Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1852: HUKUM MUSLIM MEMBERSIHKAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN

Kafi Bersih Kuil 1

Soalan

Apakah hukum seorang Muslim terlibat dalam membersihkan rumah ibadat agama lain, contohnya seperti yang tular baru-baru ini di mana sekumpulan pelajar terlibat membersihkan sebuah kuil yang terkesan akibat banjir yang melanda negara?

 

Ringkasan Jawapan

Seorang Muslim itu tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam.

Namun hal ini tidak sama sekali menegah kita daripada menunaikan hak kemanusiaan lain dengan membantu non-Muslim yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain. Antaranya dengan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah perlaksanaan tanggungjawab dan memberi hak yang wajib diberikan dan dibenarkan dan membentuk suasana yang damai. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: "Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu".

Surah Al-Mumtahanah (8)

Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan. Namun demikian, Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dijaga dan dijadikan sempadan bagi memelihara kesucian akidah kita.

Pada Januari 2019, kami telah bahaskan isu penglibatan Muslim dalam pembinaan rumah ibadat agama lain, iaitu:

AL-KAFI #1033: HUKUM PENGLIBATAN MUSLIM DALAM PEMBINAAN RUMAH IBADAT AGAMA LAIN (Boleh diakses melalui pautan: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3000-al-kafi-1033-hukum-penglibatan-muslim-dalam-pembinaan-rumah-ibadat-agama-lain )

Melalui artikel ini, setelah meneliti pandangan para ulama dan dalil-dalil yang dikemukakan, kami mentarjihkan pandangan yang mengharamkan keterlibatan orang Islam dalam pembinaan gereja atau rumah ibadat agama lain, sebagaimana yang dipegang oleh majoriti ulama.

Maka selaras dengan itu, kami berpandangan bahawa penglibatan Muslim dalam gotong-royong membersihkan rumah ibadat agama lain juga adalah dilarang, sejajar dengan kaedah syarak yang mengharamkan segala bentuk kesyirikan dan menegah daripada apa jua bentuk kerjasama serta bantuan yang menjurus ke arah kesyirikan. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan.

Surah al-Ma’idah (2)

Hal ini juga berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:

اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.

Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, lebih-lebih lagi dalam konteks akidah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada akidah dan keharmonian beragama umat Islam.

Adapun bantuan yang berbentuk kemanusiaan secara umum yang tidak sama sekali mempunyai perkaitan secara langsung dengan membantu ke arah kesyirikan. Bahkan ia termasuk dalam kategori berlaku ihsan kepada seluruh manusia tanpa mengira agama, dengan syarat mereka juga berbuat baik kepada kita, selaras dengan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah (8)

Para ulama juga membezakan antara bantuan dan interaksi yang berbentuk secara langsung dan tidak langsung, di mana bentuk yang diharamkan hanyalah yang diniatkan padanya (al-maqsudah) dan yang berkait secara langsung (al-mubasyirah). Membersihkan rumah ibadat merupakan satu bentuk kerjasama atau bantuan yang secara langsung menjurus kepada membantu ritual dan amalan agama lain, berbeza dengan bantuan berbentuk kemanusiaan yang tidak berkait secara langsung dengan agama mereka, seperti menyelamatkan nyawa penganut agama lain di rumah ibadat mereka dan seumpamanya.

Berasaskan ini, seorang Muslim dinasihatkan tidak melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam.

Namun hal ini tidak sama sekali menegah kita daripada membantu non-Muslim yang terkesan melalui cara lain, antaranya dengan membersihkan rumah kediaman mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan. Bantuan seperti ini adalah lebih selamat dan memelihara keutuhan akidah kita dan tidak akan menimbulkan sebarang tohmahan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, kami juga menyeru supaya masyarakat awam tidak tergesa-gesa menghukum sesuatu perbuatan atau percakapan itu sebagai terkeluar daripada Islam kecuali setelah diteliti, dikaji dan dirujuk kepada pihak berkuasa agama. Ini bagi mengelakkan fenomena bermudah-mudahan dalam kafir mengkafir sesama umat Islam sehingga mencetuskan huru hara dalam masyarakat.

Wallahu a’lam.