Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1998: BOLEHKAH BERAMAL DENGAN MENGULANG AYAT 58 SURAH YASIN (سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) SEBANYAK TIGA ATAU TUJUH KALI KETIKA MEMBACA SURAH TERSEBUT AGAR DIPERKENANKAN SEGALA HAJAT

ADAKAH_BOLEH_BERAMAL_DENGAN_MENGULANG_AYAT_58_SURAH_YASIN_سَلَامٌ_قَوْلًا_مِّن_رَّبٍّ_رَّحِيمٍ_SEBANYAK_TIGA_ATAU_TUJUH_KALI_KETIKA_MEMBACA_SURAH_TERSEBUT_AGAR_DIPERKENANKAN_SEGALA_HAJAT.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya mengikuti majlis bacaan Yasin, ada sesetengah imam yang mengetuai bacaan akan mengulangi ayat 58 surah Yasin sebanyak 3 kali atau dalam bilangan ganjil sebelum meneruskan kembali ayat seterusnya. Ayat tersebut adalah: (سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) mohon pandangan tuan berkenaan hal ini. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Amalan membaca surah Yasin dengan mengulang ayat 58 sebanyak tiga atau tujuh kali apabila sampai pada ayat tersebut adalah dibolehkan bahkan sunat mengulang-ulang ayat al-Quran terutamanya bagi tujuan bertadabbur. Selain itu juga, turut digalakkan untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada Allah SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-Nya.

Huraian Jawapan

Surah Yasin digelar sebagai hati al-Quran dan sesiapa yang membacanya akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda :

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.

(Riwayat al-Tirmizi)

Terdapat adat dan amalan masyarakat melayu di sesetengah tempat membaca surah Yasin dan apabila sampai pada ayat ke-58 iaitu (سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) akan diulangi sebanyak 3 atau 7 kali dan berdoa kepada Allah SWT.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sunat seseorang itu mengulang-ulang sesuatu ayat al-Quran untuk bertadabbur dan seumpamanya. Perbuatan ini diamalkan oleh golongan para sahabat Nabi SAW dan juga golong salafussaleh.[1] Ibn Mas’ud pernah beramal dengan mengulang ayat (رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا).[2] Imam al-suyuti juga berpendapat harus mengulang-ulang sesuatu ayat sebagaimana Nabi SAW pernah mengulang-ulang satu ayat ketika solat.[3] Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari katanya:

قَامَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ يُرَدِّدُهَا

Maksudnya : “Rasulullah S.A.W pernah berdiri di dalam solat dengan membaca satu ayat yang baginda mengulang-ulangnya sehingga pagi

(Riwayat Ibn Majah)

Selain itu, terdapat saranan daripada Nabi SAW ketika memohon sesuatu hajat dengan menjadikan al-Quran sebagai perantaraan agar Allah SWT menunaikan segala permintaan dan hajat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia

                                                                                                                       (Riwayat Al-Tirmizi)

Menurut Syeikh al-Mubarakfuri mohonlah kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran dalam sesuatu perkara sama ada perkara dunia atau akhirat.[4]

Kesimpulan

  1. Amalan membaca surah Yasin dengan mengulang ayat 58 sebanyak tiga atau tujuh kali apabila sampai pada ayat tersebut adalah dibolehkan bahkan sunat mengulang-ulang ayat al-Quran terutamanya bagi tujuan bertadabbur.
  2. Selain itu juga, turut digalakkan untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada Allah SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-Nya.

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Tibyan fi Adab Hamlah al-Quran, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1414) Hlm. 83

وقد بات جماعة من السلف يتلون آيه واحدة يتدبرونها ويرددونها إلى الصباح

[2] Ibid. Hlm. 86

وردد ابن مسعود رضي الله عنه رب زدني علما

[3] Jalaluddin al-Suyuti, al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, (Mesir: al-Hai’ah al-Misriyyah al-Ammah li Kitab, 1394) Jld. 1 Hlm. 371

لَا بَأْسَ بِتَكْرِيرِ الْآيَةِ وَتَرْدِيدِهَا رَوَى النَّسَائِيُّ وَغَيْرُهُ عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم قَامَ بِآيَةٍ يُرَدِّدُهَا حَتَّى أَصْبَحَ: {إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ} الْآيَةَ.

[4] Abu al-‘Ala Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.tp.) Jld.8 Hlm. 189

(مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ) فَلْيَطْلُبْ مِنَ اللَّهِ تَعَالَى بِالْقُرْآنِ مَا شَاءَ مِنْ أُمُورِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ أَوِ الْمُرَادُ أَنَّهُ إِذَا مَرَّ بِآيَةِ رَحْمَةٍ فَلْيَسْأَلْهَا مِنَ اللَّهِ تَعَالَى أَوْ بِآيَةِ عُقُوبَةٍ فَيَتَعَوَّذُ إِلَيْهِ بِهَا مِنْهَا وَإِمَّا أَنْ يَدْعُوَ اللَّهَ عَقِيبَ الْقِرَاءَةِ بِالْأَدْعِيَةِ الْمَأْثُورَةِ وَيَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ الدُّعَاءُ فِي أَمْرِ الْآخِرَةِ وَإِصْلَاحِ الْمُسْلِمِينَ في معاشهم ومعادهم