Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1912: HUKUM MENGHALANG PEROKOK TEGAR UNTUK SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

HUKUM MENGHALANG PEROKOK TEGAR UNTUK SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

 

SOALAN

Assalamualaikum. Di surau taman saya ada seorang perokok tegar (heavy smoker) yang selalu solat berjemaah bersama-sama kami. Alhamdulillah kami selaku ahli jawatankuasa masjid mengalu-alukan kehadiran dia, namun kadang-kadang ada jemaah yang mengadu bahawa bau rokok di pakaiannya atau di badannya agak kuat sehingga menganggu kekhusyukan mereka untuk solat.

Soalan saya, adakah patut kami menghalangnya daripada solat berjemaah bersama jemaah lain atau adakah cara lain bagi menyelesaikan masalah ini?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum seseorang yang merokok hadir untuk solat berjemaah di masjid adalah makruh sekiranya kesan bau rokok tersebut akan mengganggu jemaah yang lain. Pihak masjid berhak untuk menghalang orang tersebut daripada masuk ke dalam masjid. Walau bagaimanapun, hendaklah diakui bahawa kehadirannya ke masjid adalah satu perkara yang sangat baik dan positif yang boleh mendorongnya kepada perubahan diri ke arah lebih baik.

Oleh itu, dicadangkan kepada pihak masjid supaya menasihati orang tersebut agar tidak merokok atau menghilangkan terlebih dahulu bau rokok pada dirinya sebelum dia hadir ke masjid. Segala bantuan yang diberikan kepadanya untuk memastikan dia tetap hadir ke masjid merupakan suatu perbuatan yang terpuji.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat hadis yang melarang seseorang yang makan makanan berbau kuat daripada datang ke masjid dan berjemaah bersama dengan jemaah yang lain. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Ibn Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا، فَلْيَعْتَزِلْنَا - أَوْ قَالَ: فَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا - وَلْيَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang merah, maka hendaklah menjauhkan diri daripada kami atau (perawi berkata) menjauhkan diri daripada masjid kami atau hendaklah dia duduk di rumahnya.

(Riwayat al-Bukhari: 855)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin menyebutkan bahawa orang yang masuk ke dalam masjid dalam keadaan mulutnya berbau adalah makruh sekiranya tiada keperluan mendesak untuk dia masuk ke dalam masjid. Kata beliau:

وَيُكْرَهُ لِمَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا، أَوْ غَيْرَهُمَا مِمَّا لَهُ رَائِحَةٌ كَرِيهَةٌ - دُخُولُ الْمَسْجِدِ بِلَا ضَرُورَةٍ مَا لَمْ يَذْهَبْ رِيحُهُ.

Maksudnya: Makruh bagi sesiapa yang makan bawang merah, bawang putih atau makanan lain yang mempunyai bau busuk untuk masuk ke dalam masjid tanpa keperluan yang mendesak sekiranya bau tersebut kekal.[1] (Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:297)

Hal ini termasuk juga bau-bauan lain yang boleh mengganggu orang ramai dengan bau tersebut seperti bau darah dan bau asap rokok.[2] Syeikh al-Syabramallisi menerangkan hal berikut, kata beliau:

 (قَوْلُهُ: رِيحٌ كَرِيهَةٌ إلَخْ) وَمِنْ الرِّيحِ الْكَرِيهَةِ رِيحُ الدُّخَانِ الْمَشْهُورِ الْآنَ جَعَلَ اللَّهُ عَاقِبَتَهُ كَأَنَّهُ مَا كَانَ.

Maksudnya: Kata pengarang bau yang busuk (yang menghalang seseorang masuk ke masjid) antaranya ialah bau asap rokok yang dikenali pada zaman kini. Moga Allah SWT menjadikan pengakhiran bagi perkara ini seolah-olah tidak pernah ada.[3] (Rujuk Hasyiah al-Syabramallisi, 2:160)

Bahkan ulama ada menambahkan bahawa apa jua tempat perhimpunan umum yang dianjurkan oleh syarak selain daripada masjid, maka makruh hukumnya bagi orang yang merokok untuk hadir jika akan mengganggu orang ramai dengan bau busuknya tersebut. Hal ini sepertimana disebutkan oleh Syeikh al-Nafrawi bahawa:

فَأَلْ فِي الْمَسْجِدِ لِلِاسْتِغْرَاقِ، فَيَتَنَاوَلُ غَيْرَ مَسْجِدِ الْخُطْبَةِ، وَيَتَنَاوَلُ مُصَلَّى الْعِيدِ، وَيَلْحَقُ بِذَلِكَ مَجَالِسُ الْعِلْمِ، وَحِلَقُ الذِّكْرِ، وَمَجْمَعُ الْوَلَائِمِ الْمَطْلُوبُ الِاجْتِمَاعُ فِيهَا

Maksudnya: Alif lam (أَلْ) pada lafaz al-masjid (الْمَسْجِدِ) adalah berbentuk umum yang merangkumi semua maksud yang sama (istighraq). Maka larangan ini turut termasuk tempat perhimpunan umum selain di masjid seperti majlis ceramah, musalla yang didirikan untuk solat hari raya. Hal ini juga termasuk majlis ilmu, halaqah zikir dan majlis-majlis yang dianjurkan oleh syarak untuk berhimpun.[4] (Rujuk al-Fawakih al-Dawwani, 2:320)

Oleh yang demikian, jika seseorang datang ke masjid dengan bau-bauan yang boleh mengganggu jemaah di masjid, maka hukumnya adalah makruh dan pihak masjid berhak untuk menghalang orang tersebut daripada memasuki masjid. Tambahan pula hukum merokok adalah haram seperti yang telah kami jelaskan dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-18: Merokok : Hukum Dan Penyelesaiannya.

Namun begitu, jika dia hadir dalam keadaan yang tidak mengganggu jemaah lain, maka kehadirannya hendaklah dialu-alukan dan tidak boleh dihalang. Ini kerana kehadirannya ke masjid adalah satu perkara yang sangat baik dan positif yang boleh mendorongnya kepada perubahan diri ke arah lebih baik.

Oleh itu, cara yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini ialah dengan menasihati orang tersebut agar tidak merokok atau menghilangkan terlebih dahulu bau rokok pada badannya dengan cara mandi, menggosok gigi dan menukar pakaian sebelum dia hadir ke masjid. Selain itu, digalakkan juga untuk memberikan bantuan kepadanya apabila datang ke masjid dengan keperluan yang diperlukannya supaya dia tetap akan hadir masjid walaupun dalam apa jua keadaan. Moga Allah memberikan hidayah kepada kita semua.

 

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islami, jld. 1, hlmn. 297.

[2] وَمِثْلُ ذَلِكَ مَنْ بِثِيَابِهِ أَوْ بَدَنِهِ رِيحٌ كَرِيهَةٌ كَدَمِ فَصْدٍ وَقَصَّابٍ وَأَرْبَابِ الْحِرَفِ الْخَبِيثَةِ وَذِي الْبَخَرِ وَالصُّنَانِ الْمُسْتَحْكَمِ وَالْجِرَاحَاتِ الْمُنْتِنَةِ وَالْمَجْذُومِ وَالْأَبْرَصِ وَمَنْ دَاوَى جُرْحَهُ بِنَحْوِ ثُومٍ؛ لِأَنَّ التَّأَذِّي بِذَلِكَ أَكْثَرُ مِنْهُ بِأَكْلِ نَحْوِ الثُّومِ. (نهاية المحتاج إلى شرح المنهاج، ج 2، ص 160.

[3] Al-Syabramallisi, Abu Dhiya’ Nuruddin, 1984, Hasyiah al-Syabramallisi ‘ala Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 2, hlmn. 160.

[4] Al-Nafrawi, Ahmad Ibn Ghanim, 1995, al-Fawakih al-Dawwani ‘ala Risalah Ibn Zaid al-Qayrawani, jld. 2, hlmn. 320.