Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2018: APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MENGHILANGKAN RASA NAJIS?

APAKAH_YANG_DIMAKSUDKAN_DENGAN_MENGHILANGKAN_RASA_NAJIS.jpg

 

Soalan:

Salam. Saya ada terdengar dalam kuliah di Masjid, yang menyebutkan bahawa kita kena bersuci dengan menghilangkan rasa, warna dan bau najis. Bau dan warna najis ni saya faham. Cumanya, saya tertanya-tanya, macam mana kita nak pastikan rasa najis itu hilang? Adakah perlu untuk menjilat kawasan yang terkena najis itu? Adakah maksud merasa tu rasa dengan sangkaan, atau guna lidah? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan:

Bagi memastikan sesuatu yang terkena najis itu bersih, maka mestilah dipastikan najis tersebut telah hilang bau, warna dan rasanya. Namun begitu, hukum merasa kawasan yang asalnya terkena najis itu hanyalah diharuskan sekiranya seseorang itu sudah pasti bahawa najis telah pun dihilangkan. Sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa najis masih lagi berbaki, maka dia diharamkan untuk merasa kawasan yang terkena najis tersebut.

Selain itu, pada kebiasaannya jika bau dan warna najis telah hilang, maka ini telah menjadi satu sandaran kuat yang menunjukkan bahawa najis tersebut telah hilang. Hal ini demikian kerana rasa najis lebih mudah hilang berbanding bau dan rasanya.

Huraian Jawapan:

Najis adalah merupakan kekotoran yang menyebabkan tidak sah solat yang dilaksanakan dengan pakaian yang terkena kekotoran tersebut. Sesuatu najis juga adalah haram untuk dimakan melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti darurat dan seumpamanya.[1]

Apabila sesuatu benda terkena najis, dan najis itu masih lagi kelihatan berada pada benda tersebut, maka najis tersebut mestilah dihilangkan. Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini seperti berikut:[2]

وَأَمَّا الْعَيْنِيَّةُ: فَلَا بُدَّ مِنْ مُحَاوَلَةِ إِزَالَةِ مَا وُجِدَ مِنْهَا مِنْ ‌طَعْمٍ، وَلَوْنٍ، وَرِيحٍ، فَإِنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَبَقِيَ ‌طَعْمٌ، لَمْ يَطْهُرْ،

Terjemahan: “Ada pun najis yang ada fizikalnya: maka perlulah diusahakan untuk menghilangkan apa yang ada daripada rasa, warna dan bau. Sekiranya dia telah berusaha menghilangkannya namun masih berbaki rasanya, maka dikira tidak suci”.

Berdasarkan kepada keterangan di atas, maka jelas dapat difahami bahawa bagi memastikan najis yang terkena pada sesuatu itu benar-benar dihilangkan, maka kita mestilah memastikan bahawa tiada kesan-kesan najis tersebut berbaki, iaitu dengan memastikan tiada lagi warna, bau, dan juga rasa najis tersebut.

Rasa najis adalah merupakan elemen yang paling minimum perlu dihilangkan bagi memastikan sesuatu yang terkena najis itu kembali menjadi suci. Hal ini demikian kerana elemen rasa najis pada sesuatu benda itu adalah merupakan perkara yang biasanya mudah untuk dihilangkan, berbanding bau dan warna yang ada kalanya sukar untuk dihilangkan sehingga boleh dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan. Imam al-Ramli menjelaskan mengenai hukum ini seperti berikut:[3]

(وَجَبَ) بَعْدَ زَوَالِهَا (إزَالَةُ الطَّعْمِ) وَإِنْ عَسُرَ زَوَالُهُ لِسُهُولَتِهِ غَالِبًا فَأُلْحِقَ بِهِ نَادِرُهَا لَا سِيَّمَا وَبَقَاؤُهُ يَدُلُّ عَلَى بَقَائِهَا.

Terjemahan: “(Wajib) selepas menghilangkan najis (untuk menghilangkan rasa najis) walaupun sukar, kerana biasanya ia mudah untuk dihilangkan, maka apa yang jarang berlaku dihukumkan mengikut apa yang biasa berlaku. Lebih-lebih lagi, wujudnya rasa najis itu menunjukkan bahawa najis itu masih ada”.

Keterangan di atas ini tidaklah bermaksud seseorang itu diwajibkan untuk merasakan sesuatu yang terkena najis dengan lidahnya bagi memastikan najis tersebut hilang. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh al-Sharawāni:[4]

وَلَهُ مَعْرِفَةُ ذَلِكَ بِذَوْقِ أَحَدِ الْإِنَاءَيْنِ لَا يُقَالُ يَلْزَمُ مِنْهُ ‌ذَوْقُ ‌النَّجَاسَةِ

Terjemahan: “Dia bolehlah mengetahui yang demikian itu dengan merasa salah satu bekas tersebut. Ini tidak pula bermaksud mesti untuk merasa najis”.

Hukum keharusan untuk merasakan sesuatu dengan lidah ini hanya terpakai apabila seseorang itu sudah pasti bahawa najis telah hilang daripada sesuatu benda yang dibersihkan tersebut. Jika seseorang itu masih belum meyakini bahawa sesuatu benda itu telah bersih daripada najis, maka dia diharamkan untuk merasakan dengan lidahnya. Perkara ini turut dijelaskan oleh al-Khaṭīb al-Shirbīni dalam masalah merasa kedua-dua bekas, yang salah satunya terkena najis:[5]

وَلَا يُقَالُ: يَلْزَمُ مِنْهُ ‌ذَوْقُ ‌النَّجَاسَةِ؛ لِأَنَّ الْمَمْنُوعَ ‌ذَوْقُ ‌النَّجَاسَةِ الْمُتَيَقَّنَةِ نَعَمْ يَمْتَنِعُ عَلَيْهِ ذَوْقُ الْإِنَاءَيْنِ؛ لِأَنَّ النَّجَاسَةَ تَصِيرُ مُتَيَقَّنَةً

Terjemahan: “Ini tidak bermaksud mesti untuk merasa najis. Kerana apa yang dilarang ialah merasa najis yang diyakini ada. Oleh itu, diharamkan untuk merasa kedua-dua bekas (yang salah satunya terkena najis), kerana dalam keadaan ini sudah pasti akan merasa najis tersebut”.

Selain itu, gambaran kepada permasalahan merasa najis ini juga boleh berlaku dalam situasi seseorang yang terluka pada gusinya, maka selepas dia berkumur dan membersihkan mulutnya, dia bolehlah merasakan dengan lidahnya pada kawasan gusinya untuk memastikan sama ada telah benar-benar bersih ataupun tidak.[6]

Gambaran lain bagi permasalahan ini juga boleh berlaku dalam situasi seseorang yang hendak memastikan bahawa mulutnya bersih daripada sisa-sisa muntah yang merupakan najis. Begitu juga permasalahan ini boleh berlaku dalam situasi seseorang yang terminum arak, lalu setelah dia meludahkan semula arak yang diminum dan dibasuh mulutnya sehingga dia pasti tiada lagi arak yang berbaki, maka bolehlah dia merasakan dengan lidahnya untuk menambahkan keyakinan bahawa mulutnya benar-benar bersih daripada sisa arak.[7]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Seseorang itu tidak diwajibkan untuk merasa menggunakan lidah untuk memastikan sesuatu yang terkena najis itu telah dibersihkan dengan betul. Sebaliknya, cukup dengan sangkaan yang kuat (ghalabah al-ẓann) bahawa najis tersebut telah hilang.
  1. Jika seseorang itu mengetahui bahawa masih lagi berbaki najis pada sesuatu perkara, maka dia diharamkan untuk merasanya menggunakan lidah.
  1. Hukum harus merasakan sesuatu dengan menggunakan lidah hanyalah terpakai apabila seseorang itu sudah pasti bahawa najis yang berada pada sesuatu tersebut telah dihilangkan.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan: 

[1] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:225.

[2] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (1995), Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn, Beirut: al-Maktab al-Islāmiy, 1:28.

[3] Shams al-Din al-Ramliy (1984), Nihayah al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj. Beirut: Dar al-Fikr, 1:258.

[4] ‘Abd al-Ḥamīd al-Sharwānī (1983), Ḥāshiyah al-Sharwānī ‘alā Tuḥfah al-Muḥtāj, Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1:105.

[5] Shams al-Din Muhammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:131.

[6] Shams al-Din al-Ramliy (1984), Nihayah al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj. Beirut: Dar al-Fikr, 1:258.

وَيَظْهَرُ تَصْوِيرُهُ فِيمَا إذَا دَمِيَتْ لِثَتُهُ أَوْ تَنَجَّسَ فَمُهُ بِنَجَاسَةٍ أُخْرَى

[7] Sulaymān ‘Umar Manṣūr al-Azhari (1431H), Ḥāshiyah al-Jamal ‘alā Sharḥ al-Manhaj: Futūḥāt al-Wahhāb bi Tawḍīḥ Sharḥ Manhaj al-Ṭullāb, Beirut: Dār al-Fikr, 1:192.

وَيُصَوِّرُ وُجْدَانَ الطَّعْمِ بِدَمْيِ الْفَمِ أَوْ تَلَطُّخِهِ بِالْخَمْرِ أَوْ الْقَيْءِ لَا بِذَوْقِ الْمَحِلِّ