Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1889: ADAKAH PERLU MENGULANGI SUJUD TILAWAH JIKA BERULANG KALI MEMBACA AYAT SAJADAH?

 

AL KAFI 1889

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, seperti yang diketahui bahawa apabila seseorang itu membaca al-Quran dan surah-surah yang mengandungi ayat sajadah dia perlu sujud tilawah. Soalan saya, bagaimana pula jika seseorang itu membaca ayat tersebut secara berulang kali seperti orang yang sedang menghafal al-Quran. Jadi, adakah perlu mengulangi sujud tilawah tersebut?

 

Ringkasan Jawapan:

Pada asasnya hukum mengulangi sujud tilawah bagi yang membaca ayat sajadah secara berulang kali bergantung kepada dua keadaan. Pertama, sunat mengerjakan sujud tilawah dengan kadar satu kali sujud bagi mereka yang mengulangi ayat tersebut dalam majlis atau tempat yang sama. Kedua, sunat serta dituntut mengulangi sujud tilawah bagi seseorang yang membaca 2 ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama atau membaca ayat sajadah yang sama dalam majlis yang berbeza.

Adapun bagi orang yang mengulangi bacaannya bagi tujuan menghafal ia termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana sunat baginya mengerjakan sekali sujud sahaja.

 

Huraian Jawapan:

Mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, hukum mengerjakan sujud tilawah sama ada bagi orang yang mendengar atau membaca ayat Sajadah adalah sunat muakkad yang mana ia merupakan sunat yang dituntut untuk dilaksanakan.[1] Hal ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang mana Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ عَلَيْنَا السُّورَةَ، فِيهَا السَّجْدَةُ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ

Maksudnya: “Nabi SAW memperdengarkan kami bacaan surah (ketika menjadi imam) surah yang mempunyai ayat Sajdah, lalu Baginda sujud dan kami pun turut bersujud.”[2]

(Riwayat Bukhari: 1075)

Oleh itu, bagi sujud tilawah yang dilakukan diluar solat, maka ia tertakluk kepada dua keadaan iaitu:

Keadaan Pertama: Pengulangan satu ayat Sajadah dalam satu majlis.

Di dalam situasi ini, memadai bagi orang yang mendengar dan membaca ayat sajadah ini membaca mengerjakan sujud tilawah dengan kadar sekali sujud sahaja Hal ini merujuk kepada pandangan Sheikh al-Ruyani[3]:

لو كرر وقراءة ‌أية ‌السجدة في مجلس واحد مرتين وثلاثاً يكفيه سجدة واحدة

Maksudnya: “Sekiranya seorang itu mengulangi atau membaca ayat sajadah di dalam satu majlis sebanyak dua atau tiga kali, memadai dia bersujud sajadah sekali”.

(Rujuk Bahr al-Mazhab: 1/288)

Kedua: Mengulangi Ayat Sajadah dalam Majlis yang Berbeza.

Situasi ini juga sama bagi keadaan orang yang membaca dua ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama. Oleh itu, jika seseorang itu membaca satu ayat sajadah dalam dua majlis yang berbeza atau membaca dua ayat sajadah yang berbeza pada majlis yang sama maka dituntut bagi pembaca dan pendengar mengerjakan atau mengulangi sujud tilawah sebanyak dua kali.[4]

Oleh yang demikian, bagi seseorang yang sedang menghafal ayat tersebut dan mengulangi bacaan hafalannya itu termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana cukup baginya mengerjakan sekali sahaja sujud tilawah.

Kesimpulan:

Hukum mengulangi sujud tilawah bagi yang membaca ayat sajadah secara berulang kali bergantung kepada dua keadaan. Pertama, sunat mengerjakan sujud tilawah dengan kadar satu kali sujud bagi mereka yang mengulangi ayat tersebut dalam majlis atau tempat yang sama. Kedua, sunat serta dituntut mengulangi sujud tilawah bagi seseorang yang membaca 2 ayat sajadah yang berbeza di dalam majlis yang sama atau membaca ayat sajadah yang sama dalam majlis yang berbeza.

Adapun bagi orang yang mengulangi bacaannya bagi tujuan menghafal ia termasuk dalam keadaan yang pertama yang mana sunat baginya mengerjakan sekali sujud sahaja.

Wallahu A’lam..

 

 

[1] Mausu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (2012). Cetakan 1, Kuwait: Wuzarat al-Awqaf wa la-Syu’un al-Islami. Jilid 24 hlm 212. Teks asal:

فَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ إِلَى أَنَّ سُجُودَ التِّلاَوَةِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ

[2] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail. 1422H. Sohih Bukhari. Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Dar al-Tuq al-Naja. Jilid 2 hlm 41, no:1075.

[3] Al-Ruyani, Abu al-Mahasin ‘Abd al-Wahid bin Ismail. (2009). Bahr al-Mazhab. Tahkik: Tariq Fathi al-Sayyid. Cetakan 1, Dar al-Kutub al-‘llmiyyah. Jilid 2 hlm 140.

[4] Makhluf, Hasanain Muhammad. (1965). Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah. Cetakan 2, Mesir: Syarikat Makatabah Mustafa al-Halabi.Ibid, jilid 1 hlm 288. Teks asal:

ولو تلا آيتين في مجلس واحد، أو اية واحدة في مجلسين