Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2016: ADAKAH GELANDANGAN LAYAK MENERIMA ZAKAT?

ADAKAH_GELANDANGAN_LAYAK_MENERIMA_ZAKAT.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada soalan. Adakah orang gelandangan layak dan berhak menerima zakat? Mohon jawapan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Golongan gelandangan layak menerima zakat sekiranya mereka tergolong dalam lapan kategori asnaf yang berhak sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Sekiranya tidak, mereka tidak berhak untuk menerima harta zakat.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Taubah: 60)

Daripada ayat di atas, Allah SWT telah menggariskan lapan asnaf yang berhak menerima zakat iaitu golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnussabil. Imam al-Syirbini menukilkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa lafaz ‘إِنَّمَا’ dalam ayat ini menunjukkan bahawa zakat hanya diberikan kepada lapan golongan ini sahaja dan tidak kepada golongan selain mereka[1].

Berkenaan golongan gelandangan, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gelandangan bermaksud orang yang pekerjaan atau tempat tinggalnya tidak tetap[2]. National Survey of Homeless Assistance Providers and Clients (NSHAPC) mentakrifkan gelandangan sebagai golongan individu yang tinggal di sesuatu tempat perlindungan kecemasan atau program perumahan peralihan. Gelandangan didefinisikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sebagai orang papa. Definisi orang papa ialah seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang-orang yang lazim mengunjungi tempat itu ataupun hingga mengadakan kacau ganggu atau seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam sama ada atau tidak ia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan[3].

Meskipun begitu, tidak semua golongan gelandangan tergolong dalam kategori asnaf yang lapan, malahan tidak semua juga merupakan orang yang susah dan wajib dibantu. Terdapat beberapa kajian yang mendedahkan bahawa ada dalam kalangan gelandangan sebenarnya mempunyai kemampuan kewangan tetapi memilih untuk menjadi gelandangan atas beberapa faktor yang bersifat peribadi dan sulit untuk didedahkan[4]. Oleh yang demikian, berdasarkan tafsiran gelandangan di atas, mereka bukanlah termasuk dalam kategori asnaf zakat. Mereka ini hanya boleh diberikan zakat jika termasuk dalam mana-mana kategori asnaf yang ditetapkan. Justeru itu, hukum ini berbeza bergantung kepada keadaan gelandangan itu sendiri.

Sebagai contoh, gelandangan yang menepati ciri-ciri fakir miskin akan dibantu sebagai asnaf fakir miskin. Jika dia tidak berkemampuan untuk membeli ubatan atau mendapatkan rawatan di hospital sehingga terpaksa berhutang, maka mereka boleh dibantu sebagai asnaf gharimin. Jika mereka ingin kembali ke negeri asal dan memerlukan perbelanjaan, maka mereka boleh dibantu sebagai asnaf ibnu sabil. Dan begitulah seterusnya bergantung kepada jenis asnaf yang mereka layak untuk menerima zakat.

Sehubungan dengan itu, zakat tidak boleh diberikan kepada seseorang melainkan telah diketahui bahawa dia berhak menerimanya atas dasar tergolong dalam salah satu kategori asnaf. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka zakat tersebut adalah tidak sah. Bahkan jika seseorang yang tidak tergolong dalam asnaf menerima sumbangan zakat dalam keadaan dia mengetahuinya, maka dia telah melakukan satu kezaliman kerana mengambil hak orang fakir dan miskin. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Kesimpulan

Golongan gelandangan layak menerima zakat sekiranya mereka tergolong dalam lapan kategori asnaf yang berhak sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran.

Sekiranya tidak, mereka tidak berhak untuk menerima harta zakat bahkan dia dikira melakukan kezaliman kerana mengambil hak orang lain.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (T.tp: Dar al-Kutub al- ‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 4/173.

فَعُلِمَ مِنْ الْحَصْرِ ب " إنَّمَا " أَنَّهَا لَا تُصْرَفُ لِغَيْرِهِمْ، وَهُوَ مُجْمَعٌ عَلَيْهِ

[2] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=gelandangan&d=41812&#LIHATSINI, laman web diakses pada 5/8/2024.

[3] Farrah Wahida Mustafar, Faudziah Yusof, Mohd Taib Dora, Fazurah Mustaffa, Mohammad Yasin Omar Mokhtar, Mohd Haiqal Mohd Hanafi, Izzat Hafizuddin Osman, Amirul Naim Azmi, Profil Gelandangan: Satu Kajian Literatur, 2017, hlm. 1-10. Lihat: https://www.researchgate.net/publication/329772284_PROFIL_GELANDANGAN_SATU_KAJIAN_LITERATUR, laman web diakses pada 5/8/2024.

[4] Farrah Wahida Mustafar, Faudziah Yusof, Mohd Taib Dora, Fazurah Mustaffa, Mohammad Yasin Omar Mokhtar, Amirul Naim Azmi, Mohd Haiqal Mohd Hanafi, Izzat Hafizuddin Osman, Trend dan Implikasi Peningkatan Gelandangan, t.t, hlm. 1-7. Lihat: https://www.researchgate.net/profile/Fazurah-Mustaffa/publication/329771942_'TREND'_DAN_IMPLIKASI_PENINGKATAN_GELANDANGAN/links/5c19b415458515a4c7e8c748/TREND-DAN-IMPLIKASI-PENINGKATAN-GELANDANGAN.pdf, laman web diakses pada 5/8/2024.