Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1910: HUKUM MEMBERI HARTA HARAM KEPADA AHLI KELUARGA

alkafi 1910

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan wang haram, adakah ia boleh diberikan kepada ahli keluarga saya sebagai bentuk pelepasan saya? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Hukum memberi harta haram kepada ahli keluarga adalah haram. Namun sekiranya mereka dalam kategori orang fakir, maka ia boleh digunakan untuk dirinya dan ahli keluarganya sekadar yang mereka perlukan sahaja. Meskipun begitu, bagi harta haram yang diketahui empunya harta tersebut, maka ia wajib diserahkan kepada pemiliknya dan tidak boleh disedekahkan kepada fakir miskin termasuklah ahli keluarga.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Harta haram adalah merujuk kepada harta yang diperoleh dengan cara yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba dan seumpamanya. Sebagaimana maklum, harta haram tidak boleh digunakan untuk manfaat ataupun kepentingan diri sendiri dan ia sememangnya wajib dibersihkan dan dilupuskan dengan cara memulangkannya semula kepada pemilik harta tersebut sekiranya diketahui. Namun, sekiranya tidak diketahui pemilik asal harta itu, maka ia perlulah disalurkan untuk kepentingan orang awam atau diberikan kepada fakir miskin[1].

Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Ghazali, beliau menyatakan[2]:

إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ

Maksudnya: “Sekiranya dia mempunyai harta haram dan dia ingin berlepas diri daripadanya, maka jika wujud pemilik asal bagi harta tersebut wajib ke atasnya untuk memulangkan harta itu kepada pemiliknya yang asal atau kepada wakilnya. Atau sekiranya pemilik tersebut telah mati, maka wajib untuk menyerahkannya kepada para warisnya. Dan jika tidak diketahui siapa pemilik asal harta tersebut, maka hendaklah dia menginfakkannya untuk kepentingan umum orang Muslim seperti jambatan, benteng pertahanan, masjid dan kepentingan jalan raya dan sebagainya, ataupun jika tidak hendaklah disedekahkannya kepada fakir dan miskin.”

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan hukum memberi harta haram kepada ahli keluarga, maka pada dasarnya hukumnya adalah haram dan berdosa. Namun sekiranya pemberian tersebut atas sebab kefakiran atau tidak mampu mencari harta halal, maka ia harus atas sebab darurat dan menjaga nyawa[3].

Begitu juga, Imam al-Ghazali ada menyebut sekiranya dia dan ahli keluarganya dalam kalangan mereka yang fakir, maka dia boleh bersedekah untuk dirinya dan ahli keluarganya dengan harta tersebut, namun dengan syarat sekadar keperluan sahaja. Beliau berkata:

وَإِذَا دَفَعَهُ إلَى الْفَقِيرِ لَا يَكُونُ حَرَامًا عَلَى الْفَقِيرِ بَلْ يَكُونُ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَهُ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِهِ عَلَى نَفْسِهِ وَعِيَالِهِ إذَا كَانَ فَقِيرًا لِأَنَّ عِيَالَهُ إذَا كَانُوا فُقَرَاءَ. فَالْوَصْفُ مَوْجُودٌ فِيهِمْ بَلْ هُمْ أَوْلَى مَنْ يُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ وَلَهُ هُوَ أَنْ يَأْخُذَ مِنْهُ قَدْرَ حَاجَتِهِ لِأَنَّهُ أَيْضًا فَقِيرٌ

Maksudnya: “Jika sekiranya ia diberikan kepada orang fakir, maka wang tersebut tidak menjadi haram bagi orang fakir tersebut, bahkan menjadi harta yang halal lagi baik (halalan toyyiba). Dan dia boleh untuk menyedekahkan wang tersebut kepada dirinya sendiri dan keluarganya jika sekiranya termasuk dalam kategori fakir. Hal ini kerana jika keluarganya termasuk dalam kategori fakir maka sifat tersebut ada pada mereka, bahkan mereka lebih utama untuk disedekahkan, dan orang tersebut juga boleh mengambil pada kadar keperluannya, kerana dia juga seorang fakir.[4]

Dalam masa yang sama, ibu bapa hendaklah bertaubat daripada harta haram itu dan tidak mengulanginya, sebaliknya berusaha mencari dan memberi nafkah untuk ahli keluarga dengan sumber yang halal. Sabda Nabi SAW:

الحَلاَلُ بَيِّنٌ، وَالحَرَامُ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَةٌ، فَمَنْ تَرَكَ مَا شُبِّهَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ، كَانَ لِمَا اسْتَبَانَ أَتْرَكَ، وَمَنِ اجْتَرَأَ عَلَى مَا يَشُكُّ فِيهِ مِنَ الإِثْمِ، أَوْشَكَ أَنْ يُوَاقِعَ مَا اسْتَبَانَ، وَالمَعَاصِي حِمَى اللَّهِ مَنْ يَرْتَعْ حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ

Maksudnya:Perkara halal itu jelas dan perkara haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat (samar-samar). Sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang diragukan (yang tidak jelas) tentang dosanya, dia pasti akan lebih meninggalkan perkara-perkara yang telah jelas (dosanya). Sesiapa yang mudah melakukan sesuatu yang masih diragukan tentang dsoanya, dia akan lebih mudah terjerumus ke dalam perkara yang telah jelas (dosanya). Segala maksiat adalah kawasan larangan Allah SWT. Barangsiapa yang bermain-main atau berada dekat dengan kawasan larangan Allah itu, dikhuatiri dia akan terjatuh ke dalam kawasan larangan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (2051)

Kesimpulannya, hukum memberi harta haram kepada ahli keluarga adalah haram. Namun sekiranya mereka dalam kategori orang fakir, maka ia boleh digunakan untuk dirinya dan ahli keluarganya sekadar yang mereka perlukan sahaja. Meskipun begitu, bagi harta haram yang diketahui empunya harta tersebut, maka ia wajib diserahkan kepada pemiliknya dan tidak boleh disedekahkan kepada fakir miskin termasuklah ahli keluarga.

Sebaiknya, perbuatan sebegini hendaklah dihindari kerana menjauhkan diri daripada perkara haram dan syubhat merupakan tuntutan utama dalam agama Islam. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah SWT permudahkan kita untuk mencari dan memperoleh rezeki yang halal lagi baik. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dan keikhlasan dalam menuntut ilmu. Wallahu A’lam.

[1] Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Mesir: Matabi‘ Dar al-Safwah, cetakan pertama, 1404H-1427H), 34/245.

وَالْكَسْبُ الْخَبِيثُ هُوَ أَخْذُ مَال الْغَيْرِ لاَ عَلَى وَجْهِ إِذْنِ الشَّرْعِ، فَيَدْخُل فِيهِ الْقِمَارُ وَالْخِدَاعُ وَالْغُصُوبُ وَجَحْدُ الْحُقُوقِ وَمَا لاَ تَطِيبُ نَفْسُ مَالِكِهِ، أَوْ حَرَّمَتْهُ الشَّرِيعَةُ وَإِنْ طَابَتْ بِهِ نَفْسُ مَالِكِهِ كَمَهْرِ الْبَغِيِّ وَحُلْوَانِ الْكَاهِنِ وَأَثْمَانِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ وَغَيْرِ ذَلِك.

وَالْوَاجِبُ فِي الْكَسْبِ الْخَبِيثِ تَفْرِيغُ الذِّمَّةِ وَالتَّخَلُّصُ مِنْهُ بِرَدِّهِ إِلَى أَرْبَابِهِ إِنْ عَلِمُوا، وَإِلاَّ إِلَى الْفُقَرَاءِ.

Lihat juga: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, menyatakan bahawa:

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.”

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 9/351.

[3] ‘Abbas Ahmad Muhammad al-Baz, Ahkam al-Mal al-Haram, Tasyrif: ‘Umar Sulaiman al-Asyqar, (Jordan: Dar al-Nafais, cetakan ke-2, 1420H), hlm. 289.

فإذا كان المال الحرام في يد الوالد ينفق منه على نفسه وأبنائه لغير حاجة أو فقر، فإن الأب يكون آثمًا بهذا الإنفاق إذا وجد المال الحلال أو كان قادرًا على تحصيله – كما سبق ذكره –، أما إن كان عاجزًا عن تحصيل المال الحلال فعندئذ يكون إنفاقه من المال الحرام جائزًا للضرورة وحفظ النفس بحيث ينتهي حكم هذا الإنفاق بزوال هذه الضرورة وحصول المال الحلال في يده.

[4] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 9/351.