Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1975: BOLEHKAH PAKAIAN YANG TERKENA NAJIS ARAK DIBAWA SOLAT?

BOLEHKAH_PAKAIAN_YANG_TERKENA_NAJIS_ARAK_DIBAWA_SOLAT.jpg

 

SOALAN                    

Assalammualaikum. Sekiranya benar arak termasuk kategori najis seperti najis yang lain, maka benarkah ia perlu dibersihkan dahulu sebelum dibawa solat apabila terkena pakaian? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Arak termasuk dalam kategori najis menurut majoriti fuqaha. Oleh itu, arak yang terkena pada pakaian solat perlu dibersihkan dahulu untuk memastikan keabsahan solatnya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Arak merupakan minuman yang terhasil daripada perahan buah anggur.[1] Ia disifatkan sesuatu yang kotor “رِجْسٌ " seperti yang termaktub dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Surah al-Maidah (90)

Al-Qurtubi mentafsirkan bahawa kefahaman majotiri ulama menerusi ayat tersebut adalah pengharaman arak dan kejijikannya menurut syarak serta hukumnya najis. [2]

Jumhur fuqaha mazhab Syafi’i, Imam Malik, Abu Hanifah, Imam Ahmad dan para ulama lain berpandangan arak itu najis.[3] Begitu juga, Imam al-Nawawi yang menyatakan cecair yang memabukkan termasuk bab najis. [4] Manakala bahan pemabuk bukan cairan tidak termasuk benda najis seperti ganja. [5]

Seterusnya, antara syarat sah solat ialah suci daripada najis yang merangkumi bersihnya badan,tempat solat dan pakaian seseorang itu[6]. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya :” Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

Surah Al-Muddatthir: (4)

Pakaian yang terkena najis tidak dikategorikan sebagai pakaian yang suci. Najis terbahagi kepada dua jenis iaitu darah dan bukan darah. Oleh itu syarat pakaian solat mestilah suci daripada najis seperti darah atau selain darah seperti arak mahupun air kencing. [7] Imam al-Syirazi menjelaskan bahawa hukum arak sama seperti najis-najis yang lain seperti darah. [8] Apabila najis arak terkena pada individu sama ada sedar atau tidak maka ia tidak dimaafkan.[9] Oleh itu, arak bukan najis yang dimaafkan dan tidak sah solat yang diirikan   sekiranya terkena najis tersebut sama ada sedar atau tidak. Hal ini kerana syarat sah solat adalah suci daripada sebarang najis apatah lagi najis yang tidak dimaafkan.[10]

Kesimpulan

Oleh yang demikian, arak yang terkena pakaian perlu dibersihkan sebelum menunaikan solat kerana termasuk dalam kategori najis menurut majoriti fuqaha mazhab.

[1] Hajar al-Haitami,  Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj Wa Hawasyi al-Syarwani Wa ‘Ibadi (Dar Ihya’ al-Turath, 1983) J:6 P27

فَالْخَمْرُ هِيَ الْمُعْتَصَرُ مِنْ الْعِنَبِ

[2]Al-Qurtubi, Syamsuddin. 1964. Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Tafsir Qurtubi. Qaherah : Dar al-Kitab AL-Misriyah. J: 3 P: 625-626

.  فهم الجمهور من تحريم الخمر، واستخباث الشرع لها، وإطلاق الرجس عليها والأمر باجتنابها، الحكم بنجاستها.. فإن قيل: التنجيس حكم شرعي ولا نص فيه، ولا يلزم من كون الشيء محرماً أن يكون نجساً، فكم من محرم في الشرع

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar al-Fikr, tth) 2/ 563

] الخمر نجسة عِنْدَنَا وَعِنْدَ مَالِكٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَأَحْمَدَ وَسَائِرِ الْعُلَمَاءِ إلَّا مَا حَكَاهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَغَيْرُهُ عَنْ رَبِيعَةَ شَيْخِ مَالِكٍ وَدَاوُد أَنَّهُمَا قَالَا هِيَ طَاهِرَةٌ وَإِنْ كَانَتْ مُحَرَّمَةً كَالسُّمِّ الَّذِي هُوَ نَبَاتٌ وَكَالْحَشِيشِ الْمُسْكِرِ وَنَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ الْإِجْمَاعَ عَلَى نَجَاسَتِهَا وَاحْتَجَّ أَصْحَابُنَا بِالْآيَةِ الْكَرِيمَةِ.

[4] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: (Dar al-Fikr, 2005). (15).

هي كل مسكر مائع وكلب وخنزير : باب النجاسة

[5] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, (t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam. P: 75

كمسكر أي صالح للإسكار فدخلت القطرة من المسكر. مائع كخمر وهي المتخذة من العنب ونبيذ وهو المتخذ من غيره.

وخرج بالمائع نحو البنج والحشيش.

[6] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,( Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) 1/2000

ثانياً - الطهارة من النجس :

والطهارة من النجاسة تشمل : طهارة ،البدن وطهارة الثوب، وطهارة المكان

[7] Abu Husin, Yahya bin Abu Khair, Al-Bayan Fi Mazhab al-Imam Syafie. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2000) J:2, P: 91

قَوْله تَعَالَى: {وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ} [المدثر: 4] [المدثر: 4] والمراد به: عن النجس؛ لأن الثوب لا يتأتى فيه الطهارة عن الحدث.

إذا ثبت هذا: فالنجاسة على ضربين: دم، وغير دم.

أما غير الدم، كالخمر، والبول، والعذرة

[8] As-Syirazi, Abu Ishak bin Ibrahim. Al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie (Dar al-Kutub Ilmiyah, tth) J:1 P: 93

: وأما الخمر فهو نجس لقوله عز وجل: [المائدة:90] ولأنه يحرم تناوله من غير ضرورة فكان نجساً كالدم وأما النبيذ فهو نجس لأنه شراب فيه شدة مطربة فكان نجساً كالخمر

[9] Abu Husin, Yahya bin Abu Khair, Al-Bayan Fi Mazhab al-Imam Syafie. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2000) J:2, P: 91

أما غير الدم، كالخمر، والبول، والعذرة: فإن كانت يدركها الطرف. . لم يعف عنها؛ لأنه يمكن الاحتراز منها. وإن كانت لا يدركها الطرف. .

[10] As-Syirazi, Abu Ishak bin Ibrahim. Al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie (Dar al-Kutub Ilmiyah, tth) J:1 P: 118

وأما طهارة الثوب الذي يصلي فيه فهي شرط في صحة الصلاة والدليل عليه قوله تعالى {وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ} [المدثر:4] وإن كان على ثوبه نجاسة غير معفو عنها ولم يجد ما يغسل به صلى عرياناً ولا يصلي في الثوب النجس