Pada asasnya, Islam menegaskan prinsip larangan membunuh haiwan tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Setiap makhluk hidup diciptakan oleh Allah SWT mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam ekosistem dan manusia sebagai khalifah tidak boleh sesuka hati untuk membunuh mana-mana haiwan tanpa sebab yang kukuh. Rasulullah SAW telah memberi amaran terhadap perbuatan membunuh haiwan secara sia-sia. Baginda SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَا رَبِّ إِنَّ فُلَانًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seekor burung kecil tanpa sebab, maka ia akan datang mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dengan sia-sia, bukan kerana sebarang manfaat.”
(Riwayat al-Nasa’ie)
Hadis ini menegaskan bahawa nyawa haiwan juga berada dalam perlindungan syarak dan pembunuhan yang dilakukan tanpa maslahat adalah dosa yang akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah SWT. Di sisi mazhab Syafi’i hukum membunuh binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram walaupun untuk tujuan meringankan penderitaan bintang tersebut. Dalam hal ini Syeikh al-Syabramallisi menjelaskan:
يحرم ذبح الحيوان غير المأكول، ولو لإراحته كالحمار الزمن مثلا
Maksudnya: “Haram menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya, walaupun dengan tujuan untuk meringankan penderitaannya, seperti keldai yang tua atau uzur[1].”
Namun demikian, Islam memberikan kelonggaran sekiranya haiwan tersebut benar-benar membawa mudarat seperti merosakkan tanaman, harta benda atau mendatangkan bahaya kepada manusia. Dalam keadaan ini, pembunuhan dibenarkan dengan syarat ia dilakukan atas dasar darurat atau keperluan.
Di dalam nas, ia disebut dengan istilah haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Ini sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”
(Riwayat al-Bukhari)
Menurut Syeikh Ibn Daqiq al-‘Id, Islam membenarkan membunuh haiwan yang berbahaya dan merosakkan, bukan terhad kepada lima jenis yang disebut dalam hadis, tetapi meliputi semua yang mendatangkan mudarat[2]. Pengecualian ini selaras dengan prinsip syariat yang menolak kemudaratan, sebagaimana kaedah fiqh yang masyhur menyebut:
الضَّرَرُ يُزَالُ
Maksudnya: “Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”
Namun, dalam melaksanakan tindakan terhadap haiwan-haiwan yang dianggap memudaratkan, hendaklah ia dilakukan dengan penuh hikmah serta berlandaskan panduan syarak. Justeru, setiap langkah yang diambil mestilah mematuhi beberapa garis panduan yang telah ditetapkan, agar tidak bercanggah dengan prinsip ihsan dan rahmah yang menjadi teras ajaran Islam:
- Tidak dibenarkan membunuh anjing liar atau haiwan lain kecuali jika terbukti ia benar-benar membahayakan keselamatan masyarakat atau mengancam nyawa dan harta benda.
- Pembunuhan hanya boleh dilakukan apabila ia menjadi satu-satunya cara untuk menolak mudarat, selepas semua alternatif lain tidak lagi berkesan.
- Jika perlu dibunuh, mesti dilakukan dengan cara yang penuh belas ihsan tanpa menyeksa, selaras dengan hadis Nabi SAW: “Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik.”
Selain itu, perlu ditegaskan bahawa membunuh anjing liar atau haiwan yang mengganggu bukanlah cara terbaik untuk mengatasi mudarat yang dibawa olehnya. Sebaliknya, langkah yang lebih wajar ialah mengawal haiwan tersebut dengan mengumpulkannya di kawasan khas atau pusat perlindungan. Sejarah Islam juga menunjukkan umat terdahulu pernah mendirikan wakaf khusus untuk anjing liar, di mana hasil wakaf itu digunakan bagi memberi makan haiwan terbiar agar tidak kelaparan, sehingga ia mati secara semula jadi atau dipelihara oleh orang lain. Pendekatan ini mencerminkan nilai rahmah (kasih sayang) Islam terhadap semua makhluk, serta pada masa yang sama menjaga keseimbangan alam sekitar, kerana pembunuhan berlebihan boleh mengganggu ekosistem[3].
Kesimpulannya, pembunuhan binatang perosak tanaman dibolehkan jika dalam keadaan keperluan yang sangat mendesak dan tiada alternatif lain yang berkesan. Namun tindakan itu mesti dilaksanakan dengan penuh rahmah dan tanpa sebarang penyeksaan. Pendekatan yang lebih baik dan berhemah adalah dengan mengumpulkan haiwan tersebut di pusat perlindungan dan dibiayai melalui dana wakaf seperti yang pernah belaku dalam Islam di samping dapat membantu mengekalkan keseimbangan ekologi.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Syamsuddin al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), 8:117.
[2] Ibn Daqiq al-‘Id, Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam, (Qahirah: Dar al-Kutub al-Salafiyyah, 1987), 2:66.
[3] Shawqi Ibrahim Allam, Hukum Membunuh Haiwan Liar, Dar al-Ifta al-Misriyya, 7 Disember 2015, diakses 24 September 2025, https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/12652/حكم-قتل-الحيوانات-الضالة.