Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1941: NIAT WUDUK BAGI WANITA ISTIHADAH

NIAT_WUDUK_BAGI_WANITA_ISTIHADAH.jpg

 

SOALAN

Assalammualaikum, saya mengalami istihadah, bagaimana hendak niat berwuduk untuk mengangkat hadas sedangkan darah sentiasa mengalir keluar?  Mohon pencerahan S.S Mufti

Ringkasan Jawapan

Niat wuduk bagi wanita istihadah ialah “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat” tanpa perlu menyebut “mengangkat hadas”. Hal ini kerana wanita yang dalam istihadah darahnya terus menerus mengalir dan keadaan ini tidak terangkat hadasnya. Oleh itu wuduknya hanya berperanan untuk mengharuskan solat.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Perintah kewajipan melakukan solat bagi perempuan yang sedang beristihadah berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW  kemudian dia bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِحَيْضَةِ فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya“Wahai Rasulullah, Aku perempuan yang mengalami darah istihadah, oleh itu aku masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak,  kerana darah itu daripada urat ( sejenis darah penyakit)  dan bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid (kadar adatnya), maka hendaklah kamu mandi membersihkan diri dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (306)

Sementara itu, wanita istihadah (mustahadah) seperti orang yang sentiasa mengalami hadas.[1] Maka wanita tersebut tidak boleh niat mengambil wuduk untuk menghilangkan hadas atau mengangkat hadas. Namun wanita istihadah perlu berniat wuduk dengan niat istibahah  (استباحة)  iaitu untuk tujuan mengharuskan solat didirikan. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Nawawi :

فروضه ستة أحدها: نية رفع حدث أو استباحة مفتقر إلى طهر أو أداء فرض الوضوء ومن دام حدثه كمستحاضة كفاه نية الاستباحة دون الرفع على الصحيح فيهما

Maksudnya:” Fardu wuduk ada enam, salah satunya niat mengangkat hadas atau mengharuskan   perkara yang perlu kepada suci atau menunaikan fardu wuduk. Bagi orang yang sentiasa berhadas seperti wanita istihadah  memadai niat mengharuskan tanpa menyebut mengangkat hadas menurut  yang sahih pada keduanya . [2]

Justeru itu, niat wuduk mustahadah tanpa menyebut “mengangkat hadas” seperti hukum niat tayammum dan juga tidak disyaratkan untuk menambah " kerana Allah Taala (للَّهِ تَعَالَى). [3] 

Penutup

Berdasarkan pandangan fuqaha Syafie yang dikemukakan, niat wuduk wanita istihadah ialah niat istibahah (استباحة) untuk membolehkan solat didirikan. Sebagai contoh “Sahaja aku berwuduk  bagi  mengharuskan solat”.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, : Dar al-Fikr J:1 P19

والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة

[2] Ibid, 12

[3] Al-Khatib al-Syirbini, Muhamamad bin Ahmad (1994)  Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd Al-Minhaj , Dar Kitab Ilmiah J 1 P: 168)

تَنْبِيهٌ: حُكْمُ نِيَّةِ دَائِمِ الْحَدَثِ فِيمَا يَسْتَبِيحُهُ مِنْ الصَّلَوَاتِ حُكْمُ نِيَّةِ الْمُتَيَمِّمِ

وَلَا يُشْتَرَطُ فِي النِّيَّةِ الْإِضَافَةُ إلَى اللَّهِ تَعَالَى لَكِنْ تُسْتَحَبُّ كَمَا فِي الصَّلَاةِ وَغَيْرِهَا،