Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2031: TAUBAT BUKAN PENGHALANG DARIPADA MENGUMPULKAN HABUAN DUNIA

TAUBAT_BUKAN_PENGHALANG_DARIPADA_MENGUMPULKAN_HABUAN_DUNIA.jpg

SOALAN

Seorang artis menyatakan bahawa keputusan taubatnya dipengaruhi oleh keinsafan terhadap amaran dalam Surah al-Humazah mengenai azab neraka Al-Hutamah yang ditujukan kepada golongan yang sentiasa mengagungkan harta. Tindakan artis tersebut menerima pelbagai reaksi di media sosial, ada yang menyokongnya sebagai langkah mendekatkan diri kepada ajaran Islam, manakala sebahagian lagi menganggapnya keterlaluan atau tidak sesuai dengan konteks masa kini. Adakah benar tindakan taubat artis tersebut dengan meninggalkan harta yang dianggap sebagai habuan dunia?

RINGKASAN JAWAPAN

Teguran Surah al-Humazah bukan mengharamkan pengumpulan harta, tetapi menentang sikap tamak dan angkuh terhadapnya. Taubat bukan bermakna meninggalkan usaha mencari rezeki, sebaliknya memperbetulkan niat supaya kekayaan dicari secara halal dan tidak melalaikan dari akhirat. Islam mengiktiraf keperluan harta dalam maqasid syariah sebagai asas kelangsungan agama dan dunia. Oleh itu, tindakan artis yang meninggalkan harta sebagai habuan dunia perlu difahami dalam konteks menyeimbangkan kerohanian dan tanggungjawab duniawi, bukan sebagai penolakan mutlak terhadap kehidupan material. Taubat dan pencarian dunia boleh berjalan serentak dengan niat yang betul.

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Taubat merupakan suatu amalan yang fundamental dalam Islam untuk membersihkan jiwa daripada dosa dan kesalahan. Namun, wujud kekeliruan dalam kalangan umat apabila taubat dilihat sebagai penghalang mutlak kepada usaha mencari dan mengumpulkan harta duniawi. Persepsi sebegini menimbulkan ketidakseimbangan antara tuntutan kerohanian dan tanggungjawab material. Oleh itu, penting untuk meneliti secara terperinci maksud sebenar pengumpulan harta serta memahami taubat dalam konteks maqasid ibadah dan pembangunan duniawi. Pendekatan ini akan memberi kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap hubungan taubat dengan aktiviti mencari rezeki dan pengurusan harta dalam kehidupan seorang Muslim.

Meluruskan salah faham dalam tafsiran mengumpulkan harta

Sesetengah pihak menyangka Surah al-Humazah mencela pengumpulan harta secara mutlak, namun pemahaman ini perlu diluruskan. Allah SWT menegur golongan yang melampau dalam menghimpun dan menghitung kekayaan serta menyangka harta menjamin kehidupan kekal di dunia. Ayat ini bukan mengecam pemilikan harta secara umum, tetapi mengkritik sikap tamak, bongkak dan kealpaan terhadap akhirat yang berpunca daripada salah faham nilai sebenar harta. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِي جَمَعَ مَالٗا وَعَدَّدَهُۥ يَحۡسَبُ أَنَّ مَالَهُۥٓ أَخۡلَدَهُۥ

Maksudnya: Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!

Suarah al-Humazah (2-3)

Ayat ini menjelaskan bahawa teguran Allah SWT dalam Surah al-Humazah bukanlah kerana seseorang itu mengumpul harta, tetapi kerana sikap tamak terhadap harta tersebut. Teguran utama adalah ke atas orang yang terlalu mengira-ngira hartanya, menyimpannya dengan tamak dan menyangka bahawa hartanya mampu menjamin kehidupan kekal di dunia.[1]

Hakikatnya, pemeliharaan harta merupakan salah satu keperluan asas dalam maqasid syariah yang tergolong dalam kategori al-daruriyyat. Tanpa harta, urusan agama dan kehidupan dunia tidak dapat berjalan dengan sempurna. Bahkan akan membawa kepada kerosakan, kekacauan dan kemusnahan sistem kehidupan. Kehilangannya turut menjejaskan peluang manusia mencapai kebahagiaan di akhirat dan menyebabkan kerugian yang besar.[2]

Memahami taubat dalam rangka maqasid Ibadah dan pembangunan duniawi

Dalam konteks taubat, seseorang yang bertaubat bukan bermakna dia dilarang sama sekali untuk mencari rezeki duniawi. Taubat sebenarnya memandu agar pencarian dunia itu dilakukan dengan cara yang halal beretika dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab agama. Taubat membetulkan niat dan sikap supaya mencari habuan dunia tidak menjadi punca ujub, riak atau lupa akhirat.

Maqasid syariat yang mengiktiraf peranan manusia sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi di samping menjalani ibadah kepada Allah SWT. Ia menolak anggapan bahawa taubat atau komitmen agama menafikan hak atau usaha untuk mencari harta, bahkan Islam mensyariatkan keseimbangan antara tuntutan akhirat dan keperluan dunia.

Sebahagian orang beranggapan bahawa ibadah hanya terbatas kepada amalan ritual dan perlu mengasingkan diri daripada urusan dunia. Namun, Islam mengajar bahawa ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk bekerja, berniaga dan membangunkan masyarakat. Aktiviti ekonomi diiktiraf sebagai sebahagian daripada kehidupan beragama selagi tidak melalaikan kewajipan utama kepada Allah SWT. Maka, ibadah yang sebenar ialah menggabungkan ketaatan kepada Allah SWT dengan usaha memakmurkan dunia dalam kerangka kehambaan.[3]

Penutup

Kesimpulannya, Islam tidak menolak pemilikan dan pengumpulan harta selagi ia dilaksanakan dalam kerangka ketaatan kepada Allah SWT dan tidak membawa kepada kelalaian terhadap akhirat. Bahkan, harta merupakan salah satu keperluan asas dalam maqasid syariah yang termasuk dalam kategori al-daruriyyat. Ini kerana tanpanya kehidupan manusia akan terganggu dan tujuan agama tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, salah faham terhadap ayat seperti dalam Surah al-Humazah perlu diperbetulkan agar tidak menimbulkan pandangan sempit yang menganggap usaha membina kehidupan dan mengurus keperluan dunia secara profesional dan beretika sebagai bertentangan dengan agama. Sebaliknya, taubat dan ibadah perlu difahami dalam rangka yang luas sebagai asas untuk membentuk keseimbangan antara tuntutan kehidupan dunia dan akhirat, dengan menjadikan dunia sebagai jalan menuju keredaan Allah dan kebahagiaan yang kekal.[4]

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Shanqīṭī, Muḥammad al-Amīn ibn Muḥammad al-Mukhtār ibn ʿAbd al-Qādir, Aḍwā’ al-Bayān fī ʾIḍāḥ al-Qurʾān bi al-Qurʾān, (Bayrūt: Dār al-Fikr li al-Ṭibāʿah wa al-Nashr wa al-Tawzīʿ, 1415 H / 1995 M), 9: 101. Teks asal:

وَلَيْسَ الْعَيْبُ فِي جَمَعَ مَالًا بَلْ فِي عَدَّدَهُ يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ

[2] Al-Syatibi, Ibrahim bin Musa bin Muhammad, al-Muwafaqat, (Dar Ibn ‘Affan, cetakan 1, 1417H – 1997M) 2: 17-18. Teks asal:

فأما الضرورية، فمعناها أنها لا بد منها في قيام مصالح الدين والدنيا، حيث إذا فقدت لم تجر مصالح الدنيا على استقامة، بل على فساد وتهارج وفوت حياة، وفي الأخرى فوت النجاة والنعيم

[3] Al-Sha‘rāwī, Muḥammad Mutawallī, Tafsīr al-Sha‘rāwī: al-Khawāṭir, (Cairo: Maṭābi‘ Akhbār al-Yawm, t.t.,), 4: 2206. Teks asal:

ولذلك فبعض الناس يقول: نعبد الله ولا نعمل. نقول لهم: العبادة هي طاعة عابد لأمر معبود، ولا تفهموا العبارة على أساس أنها الشعائر فقط، فالشعائر هي إعلان استدامة الولاء لله. وتعطي شحنة لنستقبل أحداث الحياة، ولكن الشعائر وحدها ليست كل العبادة، فالمعاملات عبادة، والمفهوم الحقيقي للعبادة أنها تشمل عمارة الأرض، فالحق سبحانه وتعالى قال: {ياأيها الذين آمنوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ مِن يَوْمِ الجمعة فاسعوا إلى ذِكْرِ الله وَذَرُواْ البيع} [الجمعة: ٩] .

[4] Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Tusi, Ihya’ Ulum al-Din, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, t.t.), 1: 17. Teks asal:

فإن الدنيا مزرعة الآخرة ولا يتم الدين إلا بالدنيا