Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1990: BENARKAH TERDAPAT LARANGAN MEMELUK SAHABATNYA APABILA BERTEMU

 BENARKAH_TERDAPAT_LARANGAN_MEMELUK_SAHABATNYA_APABILA_BERTEMU.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada satu kemusykilan. Saya ceritakan keadaan saya begini, apabila saya berjumpa dengan rakan-rakan saya yang sebaya dan sama jantina, kebiasaannya kami akan bersalaman dan berpelukan kerana kami rapat sebab berkawan semenjak kecil. Persoalannya saya pernah mendengar terdapat larangan dalam hal ini. Benarkah mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Makruh bagi seorang lelaki memeluk sahabat lelakinya melainkan apabila ingin bermusafir, pulang dari musafir atau lama tidak bertemu. Selain itu juga, tidak makruh memeluk individu yang mempunyai hubungan mahram.

 

Huraian Jawapan

Terdapat sebahagian dalam kalangan masyarakat, berpeluk dan mencium pipi atau dahi sahabatnya ketika bertemu kerana keakraban hubungan sesama mereka sudah menjadi satu adat dan kebiasaan di Malaysia. Dalam hal ini, terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah peluk dan cium sahabatnya Zaid bin Harithah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah R.Anha katanya:

قَدِمَ زَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ الْمَدِينَةَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي بَيْتِي فَأَتَاهُ فَقَرَعَ الْبَابَ فَقَامَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عُرْيَانًا يَجُرُّ ثَوْبَهُ وَاللَّهِ مَا رَأَيْتُهُ عُرْيَانًا قَبْلَهُ وَلاَ بَعْدَهُ فَاعْتَنَقَهُ وَقَبَّلَهُ

Maksudnya: Ketika Zaid bin Harithah sampai di kota Madinah, dan pada waktu itu Rasulullah SAW berada di dalam rumahku. Lalu beliau datang dan mengetuk pintu, lantas Rasulullah SAW bangun pergi kepadanya dalam keadaan tidak berbaju (kerana kegembiraan) sambil memegang pakaiannya. Demi Allah aku tidak pernah melihatnya seperti itu sebelum atau selepasnya. Lalu Baginda memeluk dan menciumnya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri hadis di atas menceritakan bahawa Baginda SAW begitu gembira atas kepulangan sahabatnya Zaid bin Harithah, lalu Baginda SAW segera bangun untuk menyambutnya sehingga selendang yang dipakai Baginda SAW untuk menutupi bahagian atas tubuh terjatuh,[1] lantas Baginda SAW memeluk dan menciumnya. Berkaitan hukum peluk dan cium sesama jantina, para ulama berbeza pandangan.

Mazhab al-Syafi’i berpendapat perbuatan tersebut adalah makruh melainkan ketika kembali dari permusafiran atau lama tidak bertemu kerana berjauhan.[2] Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Baghawi yang menyatakan bahawa makruh peluk dan cium sesama jantina melainkan kanak-kanak dan pulang daripada bermusafir[3]. .[4] Pendapat ini juga bertepatan dengan pandangan Imam Malik yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut bukan perlakuan bangsa Arab.[5]

Hal ini kerana Nabi SAW pernah menyarankan untuk bersalaman ketika bertemu sahabat dan melarang berpeluk dan cium serta tunduk hormat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ قَالَ ‏"‏ لاَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ قَالَ ‏"‏ نَعَمْ ‏"‏

Maksudnya: Seorang pemuda berkata: Wahai Rasulullah, apabila seorang lelaki dalam kalangan kami bertemu saudara atau sahabat lelakinya, bolehkah dia menunduk kepala? Baginda SAW menjawab: Tidak. Pemuda itu bertanya: Bolehkah dia memeluk dan menciumnya? Baginda SAW menjawab: Tidak. Dia bertanya lagi: bolehkah dia memegang tangan saudara kemudian bersalaman dengannya? Baginda SAW menjawab: Ya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Namun peluk dan cium ini tidak dihukum sebagai makruh jika mereka merupakan anak dan mahram serta dilakukan kerana perasaan kasih dan sayang. Imam al-Nawawi menyebut:

ويستثنى من هذا تقبيل الوالد والوالدة ونحوهما من المحارم على سبيل الشفقة

Maksudnya: Dikecualikan daripada hukum (makruh) ini adalah mencium anak lelaki, perempuan dan selainnya daripada kalangan mahram atas sebab kasih sayang.[6]

 

Kesimpulan

Makruh bagi seorang lelaki memeluk sahabat lelakinya melainkan apabila ingin bermusafir, pulang dari musafir atau lama tidak bertemu. Selain itu juga,

Hukum makruh ini tidak bersangkutan dengan mana-mana individu yang mempunyai hubungan mahram.

Wallahu‘alam

Rujukan:

[1] Abu al-‘Ala Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syrah Jami’ al-Tirmizi. (Beirut: dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.tp) Jld. 7 Hlm. 434

أَيْ رِدَاءَهُ مِنْ كَمَالِ فَرَحِهِ بِقُدُومِهِ وَمَأْتَاهُ قَالَ فِي الْمَفَاتِيحِ تُرِيدُ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ سَاتِرًا مَا بَيْنَ سُرَّتِهِ وَرُكْبَتِهِ وَلَكِنْ سَقَطَ رِدَاءَهُ عَنْ عَاتِقِهِ فَكَانَ مَا فَوْقَ سُرَّتِهِ عُرْيَانًا انْتَهَى

[2] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, (t.t: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 4 Hlm. 218

وَتُكْرَهُ الْمُعَانَقَةُ وَالتَّقْبِيلُ فِي الرَّأْسِ، وَلَوْ كَانَ الْمُقَبِّلُ أَوْ الْمُقَبَّلُ صَالِحًا لِلنَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ إلَّا لِقَادِمٍ مِنْ سَفَرٍ أَوْ تَبَاعَدَ لِقَاءٌ عُرْفًا فَسُنَّةٌ لِلِاتِّبَاعِ رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ أَيْضًا

[3] Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, al-Azkar al-Nawawiyyah. (Beirut: Dar Ibn Kathir, 1410) Hlm. 420

وأما المعانقةُ وتقبيلُ الوجه لغير الطفل ولغير القادم من سفر ونحوه فمكروهان، نصَّ على كراهتهما أبو محمد البغويّ وغيره من أصحابنا. ويدلّ على الكراهة

[4] Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, al-Azkar al-Nawawiyyah. (Beirut: Dar Ibn Kathir, 1410) Hlm. 420

وهذا الذي ذكرناه في التقبيل والمعانقة، وأنه لا بأس به عند القدوم من سفر ونحوه، ومكروه كراهة تنزيه في غيره

[5] Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. (Mesir: Dar al-Safwah, 1427) Jld. 38 Hlm. 184

وَكَرِهَ مَالِكٌ الْمُعَانَقَةَ كَرَاهَةً تَنْزِيهِيَّةً لأَنَّهَا مِنْ فِعْل الأَعَاجِمِ، وَلَمْ يَرِدْ عَنْ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ فَعَلَهَا إِلاَّ مَعَ جَعْفَرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

[6] Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.t: Dar al-Fikr, t.tp) Jld. 4 Hlm. 638