Soalan
Assalamualaikum ustaz, adakah boleh untuk seseorang itu menggunakan kad kredit konvensional tetapi membayar secara penuh baki penyata setiap bulan supaya tidak dikenakan faedah yang merupakan riba?
Ringkasan Jawapan
Hukum menggunakan kad kredit konvensional adalah haram walaupun sentiasa bayar keseluruhan baki penyata setiap bulan sebelum tarikh akhir pembayaran supaya tidak dikenakan faedah. Hal ini kerana dengan mengambil kad kredit konvensional, pelanggan telah bersetuju untuk melakukan kontrak yang mengandungi syarat riba yang diharamkan. Pendapat yang harus menggunakannya tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana mempunyai banyak perbankan Islam yang menyediakan produk kad kredit seperti Bank Islam, Maybank Islamic, Cimb Islamic, RHB Islamic dan sebagainya.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Kad kredit merujuk instrumen pembayaran yang ditetapkan yang menunjukkan kemudahan kredit atau pembiayaan yang diberikan oleh pengeluar kad kepada pemegang kad dan apabila apa-apa jumlah kredit yang digunakan oleh pemegang kad masih belum diselesaikan sepenuhnya pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan, jumlah yang belum diselesaikan akan dikenakan faedah, keuntungan atau caj lain.[1]
Penggunaan kad kredit biasanya melibatkan kontrak antara syarikat yang mengeluarkan kad kredit dan pemegang kad di mana pemegang kad boleh menggunakan kad tersebut untuk membeli barang dan berjanji untuk membayar kepada pengeluar kad kredit harga yang dikenakan oleh pembekal barang. Pemegang kad biasanya menerima penyata bulanan daripada pengeluar kad kredit yang boleh dibayar sepenuhnya dalam tempoh tertentu tanpa dikenakan faedah. Sebagai alternatif, pemegang kad boleh membuat pembayaran minimum yang ditetapkan dan membayar kadar faedah yang tinggi ke atas baki yang tertunggak.[2]
Isu yang terdapat pada kad kredit konvensional ialah faedah yang dikenakan atas hutang yang tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Faedah yang disyaratkan ini termasuk dalam riba nasi’ah dalam hutang yang diharamkan oleh syarak. Riba nasi’ah dalam hutang atau nama lainnya riba jahiliyah bermaksud pinjaman yang ditangguhkan dengan disyaratkan penambahan jumlah hutang, di mana penambahan tersebut adalah sebagai ganti kepada penangguhan. Ia merupakan urus niaga yang diharamkan oleh Allah SWT.[3]
Timbul pula persoalan tentang pemberian hutang dengan disyaratkan riba adakah kontrak tersebut terbatal sepenuhnya atau tidak. Dalam hal ini, Syeikh Shams al-Din al-Ramli berkata:
وَلَا يَجُوزُ قَرْضُ نَقْدٍ أَوْ غَيْرِهِ إنْ اقْتَرَنَ بِشَرْطِ رَدِّ صَحِيحٍ عَنْ مُكَسَّرٍ أَوْ رَدِّ زِيَادَةٍ عَلَى الْقَدْرِ الْمُقْرَضِ أَوْ رُدَّ جَيِّدٌ عَنْ رَدِيءٍ أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ مِنْ كُلِّ شَرْطٍ جَرَّ مَنْفَعَةً لِلْمُقْرِضِ كَرَدِّهِ بِبَلَدٍ آخَرَ أَوْ رَهْنِهِ بِدَيْنٍ آخَرَ، فَإِنْ فَعَلَ فَسَدَ الْعَقْدُ
Maksudnya: "Tidak diharuskan meminjamkan wang atau selainnya jika disertai dengan syarat seperti memulangkan yang baik (belum dipecahkan) daripada yang dipecahkan[4] atau mengembalikan tambahan ke atas jumlah yang dipinjamkan atau mengembalikan yang baik daripada yang buruk atau apa-apa syarat yang membawa manfaat kepada pemberi pinjaman seperti mengembalikannya di tempat lain atau menggadaikannya dengan hutang lain. Jika dilakukan, maka kontrak tersebut adalah batal."[5]
Berdasarkan teks di atas, hukum melanggan kad kredit konvensional adalah haram walaupun pelanggan itu berazam untuk mengelak daripada dikenakan faedah dengan membayar penuh hutang kad kredit pada setiap bulan. Pendapat ini juga dipegang Dr Muhammad Ali Elgari[6], seorang pakar kewangan Islam kontemporari dan juga merupakan pendapat yang diputuskan oleh fatwa Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali).[7]
Namun, terdapat juga pendapat yang mengharuskan untuk melanggan kad kredit konvensional dengan membayar keseluruhan hutang sebelum tarikh akhir iaitu pendapat Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah, pakar kewangan Islam kontemporari. Keharusan ini berasaskan pendapat yang mengatakan bahawa kontrak yang mengandungi syarat yang batil iaitu syarat riba adalah sah tetapi syarat riba tersebut terbatal. [8] Walau bagaimanapun, secara realitinya syarat riba tersebut tetap berjalan di sisi undang-undang dan pelanggan tetap akan dikenakan faedah terhadap hutang yang tertunggak.
Oleh itu, hukum menggunakan kad kredit konvensional adalah haram walaupun pelanggan itu berazam untuk mengelak daripada dikenakan faedah dengan membayar penuh baki penyata kad kredit pada setiap bulan. Hal ini kerana dengan mengambil kad kredit konvensional, pelanggan telah bersetuju untuk melakukan kontrak yang mengandungi syarat riba yang diharamkan. Ia juga terlarang kerana kontrak yang berlainan dengan kad kredit yang ditawarkan oleh perbankan Islam. Pendapat yang harus menggunakannya tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana mempunyai banyak perbankan Islam yang menyediakan produk kad kredit seperti Bank Islam, Maybank Islamic, Cimb Islamic, RHB Islamic dan sebagainya.
Kesimpulan
Hukum menggunakan kad kredit konvensional adalah haram walaupun sentiasa bayar keseluruhan baki penyata setiap bulan sebelum tarikh akhir pembayaran supaya tidak dikenakan faedah. Hal ini kerana dengan mengambil kad kredit konvensional, pelanggan telah bersetuju untuk melakukan kontrak yang mengandungi syarat riba yang diharamkan. Pendapat yang harus menggunakannya tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana mempunyai banyak perbankan Islam yang menyediakan produk kad kredit seperti Bank Islam, Maybank Islamic, Cimb Islamic, RHB Islamic dan sebagainya.
WaAllahua’lam
Rujukan:
[1] Rujuk: https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/Kad+Kredit.pdf , diakses pada: 9/9/2024
[2] Rujuk: https://www.oxfordreference.com/display/10.1093/oi/authority.20110803095646853#:~:text=A%20plastic%20card%2C%20issued%20by,obtain%20credit%20when%20making%20purchases. Diakses pada: 13/9/2024
[3] Wizarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiyyah, Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, t.t), jld. 2 hlmn. 39.
وهي تأجيل الدين الحال في مقابل زيادة:
85 - وهذه الصورة تدخل في باب الربا (5) " إذ الربا المحرم شرعا شيئان: ربا النساء، وربا التفاضل. وغالب ما كانت العرب تفعله، من قولها للغريم: أتقضي أم تربي؟ فكان الغريم يزيد في المال، ويصبر الطالب عليه، وهذا كله محرم باتفاق، قال الجصاص: معلوم أن ربا الجاهلية إنما كان قرضا مؤجلا بزيادة مشروطة، فكانت الزيادة بدلا من الأجل، فأبطله الله تعالى وحرمه
[4] Maksud مكسر pada teks ini merujuk duit syiling dinar emas yang dipecahkan kepada pecahan kecil supaya harga emas itu dikecilkan dan boleh membeli barang yang murah. Nilai emas yang dipecahkan (مكسر) adalah berbeza dengan yang belum dipecahkan (صحيح) kerana kerosakan yang berlaku. Oleh itu, memberi pinjam emas yang sudah dipecahkan dengan syarat mesti dikembalikan emas yang belum dipecahkan adalah riba yang diharamkan.
[5] Shams al-Din Muhammad bin Abi al-Abbas al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Ma’rifat al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), jld. 4 hlmn 230.
[6] Muhammad Ali Elgari (1421H), Bitaqat al-I`timan Ghair al-Mughattah, Majallat Majma’ al-Fiqh al-Islami, bil. 12, hlmn. 1369-1398.
وقد اتجه بعض الأفاضل إلى القول بجواز التعامل بهذه البطاقة مع وجود الشرط إذا قرر الحامل عدم العمل بالفوائد لأن مثل هذا الشرط من الشروط التي تسقط ويبقى العقد صحيحا، فإذا قرر حامل البطاقة ألا يقع تحت طائلة دفع الفوائد وذلك بتسديد ما عليه في الأجل المتاح دون زيادة يمكننا اعتبار ذلك إسقاطا للشرط قياسا على مسألة بريرة المشهورة. والذي نراه أن مثل هذا لا يصلح من الناحية الشرعية ولا يفيد من الناحية العملية
[7] Rujuk: https://iifa-aifi.org/ar/2055.html. Diakses pada: 13/9/2024.
[8] Abdul Sattar Abu Ghuddah (1421H), Bitaqat al-I`timan: Tasawwuruha wa al-Hukm al-Syar’I ‘alaiha, Majallat Majma’ al-Fiqh al-Islami, bil. 12, hlmn. 1312-1340.
أن حامل البطاقة إذا اتخذ من الاحتياطات ما يكفل عدم تطبيق هذا الشرط المحرم عليه، فلا بأس من الاستفادة من البطاقة وتوقيعه على اتفاقيتها بالرغم من هذا الشرط، لأنه في معرض الإلغاء شرعا، وهو مستنكر ومعمول على استبعاد مفعوله.