Soalan
Assalammualaikum, bolehkah seorang ibu menjadi imam kepada anak lelaki 9 tahun dan anak perempuan 4 dan 7 tahun? Hal ini kerana anak lelaki perlu solat sendirian sedangkan saya dan anak perempuan solat berjemaah apabila berada dirumah. Mohon pencerahan. sekian Terima kasih
Ringkasan Jawapan:
Hukum ibu menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz iaitu 6 atau 7 tahun adalah tidak sah. Sebaliknya, anak lelaki yang telah mencapai had usia mumayyiz layak menjadi imam kepada ibunya apabila mampu membaca al-Quran dengan betul dan mengetahui syarat-syarat sah solat dan imam.
Huraian Jawapan:
Lelaki tidak boleh menjadi makmum kepada wanita dan solat jemaah dalam keadaan ini tidak sah. Hal ini kerana antara syarat sahnya untuk menjadi makmum mestilah lelaki tidak menjadi makmum kepada perempuan mahupun khunsa musykil (khunsa yang tidak dikenal pasti kecenderungan jantinanya. Perkara ini dinyatakan oleh Ad-Damiri dalam karya Najm al-Wahaj:
لا تصح قدوة رجل ولا خنثى بامرأة
Maksudnya: “Tidak sah makmum lelaki dan khunsa (musykil)berimamkan perempuan[1]
Begitu juga, fuqaha mazhab Syafi’i bersepakat tidak membenarkan kanak -kanak lelaki yang sudah baligh solat dibelakang imam perempuan. Perkara ini dijelaskan dalam karya Majmu’:
وَاتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى أَنَّهُ لَا تَجُوزُ صَلَاةُ رَجُلٍ بَالِغٍ وَلَا صَبِيٍّ خَلْفَ امرأة
Maksudnya: “Fuqaha Syafi’i bersepakat bahawa lelaki yang sudah baligh dan kanak-kanak (mumaiyiz) tidak boleh (haram) solat berjemaah di belakang wanita [2]
Berikut adalah kategori solat berjemaah yang sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:
- Lelaki menjadi makmum kepada lelaki.
- Perempuan menjadi makmum kepada lelaki
- Khunsa menjadi makmum kepada lelaki
- Perempuan menjadi makmum kepada khunsa
- Perempuan menjadi makmum kepada perempuan
Kategori solat berjemaah yang tidak sah berdasarkan kedudukan jantina imam dan makmum:
- Lelaki menjadi makmum kepada perempuan
- Lelaki menjadi makmum khunsa (kemungkinan imam perempuan)
- Khunsa menjadi makmum kepada perempuan (kemungkinan makmum lelaki)
- Khunsa menjadi makmum kepada khunsa (kemungkinan imam perempuan makmum lelaki.[3]
Lelaki yang telah mencapai had umur mumayyiz tidak sah menjadi makmum bagi imam perempuan. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini :
وَلَا تَصِحُّ قُدْوَةُ) ذَكَرٍ (رَجُلٍ) أَوْ صَبِيٍّ مُمَيِّزٍ (وَلَا خُنْثَى بِأُ) نْثَى (امْرَأَةٍ) أَوْ صَبِيَّةٍ مُمَيِّزَةٍ ،
Maksudnya: Lelaki atau kanak-kanak lelaki yang mumaiyiz dan khunsa (musykil) tidak sah menjadi makmum kepada wanita, atau dengan kanak-kanak perempuan yang mumaiyiz. [4]
Justeru itu, ibu tidak boleh menjadi imam kepada anak - anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz iaitu 6 atau 7 tahun dan ke atas. Bahkan, sekiranya anak-anak lelakinya baik bacaanya, maka kanak-kanak tersebut layak menjadi imam kepada ibunya. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini:
وَ) تَصِحُّ الْقُدْوَةُ (لِلْكَامِلِ) وَهُوَ الْبَالِغُ الْحُرُّ (بِالصَّبِيِّ) الْمُمَيِّزِ لِلِاعْتِدَادِ بِصَلَاتِهِ، «وَلِأَنَّ عَمْرَو بْنَ سَلِمَةَ بِكَسْرِ اللَّامِ كَانَ يَؤُمُّ قَوْمَهُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهُوَ ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعٍ» ، رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.
Maksudnya: “Lelaki yang sempurna iaitu baligh dan merdeka menjadi makmum kepada kanak-kanak mumaiyiz hukum solatnya adalah sah. Perkara ini berdasarkan 'Amr bin Salamah mengimamkan kaumnya pada zaman Rasulullah SAW sedangkan beliau berumur enam atau tujuh tahun, hadis riwayat al-Bukhari” [5]
Penutup
Kesimpulannya, ibu tidak sah menjadi imam kepada anak-anak lelakinya yang telah mencapai usia mumayyiz. Sementara itu, sekiranya anak-anak lelaki yang baik bacaan al-Qurannya lebih layak untuk menjadi imam bagi makmum lelaki apatah lagi boleh menjadi imam kepada wanita.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Ad-Damiri, Al-Najm Wahaj Fi Syarh al-Minhaj (Dar al-Minhaj: 2004) 2:153
[2] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din. al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab(, Dar al-Fikr )J: 4 p: 255
[3]Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah,Qism Ibadah, (Dar Ilm wa Dakwah, 2003) 293
الصور التي تُصِح فيها القدوة : خمسة :
١ - قدوةً رَجُلٍ بِرجُل . ۲ - قدوة امرأة برجل . ٣ - قدوةً خَنْثَى بِرجُل . ٤ - قدوة امرأةٍ بخَنثى . قدوة امرأة بامرأة .
الصور التي لا تَصِحُ فيها القدوة: أربعة :
۱ - قدوةُ رَجُل بامرأة. ۲ - قدوةً رجُلٍ بخُنثى : لاحتمالِ كونِ الإمامِ امرأَةٌ . ۳ - قدوة خُنثى بامرأة لاحتمال كون المأموم رجُلاً . ٤ - قدوةً خُنثى بخُنثى : لاحتمال أن يكون الإمامُ امرأة والمأموم رجُلا
[4] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994) 1:482
[5] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mugni Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1994) 1:483.