Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Al-KAFI #658: BERDOA SEMASA KHUTBAH

 

Soalan:

Bolehkah berdoa semasa khutbah, bukan antara dua khutbah. Ini kerana, masa antara dua khutbah terlalu pendek dan tidak sempat untuk berdoa.

Jawapan:

Antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab.

Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menyebut tentang hari Jumaat, sabdanya:

فِيها سَاعَةٌ لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهْوَ قَائِمٌ يُصَلِّى، يَسْأَلُ اللَّهَ تَعَالَى شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Pada hari tersebut ada satu ketika jika bertepatan seseorang Muslim yang mendirikan solat Jumaat memohon sesuatu kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT memperkenankannya.”
Riwayat al-Bukhari (893) dan Muslim (852)

Sambil bersabda, Baginda mengisyaratkan ketika yang sedikit itu dengan tangannya.

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sahih Muslim, antaranya:  [Lihat: al-Minhaj Syarah Muslim, 140/6]

Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.

Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.

Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.

Justeru, waktu untuk kita berdoa adalah terbuka luas dan pendapat yang kami pilih adalah pendapat yang kedua berdasarkan nas hadis.

Oleh kerana itu, persoalan untuk berdoa ketika khatib sedang membaca khutbah adalah tidak dibolehkan. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ. وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.”
Riwayat al-Bukhari (892), Muslim (851) dan yang lainnya

Ali RA meriwayatkan:

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِى جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang Jumaatnya sia-sia dia tidak dapat apa-apa kelebihan dan pahala yang diharapkan daripada Jumaatnya itu.”
Riwayat Abu Daud (1051)

Kami  mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan supaya kita laksanakan beberapa perkara sebagai tambahan adat kita pada hari Jumaat. Kami nukilkan daripada al-Fiqh al-Manhaji. Antaranya ialah:

Pertama: Sunat Membaca Surah al-Kahfi pada Malam Jumaat dan Siangnya

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Nasaie (453)

                               

Kedua: Sunat Berselawat ke atas Nabi SAW dengan Banyak pada Malam dan Siangnya

Hal ini berdasarkan hadith:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةُِ فَأَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَىَّ

Maksudnya: “Antara hari yang paling mulia adalah hari Jumaat. Justeru, banyakkanlah berselawat kepadaku pada hari tersebut kerana selawat kamu akan dikemukakan kepadaku.”
Riwayat Abu Daud (1047) dan yang lainnya dengan sanad yang sahih

Semoga Allah kurniakan kepada kita taufik dan hidayah untuk melakukan amalan soleh.