Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1885: HUKUM MENGALUNKAN AZAN KETIKA PENGEBUMIAN JENAZAH

hukum alunkan azan jenazah min

 

Soalan

Apakah hukum mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah? Saya lihat ada yang melakukannya sebagai qiyas kepada hukum mengalunkan azan di telinga bayi yang baru lahir. Kata mereka, sebagaimana azan dialunkan ketika lahir ke dunia, begitu jugalah seseorang itu diazankan setelah dia meninggal dunia.

 

Ringkasan Jawapan

Menurut para ulama mazhab Syafi’e, tidak disunatkan untuk mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah, bahkan ia dianggap sebagai bidaah oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Qaul muktamad mazhab Syafi’e menetapkan bahawa tidak disunatkan untuk mengalunkan azan ketika mengebumikan jenazah. Kata Imam al-Bujayrami:

وَلَا يُنْدَبُ الْأَذَانُ عِنْدَ سَدِّهِ خِلَافًا لِبَعْضِهِمْ

Maksudnya: Tidak disunatkan mengumandangkan azan ketika menutup liang lahad, tidak sebagaimana pendapat sebahagian daripada ulama.[1]

Syeikh Abu Bakr al-Dimyati turut menyatakan hal yang sama, dan menafikan kesahihan penggunaan qiyas kepada azan ketika kelahiran bayi:

واعلمْ أَنَّهُ لا يُسَنُّ الأذانُ عِنْدَ دُخُولِ القَبْرِ، خِلافًا لِمَنْ قال بِنِسْبَتِهِ قِياسًا لِخُرُوجِهِ مِن الدنيا عَلى دُخُولِهِ فِيها

Maksudnya: Ketahuilah, bahawasanya tidak disunatkan azan ketika mengebumikan jenazah ke dalam kubur; hal ini berbeza dengan ulama yang mensunatkan hal yang demikian, dengan alasan qiyas terhadap hukum sunatnya mengalunkan azan ketika kelahirannya. [2]

Ibn Hajar al-Haitami pula dalam salah satu fatwa beliau menganggapnya sebagai satu bidaah. Kata beliau:

هُوَ بِدْعَةٌ وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ سُنَّةٌ عِنْدَ نُزُولِ الْقَبْرِ قِيَاسًا عَلَى نَدْبِهِمَا فِي الْمَوْلُودِ إلْحَاقًا لِخَاتِمَةِ الْأَمْرِ بِابْتِدَائِهِ فَلَمْ يُصِبْ وَأَيُّ جَامِعٍ بَيْنَ الْأَمْرَيْنِ وَمُجَرَّدُ أَنَّ ذَاكَ فِي الِابْتِدَاءِ وَهَذَا فِي الِانْتِهَاءِ لَا يَقْتَضِي لُحُوقَهُ بِهِ

Maksudnya: Perbuatan tersebut (mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah ialah bidaah, dan sesiapa yang menganggap azan ketika membawa turun jenazah ke dalam liang lahad sebagai satu sunnah, sebagai qiyas dengan hukum sunatnya azan saat kelahiran bayi, kerana  menyamakan pengakhiran suatu perkara (kematian) dengan permulaannya (kelahiran), maka dia salah. Apakah perkara yang menggabungkan antara dua perkara itu? Hanya semata-mata suatu perkara itu merupakan permulaan dan suatu yang lain itu ialah pengakhiran, tidak memestikan kedua-duanya itu boleh diqiyaskan.[3]

Kesimpulan

Kesimpulannya, para ulama mazhab Syafi’e tidak menghukumkan sunat untuk mengalunkan azan ketika pengebumian jenazah, bahkan ia dianggap sebagai bidaah oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami menurut fatwa beliau dalam kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Mengiyaskan hukum sunat mengalunkan azan dengan saat sejurus kelahiran bayi sebagai alasan untuk mengalunkan azan ketika pengebumian juga ialah pandangan yang lemah dan salah dari sudut penghujahannya.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj oleh Sulayman bin Muhammad al-Bujayrami (1950) Matba’ah al-Halabi, 1/492

[2] Rujuk I’anah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu’in oleh Abu Bakr al-Dimyati (1997) Dar al-Fikr, Cetakan Pertama, 1/268

[3] Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra oleh Ahmad Ibn Hajar al-Haitami (t.t) al-Maktabah al-Islamiyyah, 2/24

Lihat juga Khulasah al-Athar oleh Syeikh Muhammad Amin bin Fadhlullah al-Muhibbi (t.t) Beirut: Dar Sodir, 4/173

ولما أنزل في قبره عمل المؤذنون ببدعته التي ابتدعها مدة سنوات بدمشق من افادته إياهم أن الأذان عند دفن الميت سنة وهو قول ضعيف ذهب إليه بعض المتأخرين ورده ابن حجر في العباب وغيره