Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2001: ADAKAH ISTERI KEPADA ANAK TIRI MERUPAKAN MAHRAM

ADAKAH_ISTERI_KEPADA_ANAK_TIRI_MERUPAKAN_MAHRAM.jpg

Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya adakah isteri kepada anak tiri saya merupakan mahram saya?

Ringkasan Jawapan

Sekalipun anak tiri menjadi mahram setelah bapa tirinya bersama dengan ibunya namun isteri kepada anak tiri tidak dikira sebagai mahram. Oleh itu hubungan di antara bapa tiri dengan isteri kepada anak tiri  adalah bukan mahram dan tidak boleh bersalaman.

Huraian Jawapan

Sebab-sebab sabitan mahram adalah 3 perkara: hubungan kekeluargaan (talian darah), perkahwinan (musaharah) dan susuan. Penjelasan berkenaan dengan golongan yang haram dinikahi dinyatakan dalam firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah Al-Nisa’: 23)

Penjelasan berkenaan dengan siapakah mahram telah dibincangkan dalam artikel yang bertajuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 305 : Hukum Hakam Bersalaman Dengan Sanak Saudara Di Hari Raya.

Anak tiri dalam kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud anak kepada isteri atau suami seseorang daripada perkahwinan terdahulu1. Anak tiri akan menjadi mahram kepada ayah tirinya dengan syarat ibunya mesti digauli. Dengan erti kata lain, berlaku persetubuhan antara ibu anak tersebut dengan suami barunya. Ini berdasarkan potongan daripada ayat 24 Surah Al-Nisa’ di mana Allah SWT berfirman:

وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ

Maksudnya: “(diharamkan juga) anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campur.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Menurut Imam al-Qurtubi perkataan rabibah bermaksud anak perempuan bekas suami kepada isteri (anak tiri). Ia dinamakan demikian kerana lelaki itu akan memeliharanya di rumahnya. Para ulama sepakat bahawa anak perempuan kepada isteri yang telah kamu setubuhi haram dinikahi (mahram) sekalipun anak tersebut tidak tinggal bersama ibunya2.

Sekalipun anak tiri menjadi mahram setelah bapa tirinya bersama dengan ibunya namun isteri kepada anak tiri tidak dianggap seperti hukum menantu kepada anak kandung. Perkara ini dinyatakan dalam kitab kitab I’anah al-Talibin:

(والحاصل) لا تحرم بنت زوج الأم ولا أمه ولا بنت زوج البنت ولا أمه ولا أم زوجة الأب ولابنتها ولا أم زوجة الابن ولابنتها ولا زوجة الربيب ولا زوجة الراب وهو زوج الأم

Maksudnya: “Kesimpulannya, tidak haram bernikah dengan anak perempuan kepada suami ibu (saudara tiri), emak suami kepada ibu (nenek tiri), anak perempuan kepada suami anak perempuan (cucu tiri), ibu suami kepada anak tiri (mertua anak tiri), emak isteri kepada bapa (nenek tiri), anak perempuan kepada isteri bapa (saudara tiri), emak isteri kepada anak, anak kepada anak isteri (anak kepada anak tiri), isteri kepada rabib (isteri anak lelaki tiri kepada isteri yang telah disetubuhi) dan isteri kepada ayah tiri.”3

Kesimpulan

Hubungan di antara bapa tiri dengan isteri kepada anak tiri adalah bukan mahram dan boleh dinikahi. Oleh itu haram untuk mereka bersalaman dan berdua-duaan.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

  1. Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=anak+tiri&d=175768& 
  2.  Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi. (1964). Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Qahirah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 5:112. وَالرَّبِيبَةُ: بِنْتُ امْرَأَةِ الرَّجُلِ مِنْ غَيْرِهِ، سُمِّيَتْ بِذَلِكَ لِأَنَّهُ يُرَبِّيهَا فِي حِجْرِهِ فَهِيَ مَرْبُوبَةٌ، فَعِيلَةٌ بِمَعْنَى مَفْعُولَةٍ. وَاتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الرَّبِيبَةَ تَحْرُمُ عَلَى زَوْجِ أُمِّهَا إِذَا دَخَلَ بِالْأُمِّ، وَإِنْ لَمْ تَكُنِ الرَّبِيبَةُ فِي حِجْرِهِ.
  3.  Abu Bakr bin Muhammad Syata’ al-Dimyati. (1997). I’anah al-Talibin ala Hill Alfaz Fath al-Mu’in, Beirut: Dar al-Fikr,  3:336.