Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2015: ADAKAH TERPIJAK NAJIS MEMBATALKAN WUDUK?

ADAKAH_TERPIJAK_NAJIS_MEMBATALKAN_WUDUK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum. Kalau kaki saya terpijak najis, adakah batal wuduk?

Ringkasan Jawapan 

Terpijak najis tidak membatalkan wuduk tetapi hendaklah dibersihkan sebelum mendirikan solat kerana solat tidak sah sekiranya anggota badan, pakaian dan tempat solat tidak bersih daripada najis. Wallahu a’lam.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Allah SWT mensyariatkan wuduk sebelum mendirikan solat dalam firman-Nya berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali

Surah al-Maidah (6)

Wuduk mempunyai rukun, sunat dan syarat tersendiri serta beberapa perkara yang boleh membatalkannya. Menurut mazhab Syafi‘i, perkara yang membatalkan wuduk ada empat[1] iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada qubul dan dubur melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani mewajibkan mandi junub.
  • Hilang akal kecuali tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduk.
  • Bersentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  • Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan.

Oleh yang demikian, menyentuh najis atau terkena najis yang tidak dimaafkan pada anggota badan tidak membatalkan wuduk. Walau bagaimanapun, situasi itu menyebabkan kawasan tersebut bernajis dan perlu dibersihkan sebelum mendirikan solat kerana memastikan diri, pakaian dan tempat solat bersih daripada najis merupakan antara syarat sah solat.[2]

Kesimpulan

Terpijak atau terkena najis tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk.

Walau bagaimanapun, najis yang terkena anggota badan, pakaian dan tempat solat perlu dihilangkan terlebih dahulu kerana ia merupakan salah satu daripada syarat sah solat.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftiin. (T.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm. 10

‌‌باب أسباب الحدث

هي أربعة: أحدها: خروج شيء من قبله أو دبره إلا المنى ولو انسد مخرجه وانفتح تحت معدته فخرج المعتاد نقض وكذا نادر كدود في الأظهر أو فوقها وهو منسد أو تحتها وهو منفتح فلا في الأظهر الثاني: زوال العقل إلا نوم ممكن مقعده الثالث: التقاء بشرتي الرجل والمرأة إلا محرما في الأظهر والملموس كلامس في الأظهر ولا تنقض صغيرة وشعر وسن وظفر في الأصح الرابع: مس قبل الآدمي ببطن الكف وكذا في الجديد حلقة دبره

[2] Al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al–Ilmiyyah, 1994). 1:402

(وَ) خَامِسُهَا (طَهَارَةُ النَّجَسِ) الَّذِي لَا يُعْفَى عَنْهُ (فِي الثَّوْبِ وَالْبَدَنِ) أَيْ: ثَوْبِهِ وَبَدَنِهِ حَتَّى دَاخِلَ أَنْفِهِ أَوْ فَمِهِ أَوْ عَيْنِهِ أَوْ أُذُنِهِ (وَالْمَكَانِ) أَيْ: مَكَانِهِ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ، فَلَا تَصِحُّ صَلَاتُهُ مَعَ شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ