Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2045: AKTIVITI KOREK TANAH TANPA PERMIT MENURUT SYARAK

AKTIVITI_KOREK_TANAH_TANPA_PERMIT_MENURUT_SYARAK.jpg

Soalan

Assalamualaikum wrth, SS Tuan Mufti bolehkah seseorang mengorek tanah hutan di kampung yang terbiar tanpa permit atas alasan untuk membangunkan kawasan tanah tersebut? Mohon pencerahan

Ringkasan Jawapan

Setiap individu atau kumpulan yang ingin melakukan aktiviti korek tanah atau seumpamanya mestilah mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Kanun Tanah Negara dan peraturan pihak berkuasa tempatan. Sekiranya semua proses telah diikuti dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, maka aktiviti tersebut harus untuk dilakukan. Hal ini bukan sahaja menggambarkan ketaatan kepada sistem kenegaraan, tetapi juga selaras dengan prinsip maqasid ‘umran yang menitikberatkan kesejahteraan, kelestarian alam dan kestabilan pembangunan negara. Oleh itu, setiap usaha menghidupkan tanah harus dilaksanakan secara tertib, beretika dan berpaksikan kepada maslahah bersama demi kemakmuran umat serta kelestarian bumi yang diamanahkan Allah SWT.

Huraian Jawapan

Meneroka tanah baru atau mengusahakan tanah yang terbiar dan tidak mempunyai pemilik telah pun dibahaskan oleh para ulama dengan panjang lebar dalam sebahagian besar karya fiqh mereka di bawah tajuk bab Ihya’ al-Mawat. Antara hadis yang sering dibahaskan dalam isu ini ialah hadis Sa’id bin Zaid RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka dia berhak ke atas tanah tersebut.”

Sunan Abi Dawud (3073) dan Muwatto (1430)

Berdasarkan hadis di atas, bukanlah bermaksud seseorang itu bebas untuk menjalankan aktiviti seperti pertanian, korek tanah dan seumpamanya di mana-mana lokasi yang dirasakan atau difikirkan sesuai kerana menyahut seruan hadis tersebut. Justeru, Syeikh Khalil al-Saharanfuri menyebutkan bahawa ‘tanah yang mati’ dalam hadis di atas difahami oleh para fuqaha sebagai tanah yang tidak bertuan yang berada di luar kawasan suatu negeri atau tanah yang tidak mempunyai sebarang maslahah untuk negeri atau kampung tersebut. Tanah yang diusahakan itu juga mestilah mendapat keizinan pemerintah terlebih dahulu dan inilah pandangan yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah[1] dan Imam Malik[2]. Selain itu, hadis ini juga termasuk dalam bab imamah sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Qarafi dan al-Qaradawi.[3]

Dalam konteks kenegaraan pada zaman sekarang, terdapat syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi sesuatu tanah yang berada dalam negara Malaysia ini untuk diusahakan seperti mengikuti Akta Pengambilan Tanah 1960[4], Seksyen 72 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965[5] dan seumpamanya. Seseorang yang gagal untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan maka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828)[6].

Setiap apa yang ditetapkan oleh kerajaan adalah menjadi suatu ketetapan bagi sesebuah masyarakat dan ia mesti dipatuhi. Kaedah fiqh menetapkan:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah terhadap rakyat itu hendaklah berdasarkan kepada pertimbangan maslahah (dan mafsadah).”

Menurut arahan pemimpin yang berasaskan maslahah ‘ammah adalah suatu kewajipan. Hal ini selaras dengan maqasid ‘umran yang berperanan memelihara kestabilan serta kelestarian pembangunan negara, khususnya dalam aspek pengurusan tanah dan alam sekitar.

Oleh itu, seseorang yang berhasrat untuk mengusahakan tanah terbiar hendaklah mematuhi prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agar usaha tersebut dapat dijalankan dengan teratur serta mencapai tujuan pembangunan yang mampan dan berasaskan maslahah ‘ammah.

Kesimpulan

Setiap individu atau kumpulan yang ingin melakukan aktiviti korek tanah atau seumpamanya mestilah mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Kanun Tanah Negara dan peraturan pihak berkuasa tempatan. Sekiranya semua proses telah diikuti dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, maka aktiviti tersebut harus untuk dilakukan. Hal ini bukan sahaja menggambarkan ketaatan kepada sistem kenegaraan, tetapi juga selaras dengan prinsip maqasid ‘umran yang menitikberatkan kesejahteraan, kelestarian alam dan kestabilan pembangunan negara. Oleh itu, setiap usaha menghidupkan tanah harus dilaksanakan secara tertib, beretika dan berpaksikan kepada maslahah bersama demi kemakmuran umat serta kelestarian bumi yang diamanahkan Allah SWT.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Muhammad Asyraf al-Adzim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1415), jld. 8: hlm. 227.

وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ لَا يَمْلِكُهَا بِالْإِحْيَاءِ حَتَّى يَأْذَنَ لَهُ السُّلْطَانُ فِي ذَلِكَ وَخَالَفَهُ صَاحِبَاهُ فَقَالَا بِقَوْلِ عَامَّةِ الْعُلَمَاءِ انْتَهَى

[2] Muhammad bin ;Ali al-Syaukani, Nail al-Authar, ed. ‘Isam al-Din al-Dhababiti (Mesir: Dar al-Hadith, 1993), jld. 5: hlm. 362.

وَعَنْ مَالِكٍ: يَحْتَاجُ إلَى إذْنِ الْإِمَامِ فِيمَا قَرُبَ مِمَّا لِأَهْلِ الْقَرْيَةِ إلَيْهِ حَاجَةٌ مِنْ مَرْعًى وَنَحْوِهِ

[3] Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muʻasirah (Beirut: Dar al-Syamiyyah, 2022), jld. 43: hlm. 103-104.

[4] Rujuk https://www.jkptg.gov.my/my/panduan/permohonan/pengambilan-tanah.

[5] Rujuk PELUPUSAN TANAH DI BAWAH KANUN TANAH NEGARA 1965, https://pintu.instun.gov.my/pdf/tanah/1_-_PELUPUSAN/BERIMILIK/3-NOTA/Pelupusan_Di_Bawah_KTN_-_v2.pdf

[6] Rujuk https://www.ptgwp.gov.my/kb/web/kl/informasi-tanah-ii/informasi-tanah/kks/kks_425KTN.html