Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1840 : HUKUM MENUNAIKAN SOLAT KE ATAS JENAZAH SECARA SERENTAK

ak 1840

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sentiasa berada di bawah lindungan Allah. Saya ada satu persoalan. Bagaimana cara untuk solat jenazah jika jenazah ramai? Adakah perlu disolatkan satu persatu atau sekaligus? Contoh keluarga yang mati kemalangan. Bagaimana nak menyusun jenazah-jenazah itu ketika solat? Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz.

Ringkasan jawapan :

Harus untuk menunaikan solat ke atas jenazah secara serentak jika jumlah jenazah lebih daripada seorang  dalam satu masa yang sama. Keharusan ini didahulukan jika ada sebab-sebab yang tertentu seperti takut mayat menjadi rosak kerana lambat diuruskan dan sebagainya. Bagi susunan jenazah-jenazah yang disolatkan secara serentak , jenazah lelaki diletakkan di hadapan imam kemudian dituruti dengan jenazah kanak-kanak kemudian baru dituruti dengan jenazah wanita.

Huraian jawapan :

Jika jenazah lebih daripada seorang secara serentak dalam satu masa yang sama, para ulama memberi keharusan untuk menunaikan solat jenazah ke atas mereka secara serentak atau disolatkan satu persatu. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Naqib Al-Misri. Beliau menyatakan :

ويجوزُ أنْ يصليَ عليهم دُفعةً واحدةً

“Harus untuk menunaikan solat ke atas mereka serentak.”[1]

Imam Syamsuddin Al-Ramli menyatakan :

(وَيَجُوزُ عَلَى الْجَنَائِزِ صَلَاةٌ) وَاحِدَةٌ بِرِضَا أَوْلِيَائِهَا لِأَنَّ الْغَرَضَ مِنْهَا الدُّعَاءُ وَالْجَمْعُ فِيهِ مُمْكِنٌ سَوَاءٌ كَانُوا ذُكُورًا أَمْ إنَاثًا أَمْ ذُكُورًا وَإِنَاثًا

“Harus untuk menunaikan solat ke atas jenazah secara serentak dengan izin penjaga-penjaga mereka kerana tujuan solat jenazah itu adalah untuk mendoakan mereka. Boleh dikumpulkan mereka untuk disolatkan secara serentak sama ada mereka itu lelaki atau perempuan kesemua atau bercampur lelaki dan perempuan.”[2]

Namun begitu, Paling afdal solat ke atas jenazah seorang demi seorang adalah sepakat ulama Syafi’iyyah dalam hal ini dan tiada khilaf. Imam Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan :

وَالْأَفْضَلُ إفْرَادُ كُلِّ جِنَازَةٍ بِصَلَاةٍ إلَّا مَعَ خَشْيَةِ نَحْوِ تَغَيُّرٍ بِالتَّأْخِيرِ

“Paling utama (afdal) adalah menunaikan solat jenazah satu persatu melainkan jika takut berlaku apa-apa kepada jenazah seperti takut jenazah rosak dengan sebab lambat.”[3]

Berdasarkan kenyataan Ibn Hajar Al-Haitami, jenazah-jenazah tersebut perlu disolatkan satu persatu. Ini adalah cara yang paling afdal. Namun, jika ada sebab-sebab tertentu yang memerlukan jenazah-jenazah itu disolatkan secara serentak seperti takut mayat rosak dan sebagainya, maka solat secara serentak perlu didahulukan. Bahkan Imam Al-Ramli mengatakan bahawa ianya boleh menjadi wajib untuk dilakukan secara serentak jika ada sebab yang mendesak.[4]

Bagi susunan jenazah-jenazah yang disolatkan secara serentak, jenazah lelaki diletakkan di hadapan imam kemudian kanak-kanak dan disusuli jenazah wanita[5]. Perkara ini berdasarkan perbuatan Ibn Umar RA seperti mana yang diriwayatkan oleh Nafi’. Beliau berkata:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ صَلَّى عَلَى ‌تِسْعِ ‌جَنَائِزَ جَمِيعًا فَجَعَلَ الرِّجَالَ يَلُونَ الْإِمَامَ وَالنِّسَاءَ يَلِينَ الْقِبْلَةَ، فَصَفَّهُنَّ صَفًّا وَاحِدًا وَوُضِعَتْ جَنَازَةُ أُمِّ كُلْثُومِ بِنْتِ عَلِيٍّ امْرَأَةِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَابْنٍ لَهَا يُقَالُ لَهُ زَيْدٌ وُضِعَا جَمِيعًا وَالْإِمَامُ يَوْمَئِذٍ سَعِيدُ بْنُ الْعَاصِ وَفِي النَّاسِ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو هُرَيْرَةَ وَأَبُو سَعِيدٍ وَأَبُو قَتَادَةَ فَوُضِعَ الْغُلَامُ مِمَّا يَلِي الْإِمَامَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Ibnu Umar menunaikan solat ke atas sembilan jenazah. Beliau meletakkan lelaki berhadapan dengan imam dan jenazah wanita berhadapan kiblat. Beliau menyusun mereka semua dalam satu saf. Jenazah Ummu Kalthum Binti Ali, isteri kepada Umar Bin Al-Khattab dan anaknya Zaid diletakkan kesemuanya. Imam pada hari tersebut adalah Sa’ad Bin Al-‘As dan solat tersebut dihadiri oleh Ibn Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah. Jenazah kanak-kanak pula diletakkan selepas jenazah lelaki (yang berada di hadapan imam).”[6]

Kesimpulannya, harus untuk menunaikan solat ke atas jenazah secara serentak jika jumlah jenazah lebih daripada seorang  dalam satu masa yang sama. Keharusan ini didahulukan jika ada sebab-sebab yang tertentu seperti takut mayat rosak kerana lambat dan sebagainya. Bagi susunan jenazah-jenazah yang disolatkan secara serentak , jenazah lelaki diletakkan di hadapan imam kemudian dituruti dengan jenazah kanak-kanak kemudian baru dituruti dengan jenazah wanita

NOTA HUJUNG:

[1] Ibn Al-Naqib Al-Misri, Ahmad Bin Lu’lu’, ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik(1982), Al-Syu’un Al-Diniyah, Qatar, h.92

[2] Syamsuddin Al-Ramli, Muhammad Bin Abu ‘Abbas Ahmad, Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj(1983), Dar Al-Fikr, Beirut, j.2 h.492

[3] Ibn Hajar Al-Haitami, Ahmad Bin Muhammad, Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj, Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabi, j.3 h.157.

[4] Ibid. j.2 h.491. Imam al-Ramli menyebut: نَعَمْ إنْ خَشَى تَغَيُّرًا أَوْ انْفِجَارًا بِالتَّأْخِيرِ فَالْأَفْضَلُ الْجَمْعُ بَلْ قَدْ يَكُونُ وَاجِبًا

[5] ‘Umdah Al-Salik, h.92. ويجوزُ أنْ يصليَ عليهم دُفعةً واحدةً، ويضعُهُم بينَ يديهِ بعضَهُمْ خلفَ بعضٍ هكذا إلى القبلةِ، ويليهِ الرجُلُ ثمَّ الصبيُّ ثمَّ المرأةُ، ثمَّ الأفضلُ فالأفضلُ

[6] Riwayat Al-Nasaie no 1978, Sunan Al-Nasaie (1987), Maktab Al-Matbu’at Al-Islamiyah, Aleppo,j.4  h.71