Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1997: HUKUM TERBATAL WUDUK ANTARA DUA SOLAT JAMAK TAQDIM

HUKUM_TERBATAL_WUDUK_ANTARA_DUA_SOLAT_JAMAK_TAQDIM.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada soalan berkenaan solat jamak takdim Zuhur dan Asar ketika musafir. Pada solat yang kedua (solat Asar), wuduk saya telah terbatal dan saya ke tandas untuk membuang air besar kemudian mengambil wuduk yang baru. Adakah saya perlu mengulang solat yang pertama (solat Zuhur) atau hanya lakukan solat kedua (solat Asar)?

Ringkasan Jawapan

Sekiranya seseorang itu membuang air besar lalu mengambil wuduk, maka sah solat jamak sekiranya ia tidak mengambil masa yang lama antara kedua-dua solat berdasarkan uruf yang mana menurut mazhab Syafi‘i hendaklah tempoh itu tidak lebih dari kadar dua rakaat solat. Di samping itu perbuatan tersebut merupakan sebahagian daripada maslahah solat, lebih-lebih lagi wuduk.

Namun sekiranya perbuatan tersebut mengambil masa yang lama, maka terbatal solat jamak tersebut dan hendaklah dilaksanakan solat yang kedua pada masanya. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut mazhab al-Syafi‘i, disyaratkan dalam solat jamak takdim muwalah iaitu berturut-turut antara dua solat yang digabungkan. Perlu dipastikan bahawa tiada jarak masa yang lama antara kedua waktu solat tersebut. Imam al-Ramli berkata:

(وَ) ثَالِثُهَا (الْمُوَالَاةُ بِأَنْ لَا يَطُولَ بَيْنَهُمَا فَصْلٌ) إذْ الْجَمْعُ يَجْعَلُهُمَا كَصَلَاةٍ وَاحِدَةٍ، فَوَجَبَ الْوَلَاءُ كَرَكَعَاتِ الصَّلَاةِ؛ لِأَنَّهَا تَابِعَةٌ وَالتَّابِعُ لَا يُفْصَلُ عَنْ مَتْبُوعِهِ وَلِهَذَا تُرِكَتْ الرَّوَاتِبُ بَيْنَهُمَا.

Maksudnya: Dan syarat jamak takdim yang ketiga ialah berturut-turut (muwalat) iaitu tidak ada jarak masa yang lama di antara dua solat jamak taqdim. Ini kerana solat jamak menjadikan dua solat seperti satu solat, justeru wajib berturutan sebagaimana rakaat solat. Hal ini kerana solat yang kedua adalah pengikut (solat yang pertama) dan pengikut tidak terpisah dari apa yang diikutinya. Oleh sebab itu, ditinggalkan solat rawatib antara dua solat jamak tersebut.[1]

Jika terdapat jarak masa yang lama antara dua solat, hendaklah dilaksanakan solat yang kedua pada masanya. Perkara ini juga disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini:

(فَإِنْ طَالَ وَلَوْ بِعُذْرٍ) كَسَهْوٍ وَإِغْمَاءٍ (وَجَبَ تَأْخِيرُ الثَّانِيَةِ إلَى وَقْتِهَا) لِفَوَاتِ شَرْطِ الْجَمْعِ (وَلَا يَضُرُّ فَصْلٌ يَسِيرٌ)

Maksudnya: Sekiranya panjang jarak masa antara kedua-dua solat walaupun dengan keuzuran seperti terlupa atau pengsan, wajib melaksanakan solat yang kedua pada masanya kerana telah terbatal syarat jamak. Sekiranya jarak masa antara solat itu sedikit tidak mengapa.[2]

Timbul persoalan sekiranya seseorang itu membuang air besar terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk antara dua solat jamak tersebut. Sekiranya perbuatan itu mengambil tempoh masa yang sedikit, maka solat jamak tidak batal. Imam al-Ramli car berkata:

(وَلِلْمُتَيَمِّمِ) بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ (الْجَمْعُ) (عَلَى الصَّحِيحِ) كَالْمُتَوَضِّئِ (وَلَا يَضُرُّ تَخَلُّلُ طَلَبٍ خَفِيفٍ) كَالْإِقَامَةِ بَلْ أَوْلَى؛ لِأَنَّهُ شَرْطٌ دُونَهَا فَكَانَ مِنْ مَصْلَحَتِهَا، بَلْ لَوْ كَانَ الْفَصْلُ الْيَسِيرُ لَيْسَ لِمَصْلَحَتِهَا لَمْ يَضُرَّ أَيْضًا

Maksudnya: Dibolehkan bagi seseorang yang bertayammum (untuk bertayammum) di antara dua solat jamak mengikut pendapat yang sahih seperti orang yang berwuduk antara solat jamak. Tidaklah membatalkan jamak takdim disebabkan mencari air (untuk berwuduk), seperti hukum iqamah bahkan lebih utama kerana berwuduk adalah syarat sah solat maka ia termasuk dalam maslahah solat. Bahkan sekiranya berlaku selang masa yang sedikit untuk perkara-perkara yang tidak berkait dengan maslahah solat juga tidak membatalkan (solat jamak tersebut).[3]

Begitu juga, Imam al-Ramli menyatakan:

وَمِنْ الطَّوِيلِ قَدْرُ صَلَاةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: Antara jarak masa yang panjang ialah kadar masa solat dua rakaat.[4]

Berdasarkan penerangan di atas, kadar jarak masa yang tidak membatalkan solat jamak seperti berikut:

  • Kadar iqamah.
  • Kadar tempoh yang sedikit untuk mencari air untuk bertayammum (طلب الماء).
  • Mestilah tidak melebihi kadar solat dua rakaat.

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan bahawa jika seseorang itu terbatal wuduk antara solat jamak takdim, hendaklah dia segera mengambil wuduk dan kembali menunaikan solat kedua iaitu tanpa perlu mengulang solat yang pertama kerana tempoh jarak antara dua solat jamak tersebut tidak terlalu lama berdasarkan ‘uruf semasa yang mana tidak melebihi dari kadar dua rakaat solat.

Sekiranya seseorang itu membuang air besar lalu mengambil wuduk, maka sah solat jamak sekiranya ia tidak mengambil masa yang lama antara kedua-dua solat. Di samping itu perbuatan tersebut merupakan sebahagian daripada maslahah solat, lebih-lebih lagi wuduk. Namun sekiranya perbuatan tersebut mengambil masa yang lama, maka terbatal solat jamak tersebut dan hendaklah dilaksanakan solat yang kedua pada masanya.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Ramli, Muhammad bin Ahmad, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), 2:276.

[2]Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar Ihya Turath al-Arabi, 1983) 1:531

[3] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 2:277.

[4] Ibid.