Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1887 : HUKUM WANITA HAID MEMANDIKAN JENAZAH

  MANDI min

Soalan:

Assalammualaikum, Adakah boleh wanita yang sedang berhaid memandikan jenazah? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Wanita yang sedang haid dibolehkan untuk memandikan jenazah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Perkara yang perlu disegerakan selepas kematian ialah proses menguruskan jenazah seperti memandikan, mengkafankan, didirikan solat ke atas jenazah dan mengebumikannya yang merupakan kategori fardu kifayah. [1] Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجِنَازَةِ فإنها إن تَكُ صالحة: فخير تُقَدِّمُونَهَا إليه. وإن تَكُ سِوى ذلك: فشرٌ تَضَعُونَهُ عن رِقَابِكُم

Maksudnya: “Segeralah kebumikan jenazah, apabila jenazah tersebut adalah jenazah yang baik maka kalian telah menyegerakannya kebaikan (kenikmatan). Apabila jenazah tersebut tidak seperti itu (jenazah yang buruk) maka kalian (segera) meletakkan keburukan tersebut daripada kamu semua.”

Riwayat Bukhari (1315)

Perintah memandikan jenazah berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA.huma telah berkata:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ

Maksudnya“Mandikanlah dia dengan air yang dicampur dengan daun bidara”

Riwayat al-Bukhari (1267)

Antara syarat tukang memandikan jenazah mempunyai ciri-ciri amanah iaitu seorang yang tidak menyebarkan aib si mati dan haram menyebutnya keburukannya melainkan keperluan. Namun, sekiranya melihat yang baik dari si mati, maka tukang mandi jenazah perlu menyebut-nyebut perkara yang baik.[2]

Seterusnya, tiada halangan bagi orang berjunub mahupun orang yang sedang berhaid memandikan jenazah, imam al-Nawawi menjelaskan perkara ini di dalam kitabnya, Minhaj al-Tolibin:

ويغسل الجنب والحائض الميت بلا كراهة

Orang yang berjunub dan wanita yang sedang haid tidak makruh memandikan jenazah,[3]

Kesimpulannya, tiada larangan bagi mereka yang dalam keadaan junub mahupun sedang haid untuk memandikan jenazah. Yang lebih penting, seorang yang ditugaskan untuk memandikan jenazah perlu mempunyai sikap amanah tanpa menyebarkan aib si mati sekiranya melihat perkara-perkara yang buruk kerana haram menyebut-nyebut perkara yang buruk berkaitan si mati.

 

 

 RUJUKAN

 

[1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 56

 ويبادر بغسله إذا تيقن موته وغسله وتكفينه والصلاة عليه ودفنه فروض كفاية

[2] Al-Khatib al-Syirbini, 1994 Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifat al-Falzd al-Minhaj, Dar Kitab Ilmiyah. J2 : P:46

 وليكن الغاسل أمينا فإن رأى خيرا ذكره أو غيره حرم ذكره إلا لمصلحة

 

[3]Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 61