Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2042: ISU DAKWAAN BANI TAMIM DAN KAITANNYA DENGAN PEMERINTAH NEGARA TERTENTU

ISU_DAKWAAN_BANI_TAMIM_DAN_KAITANNYA_DENGAN_PEMERINTAH_NEGARA_TERTENTU.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkaitan klip video yang saya lihat di media sosial berkaitan dakwaan pemerintah tertentu dengan kaitan Bani Tamim dan dikatakan seseorang yang akan membawa kepada kebangkitan umat Islam. Dalam hal seperti ini, bagaimanakah sepatutnya pendirian seorang muslim?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Pendirian seorang muslim dalam perbahasan tanda-tanda hari Kiamat ialah menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting baginya iaitu amal soleh dan ketaatan kepada Allah SWT. Selain itu, seseorang muslim perlu membangunkan ketamadunan dan membina peradaban dengan usaha yang bermanfaat serta tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas.

Waallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perkara-perkara berkaitan al-Mahdi, pemuda Bani Tamim dan seumpamanya merupakan perbahasan berkaitan tanda-tanda hari Kiamat ataupun disebut sebagai ashrāt al-sā‘ah (أشراط الساعة). Dalam hal ini, ia termasuk dalam salah satu Rukun Iman iaitu beriman kepada Hari Kiamat.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak dakwaan yang remeh tanpa sandaran bukti yang kukuh berkaitan perkara ini dalam sejarah umat Islam. Hal ini tidaklah menghairankan kerana ia merupakan pengulangan bagi perkara yang telah berlaku sebelumnya. Bagi meneliti lebih lanjut berkaitan perkara ini, boleh merujuk kepada Bayan Linnas Siri Ke-43 : Imam Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah.

Oleh yang demikian apabila timbul persoalan berkaitan perkara ini, setiap muslim perlu melihat kepada pendirian bagi dirinya sendiri. Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita sikap dan tindakan yang patut dilakukan dalam berinteraksi dengan perkara ini. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa beliau berkata:

أنَّ رَجُلًا سَأَلَ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: مَتَى السَّاعَةُ يا رَسولَ اللَّهِ؟ قالَ: ما أعْدَدْتَ لَهَا قالَ: ما أعْدَدْتُ لَهَا مِن كَثِيرِ صَلَاةٍ ولَا صَوْمٍ ولَا صَدَقَةٍ، ولَكِنِّي أُحِبُّ اللَّهَ ورَسولَهُ، قالَ: أنْتَ مع مَن أحْبَبْتَ.

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Bilakah berlakunya hari Kiamat?’ Rasulullah SAW bersabda, “Apa yang kamu sediakan untuk hari tersebut?’. Lelaki itu berkata: Aku tidak menyediakan solat, puasa dan sedekah yang banyak, namun aku mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda, ‘Kamu akan bersama sesiapa yang kamu cintai’.

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam mensyarahkan hadis ini, al-Tibi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW menggunakan cara yang berhikmah dan bijaksana dalam berinteraksi dengan soalan daripada pemuda tersebut. Baginda SAW membawa persoalan tersebut kepada perkara yang sepatutnya diberikan perhatian oleh orang yang bertanya tersebut iaitu dari sudut persediaannya melalui amalan dan akidah bagi hari kiamat.[1] Hal ini kerana pertanyaan tersebut merupakan termasuk daripada perkara ghaib yang tidak diketahui berkaitannya, sedangkan pula pengetahuan berkaitannya secara spesifik tidak akan memberi apa-apa manfaat kepadanya jika dia tidak membuat persiapan.

Selain daripada itu, dakwaan penentuan secara pasti hadis berkaitan dengan peristiwa akhir zaman ini merupakan sesuatu yang bercanggah dengan perbahasan al-ghaibiyyat di dalam akidah Islam. Oleh yang demikian, berkaitan hal yang ghaib yang tidak dapat diketahui secara pasti, pendirian seorang muslim ialah beriman kepada apa yang dikhabarkan daripada ayat al-Quran dan hadis yang sahih, kemudian menyerahkan kefahaman sebenarnya kepada Allah SWT. Selain daripada itu, seseorang muslim juga perlu untuk menumpukan perhatiannya kepada perkara yang lebih penting dan bermanfaat baginya iaitu amalan soleh.

Tambahan pula, perbahasan ini tidak membawa kepada apa-apa sumbangan kepada Maqasid Umran bagi manusia yang menjadi antara tujuan pensyariatan Islam. Islam mengajar umatnya agar membangunkan ketamadunan dan membina peradaban dengan usaha yang bermanfaat. Dalam masa yang sama Islam menyuruh kita untuk tidak terpedaya dan terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas yang hanya membuang masa. Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ كَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا: قيلَ وَقالَ، وإضَاعَةَ المَالِ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT membenci bagi kalian tiga perkara iaitu banyak dakwaan pendapat, membazirkan harta dan banyak soal.

(Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, dalam perkara seperti ini setiap dakwaan berkaitan perkara yang tidak diketahui secara pasti yang mana tidak membabitkan berkaitan perkara yang menjejaskan keimanan, maka jalan yang selamat adalah menjauhi daripada memperkatakan dan mendengar tentangnya, apatah lagi untuk mempercayai perkara tersebut.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Tibi, Syarafuddin al-Husain bin Abdullah, Sharh al-Mishkat li al-Tibi, (Riyadh: Maktabah Nizar Mustafa al-Baz, 1997), jld. 10, hlmn. 3201.

قوله: ((‌ما ‌أعددت ‌لها)) سلك مع السائل طريق الأسلوب الحكيم؛ لأنه سأل عن وقت الساعة وإبان إرسائها، فقيل له: فيم أنت من ذكراها؟ وإنما يهمك أن تهتم بأهبتها، وتعتني بما ينفعك عند إرسائها من العقائد الحقة والأعمال الصالحة.