Soalan:
Benarkah membaca sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran itu merupakan satu bidaah dalam agama? Mohon penjelasan.
Ringkasan Jawapan:
Membaca sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran bukannya perbuatan bidaah dalam agama, bahkan ia merupakan satu bentuk zikir yang digalakkan untuk dibaca sebagai salah satu cara memuliakan al-Quran dan beradab dengan Allah SWT. Para ulama tafsir juga sering menggunakan lafaz tersebut dalam kitab-kitab tafsir mereka.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ucapan sadaqallahulazim merupakan salah satu cara penghormatan kita terhadap al-Quran. Menurut Imam al-Qurtubi:
ومن حرمته إذا انتهت قراءته أن يصدق ربه ويشهد بالبلاغ لرسوله صلى الله عليه وسلم ويشهد على ذلك أنه حق فيقول : صدقت ربنا وبلغت رسلك ونحن على ذلك من الشاهدين
Maksudnya: Antara cara menghormati Al-Quran adalah apabila seseorang selesai membacanya, dia membenarkan Tuhannya dan bersaksi bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan Al-Quran, serta bersaksi bahawa Al-Quran adalah benar dengan mengucapkan: “صدقت ربنا وبلغت رسلك ونحن على ذلك من الشاهدين” (Engkau benar wahai Tuhan kami, Engkau telah mengutuskan Rasul-Mu, dan kami menjadi saksi ke atas perkara tersebut.[1]
Bahkan apabila diteliti, ucapan saqallahulazim ini banyak digunakan oleh para ulama tafsir al-Quran dalam karya-karya mereka, antaranya ialah Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim dan Syeikh Ibn ‘Ajibah dalam al-Bahr al-Madid fi Tafsir al-Quran al-Majid.[2]
Para ulama kontemporari juga telah memberikan fatwa dan penerangan yang jelas berkenaan isu ini. Syeikh ‘Atiyyah Saqr dalam salah satu fatwa beliau menyebut:
وقول "صدق الله العظيم " من القارئ أو من السامع بعد الانتهاء من القراءة ، أو عند سماع آية من القراَن ليس بدعة مذمومة، أولا لأنه لم يرد نهى عنها بخصوصها، وثانيا لأنها ذكر لله والذكر مأمور به كثيرا ، وثالثا أن العلماء تحدثوا عن ذلك داعين إليه كأدب من آداب قراءة القرآن
Maksudnya: Ucapan sadaqallahulazim oleh pembaca atau pendengar al-Quran setelah selesai bacaan bukan suatu bidaah yang tercela. Sebab pertama adalah kerana tiada larangan khusus daripada melakukan perkara tersebut, manakala sebab kedua pula adalah ia merupakan satu bentuk zikir, dan zikir itu dianjurkan untuk diperbanyakkan. Sebab ketiga pula adalah para ulama menganggapnya sebagai salah satu adab dalam membaca al-Quran.[3]
Selain itu, Majlis Fatwa Jordan[4] juga menegaskan hal yang sama, dan ucapan tersebut sebenarnya merupakan pujian terhadap Allah SWT yang digunakan sendiri oleh al-Quran melalui firman-Nya:
قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan dia bukanlah daripada kalangan orang musyrik.
Surah Ali ‘Imran (95)
Pujian terhadap Allah SWT itu diharuskan dalam setiap waktu dan keadaan, dan memuji Allah SWT selepas membaca al-Quran bukannya suatu bidaah atau perkara yang menyanggahi syarak, bahkan ia sebenarnya satu penghormatan kepada al-Quran dan adab yang tinggi dengan Allah SWT.
Menurut Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni pula, ucapan sadaqallahulazim merupakan salah satu isu yang sepatutnya tidak lagi dipersoalkan:
وقول صَدَقَ اللهُ العَظِيْمُ عند الانتهاء من التلاوة وأمثال ذلك من الأمور التى لا تحتاج إلى جدال ومناظرة
Maksudnya: Ucapan sadaqallahulazim setelah membaca Al-Quran dan persoalan seumpamanya merupakan hal yang tidak perlu lagi diperdebatkan dan dibahaskan.[5]
Para ulama mazhab Syafie juga ada membincangkan hukum seseorang itu mengucapkan sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran dalam solat, adakah ia membatalkan solat atau tidak?
Syeikh Zakariyya al-Ansari menukilkan bahawa Imam Ibn al-‘Iraqi pernah ditanya tentang seseorang yang sedang solat dan mengucapkan sadaqallahulazim setelah bacaan al-Quran oleh imam, adakah ia diharuskan dan adakah ia tidak membatalkan solat? Menurut beliau, hukumnya adalah harus dan ia tidak membatalkan solat, kerana ia merupakan zikir dan bukannya percakapan dengan orang lain.[6]
Syeikh Syubramallisi pula berkata:
لَوْ قَالَ صَدَقَ اللَّهُ الْعَظِيمُ عِنْدَ قِرَاءَةِ شَيْءٍ مِنْ الْقُرْآنِ قَالَ م ر يَنْبَغِي أَنْ لَا يَضُرَّ
Maksudnya: Seandainya seseorang itu mengucapkan sadaqallahulazim setelah membaca sebahagian daripada al-Quran, kata al-Ramli: sudah tentu ia tidak membatalkan solat.”[7]
Jika ucapan sadaqallahulazim itu suatu bidaah yang tercela, sudah pasti kesemua para ulama ini akan menjelaskannya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, membaca sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran bukannya perbuatan bidaah dalam agama, bahkan ia merupakan satu bentuk zikir yang digalakkan untuk dibaca sebagai salah satu cara memuliakan al-Quran dan beradab dengan Allah SWT. Para ulama tafsir juga sering menggunakan lafaz tersebut dalam kitab-kitab tafsir mereka.
Wallahu a‘lam.
Rujukan:
[1] Rujuk Tafsir al-Qurtubi oleh Syamsuddin al-Qurtubi (t.t), Dar al-Fikr, 1/42
[2] Tafsir Ibn Kathir 1/158
فَلَمْ يَكُ يَنْفَعُهُمْ إِيمانُهُمْ لَمَّا رَأَوْا بَأْسَنا سُنَّتَ اللَّهِ الَّتِي قَدْ خَلَتْ فِي عِبادِهِ وَخَسِرَ هُنالِكَ الْكافِرُونَ [غافر: 85] . صدق الله العظيم
Al-Bahr al-Madid fi Tafsir al-Quran al-Majid 5/350
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ ما يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا ساعَةً مِنْ نَهارٍ. صدق الله العظيم
[3] Fatawa Dar al-Iftaa’ al-Misriyyah, Jami’ al-Kutub al-Islamiyyah, 8/86 bertarikh Mei 1997.
[4] Rujuk teks asal fatwa pada pautan: https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=867#.Y5BKkC8Rr_Q
يجوز للقارئ أن يقول بعد تلاوته: "صدق الله العظيم"، يقصد بذلك الثناء على الله عز وجل بما أثنى به على نفسه حين قال سبحانه: (قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ) آل عمران/95.
والثناء على الله جائز في كل وقت وكل حين، وليس في الإتيان به عقب التلاوة بدعة ولا مخالفة للشريعة، بل فيه تعظيم للقرآن، وتأدب مع الله عز وجل، وقد فعل ذلك النبي صلى الله عليه وسلم في إحدى المرات، كما جاء في حديث بريدة رضي الله عنه قال: (خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَيْهِمَا قَمِيصَانِ أَحْمَرَانِ يَعْثُرَانِ وَيَقُومَانِ، فَنَزَلَ فَأَخَذَهُمَا، فَصَعِدَ بِهِمَا الْمِنْبَرَ ثُمَّ قَالَ: صَدَقَ اللَّهُ (إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ)، رَأَيْتُ هَذَيْنِ فَلَمْ أَصْبِرْ، ثُمَّ أَخَذَ فِي الْخُطْبَةِ) رواه أبو داود (رقم/1109)
[5] Rujuk al-Hady al-Nabawi al-Sahih fi Solat al-Tarawih oleh Muhammad bin Ali al-Sabuni (1983) Doha: Dar al-Kutub al-Qatriyyah, halaman 31-32.
[6] Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib oleh Zakariyya al-Ansari (t.t) Dar al-Kitab al-Islami, 1/179
وَسُئِلَ ابْنُ الْعِرَاقِيِّ عَنْ مُصَلٍّ قَالَ بَعْدَ قِرَاءَةِ إمَامِهِ صَدَقَ اللَّهُ الْعَظِيمُ هَلْ يَجُوزُ لَهُ ذَلِكَ وَلَا تَبْطُلُ صَلَاتُهُ فَأَجَابَ بِأَنَّ ذَلِكَ جَائِزٌ وَلَا تَبْطُلُ بِهِ الصَّلَاةُ
[7] Rujuk Hasyiyah Syubramallisi yang dicetak bersama Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj oleh Syamsuddin al-Ramli (1984) Beirut: Dar al-Fikr, 2/43