Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2036: ADAKAH PENILAI HARTANAH TERLIBAT DENGAN DOSA RIBA JIKA PEMBELI MENGAMBIL PINJAMAN KONVENSIONAL

ADAKAH_PENILAI_HARTANAH_TERLIBAT_DENGAN_DOSA_RIBA_JIKA_PEMBELI_MENGAMBIL_PINJAMAN_KONVENSIONAL.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya merupakan seorang penilai hartanah, tugas seorang penilai hartanah ialah menentukan harga bagi sesebuah hartanah sama ada dalam bentuk rumah, kilang, mahupun shopping complex. Selain itu tugas penilai hartanah juga adalah menyediakan laporan penilaian bagi pihak bank atau pemohon pinjaman bank. Adakah saya termasuk dalam 4 golongan yang terlibat dalam dosa riba. Selain itu, adakah ejen hartanah juga termasuk dalam golongan tersebut kerana ia terlibat secara langsung dalam menguruskan pinjaman bank.

Ringkasan Jawapan

i. Seorang penilai hartanah tidak terlibat dengan dosa riba jika pembeli mengambil pinjaman konvensional untuk membeli hartanah tersebut.

ii. Hal ini kerana tugasan penilai hartanah tidak melibatkan urusan-urusan berkenaan pinjaman riba tersebut. Oleh itu, ia tidak dianggap membantu kepada perkara riba secara langsung, maka tidak salah untuk menguruskannya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Riba merupakan perkara yang haram dan salah satu dosa besar dalam Islam. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُواْ ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضۡعَٰفٗا مُّضَٰعَفَةٗۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memakan dan mengambil riba dengan berlipat kali ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya.”

Surah Ali Imran (130)

Dalam sebuah hadis pula Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”. 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Jabir RA meriwayatkan:

‌لَعَنَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‌أَكَلَ ‌الربا، ‌ومُوكِلَه، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاءٌ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan penulisnya. Baginda SAW berkata: Mereka semua sama.”

(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi menerangkan bahawa hadis ini mengandungi pengharaman yang jelas perbuatan menulis perjanjian antara dua orang yang melakukan akad riba serta pengharaman menjadi saksi kepada akad tersebut. Hadis ini juga menjelaskan bahawa haram untuk membantu dalam perkara yang batil.[1]

Penilaian hartanah ialah proses menentukan nilai pasaran semasa sesebuah hartanah. Di Malaysia, tugas ini dilakukan oleh penilai hartanah berdaftar yang dilantik oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta (LPPEH). Laporan penilaian yang dikeluarkan boleh digunakan sebagai bukti dalam urusan jual beli atau perundangan.

Penilai hartanah membantu pembeli, penjual, atau institusi kewangan membuat keputusan yang tepat berdasarkan nilai sebenar hartanah. Mereka menyediakan nasihat profesional dan memberi laporan penilaian hartanah kepada individu dan perniagaan yang ingin membeli atau menjual hartanah. Hal ini adalah untuk membantu pembeli dan penjual menentukan nilai pasaran semasa hartanah tersebut. Profesional seperti itu juga digunakan oleh bank untuk menentukan  jumlah yang sesuai untuk pinjaman atau pembiayaan semula perumahan. [2]

Berdasarkan penerangan di atas, tugas seorang penilai hartanah tidak melibatkan urusan-urusan pinjaman riba. Bayaran yang diperoleh oleh penilai hartanah pula bukan datang daripada komisen jual beli hartanah yang mungkin menggunakan akad riba, sebaliknya mereka memperoleh yuran hasil penilaian mereka yang mana harga yuran itu bergantung kepada harga hartanah yang dinilai tersebut.[3] Oleh itu, pekerjaan sebagai penilai hartanah tidak termasuk bantu-membantu dalam perkara riba secara langsung, maka ia tidak salah untuk menguruskannya.

Kesimpulan

i. Seorang penilai hartanah tidak terlibat dengan dosa riba jika pembeli mengambil pinjaman konvensional untuk membeli hartanah tersebut.

ii. Hal ini kerana tugasan penilai hartanah tidak melibatkan urusan-urusan berkenaan pinjaman riba tersebut. Oleh itu, ia tidak dianggap membantu kepada perkara riba secara langsung, maka tidak salah untuk menguruskannya

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392H), jld. 11 hlmn. 26.

(آكل الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ) هذا تصريح بتحريم كتابة المبايعة بين المترابيين والشهادة عليهما وَفِيهِ تَحْرِيمُ الْإِعَانَةِ عَلَى الْبَاطِلِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

[2] Rujuk: https://www.iproperty.com.my/bm/panduan-hartanah/penilaian-hartanah-malaysia-apa-pembeli-penjual-rumah-perlu-tahu-77407

[3] Ibid