Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1995: HUKUM NIAT SAMBUNG MANDI WAJIB

HUKUM_NIAT_SAMBUNG_MANDI_WAJIB.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya nak tanya, baru-baru ini selepas saya mandi wajib, saya mendapati tangan dan kaki saya tidak rata dengan air. Kemudian, saya pergi ke tandas untuk sambung mandi wajib sahaja dan tidak berniat untuk meratakan air ke kaki dan tangan saya. Adakah sah mandi wajib saya?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Sah mandi wajib walaupun tidak melakukannya secara berturutan (muwalah). Di samping itu, sah juga niat menyambung mandi wajib kerana ia mengandungi makna mengangkat hadas.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Mandi wajib mempunyai dua rukun sahaja iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh badan dan semua bulu-bulu padanya. Dalam kitab Fiqh al-Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafie menyebutkan:

‌‌فرائض الغسل أمران فقط: النية، وإيصال الماء إلى البشرة والشعر

Maksudnya: Rukun bagi mandi junub adalah dua sahaja iaitu niat dan meratakan air keseluruh badan dan bulu-bulu yang ada padanya. (Rujuk Fiqh al-Ibadat, 1:143)

Selain itu, tidak wajib untuk berterusan (muwalah) dalam melaksanakan mandi wajib di sisi jumhur ulama. Hukum untuk melaksanakan mandi junub secara berterusan adalah sunat. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

‌وَكَذَا ‌الْغُسْلُ ‌تُسَنُّ ‌مُوَالَاتُهُ ‌كَالْوُضُوءِ ‌خُرُوجًا ‌مِنْ ‌الْخِلَافِ

Maksudnya: Begitu juga, disunatkan bagi mandi junub dilakukan secara berterusan sama seperti wuduk sebagai keluar daripada khilaf.[1] (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 1:364)

Ini juga pandangan daripada jumhur ulama sepertimana yang disebut dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiah bahawa:

الترتيب والموالاة في الغسل غير واجبين عند جمهور الفقهاء

Maksudnya: Tertib dan berterusan pada mandi wajib adalah tidak wajib di sisi jumhur fuqaha. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 11:100)

Oleh itu, jika seseorang meninggalkan basuhan tangan ketika mandi wajib, kemudian dia membasuhnya pada waktu yang lain, maka sah mandi wajibnya. Manakala berkenaan niat, Imam al-Nawawi berkata:

ثُمَّ إِنْ نَوَى رَفْعَ الْجَنَابَةِ، أَوْ رَفْعَ الْحَدَثِ عَنْ جَمِيعِ الْبَدَنِ، أَوْ نَوَتِ الْحَائِضُ رَفْعَ حَدَثِ الْحَيْضِ، صَحَّ الْغُسْلُ

Maksudnya: Jika seseorang berniat mengangkat hadas besar atau mengangkat hadas daripada semua badan atau wanita yang haid mengangkat hadas haid, maka sah mandinya. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:87)

Kesimpulan

Apabila seseorang meratakan air ke tangan dan kaki dengan niat untuk menyambung mandi wajib yang sebelumnya, maka mandi wajibnya tersebut sah.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Haitami, Ibn Hajar, Tuhfat al-Muhtah Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar Ihya al-Turath, 1984), jld. 1, hlm. 364.