شخص غير مالك العقار الأول

 


Print   Email